Dunia filem DC nampaknya ada harapan jika benar filem The Flash akan membuang segala kaitan dengan Snyderverse bagi memulakan dunia DC baharu. Tetapi adakah jika benar berlaku, mampukah DC menandingi MCU yang sudah ada banyak fasa dengan puluhan filem dan pelbagai siri TV?

Terkini, Jensen Ackles iaitu pelakon Supernatural yang akan menjadi Soldier Boy dalam The Boys musim ke-3 akan datang mengesahkan beliau ada terlibat dengan projek DC. Beliau mendedahkan informasi ini kepada pelakon Lex Luthor dalam Smallville iaitu Michael Rosenbaum dalam podsiar Inside of You with Michael Rosenbaum.

Walaupun beliau tidak mendedahkan watak manakah akan beliau mainkan dan adakah dalam filem atau siri TV DC, ramai tahu yang Jensen sejak dulu lagi amat berminat untuk memainkan watak Red Hood. Iaitu musuh Batman yang terkenal, kerana Red Hood adalah Robin yang mati dan bangkit semula.

Dalam Titans, Red Hood tidak begitu menarik dan rasa begitu lemah. Mana tahu jika Jensen berjaya persembahkan idea beliau dan pihak atasan Warner Media dan DC suka, beliau diberi peluang ini? John Cena yang juga banyak kali cuba masuk dalam MCU tetapi gagal, akhirnya diberi peluang memainkan watak Peacemaker.

DC ada banyak filem dan siri TV akan datang. Banyak juga yang fokus kepada dunia Batman, dan kandungan baharu DC ini akan diberi fokus penuh kepada HBO Max. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi kelak.

Sohor Kini