Nintendo Membuka Laman Web Rasmi Untuk Pasaran Malaysia

Nintendo boleh dikatakan salah satu syarikat permainan video yang cukup terkenal di serata dunia, tetapi mereka dilihat sangat memilih dengan pasaran-pasaran yang mereka hadir dalam secara rasmi. Ini menyebabkan mereka yang berminat untuk mendapatkan konsol dan permainan mereka terpaksa membayar harga lebih untuk konsol dan juga permainan-permainan mereka.

Terkini, Nintendo sekurang-kurangnya sedar bahawa mereka mempunyai pasaran yang agak besar di rantau Asia Tenggara, kerana mereka telah membuka laman web untuk dua negara di Asia Tenggara, termasuklah Malaysia dan juga Filipina.

Ini bukanlah kali pertama Nintendo membuka laman web di rantau ini, kerana sebelum ini mereka juga telah membuka sebuah laman web khusus untuk pasaran Singapura. Ia juga dilihat bersempena dengan Maxsoft menjadi syarikat pembaikpulih konsol Nintendo rasmi di negara tersebut.

Walaupun begitu Nintendo tidak dilihat mempunyai sebarang pelan untuk membuka gedung permainan digital Nintendo e-Shop rasmi di negara-negara ini buat masa ini, yang merupakan sesuatu yang penting kerana setakat ini, kita masih perlu menumpang e-shop pasaran-pasaran yang lain untuk mendapatkan permainan digital.

Mungkin dengan pelancaran rasmi laman web Nintendo ini, kita akan dapat lihat pengumuman mengenai gedung tersebut tidak lama lagi.

Sohor Kini