Minggu lepas, telah kami laporkan yang Netflix bakal hadir dengan filem sekuel Texas Chainsaw Massacre baharu. Filem ini merupakan sekuel secara terus kepada filem yang ditayangkan pada tahun 1974. Seperti francais Halloween, Netflix hanya fokus kepada filem asal dan tidak kaitkan dengan tujuh filem lain yang pernah ditayangkan.

Sekuel ini berlaku selepas lebih 50 tahun Leatherface mendiamkan diri. Berikut adalah treler kepada filem ini;

Seperti Halloween atau Scream, filem ini turut akan mengembalikan watak legasi. John Larroquette akan kembali sebagai perawi yang menceritakan kisah filem ini di awal filem dan watak Sally Hardesty juga akan kembali. Namun kerana pelakon asal Marilyn Burns telah meninggal dunia pada tahun 2014, Olwen Fouéré akan memainkan watak ini.

Dalam treler, filem ini dilihat memfokuskan kepada sekumpulan selebriti media sosial yang hadir ke bandar Texas yang terpencil. Antara wataknya adalah Sisters Melody (Sarah Yarkin), Lila (Elsie Fisher), Dante (Jacob Latimore) dan Ruth (Nell Hudson). Selepas mereka ronda di seluruh bandar dan temui sebuah rumah yang didapati (mungkin) satu-satunya yang berpenghuni – mereka mula diserang.

Seorang demi seroang dicincang, dikapak dan dibunuh dengan kejam. Turut kelihatan Leatherface yang berjaya menyiat kulit mangsa dan mungkin akan menjahit di muka beliau sendiri. Ia penuh dengan datah, kekejaman, dan kelihatan cukup mengerikan.

Filem ini akan ditayangkan di Netflix pada 18 Februari akan datang.

Sohor Kini