Berbanding di telefon pintar tablet adalah peranti yang lebih sesuai untuk penggunaan yang lebih profesional, contohnya yang melibatkan dokumen, kiraan, ia juga sering digunakan oleh pengkarya untuk melukis ataupun menyunting gambar.

Ini adalah kerana tablet hadir dengan paparan yang lebih besar dan bateri yang lebih tahan lama, namun melalui penawaran iPad Mini, Apple ingin menyediakan sesuatu di perantaraan antara telefon pintar dan tablet, dan saya boleh katakan yang ia lebih sesuai untuk digunakan bagi hiburan seperti penstriman Netflix dan juga bermain permainan mudah alih.

iPad Mini yang saya gunakan adalah yang mempunyai storan 256GB serta selular yang ditawarkan dengan harga RM3,599, ia juga ditawarkan untuk Wi-Fi sahaja yang ditawarkan dengan harga RM2,949 ataupun pilihan storan yang lebih kecil iaitu 64GB yang ditawarkan dengan harga RM2,299 untuk Wi-Fi dan RM2,949 untuk selular. Ia hadir dengan empat warna iaitu Space Gray, Pink, Purple dan Starlight.

Berikut adalah spesifikasi ringkas untuk iPad Mini;

  • Skrin: 8.3″ Liquid Retina IPS, 60Hz, 2266 x 1488
  • Cipset: Apple A15 Bionic
  • Ram: 4GB
  • Kapasiti Bateri: 5124mAH

Seperti biasa saya memfokuskan kepada pengalaman bermain permainan mudah alih, saya akan kongsikan pengalaman umum bermain permainan mudah alih dan juga bermain beberapa permainan iaitu Genshin Impact, Marvel Future Revolution, Legends of Runeterra, PUBG: New State, dan Disney Melee Mania.

Pengalaman Umum

Dengan menggunakan cip pemprosesan terbaru untuk Apple, iPad Mini ini adalah tablet yang akan memberikan prestasi terbaik berbanding tablet Apple yang lain kecuali iPad Pro. Ia adalah cip yang sama digunakan di iPhone 13 dan iPhone 13 Pro. Oleh itu, saya boleh katakan saya tidak mempunyai sebarang masalah bermain mana-mana permainan termasuk juga permainan seperti Genshin Impact.

Dengan saiz skrin 8.3″ ia memberi pengalaman yang paling optimum untuk permainan mudah alih, ia tidak terlalu kecil seperti telefon pintar dan juga tidak terlalu besar seperti pilihan iPad yang lain di mana kedua-dua perkara ini boleh mengganggu pengalaman bermain permainan mudah alih. Dengan berat lebih kurang 300 gram sahaja ia juga tidak terasa terlalu berat bahkan lebih ringan jika ingin dibandingkan dengan konsol mudah alih seperti Nintendo Switch.

Saya boleh bermain permainan mudah alih ketika sedang berdiri di dalam MRT tanpa sebarang masalah, sesuatu yang tidak boleh lakukan menggunakan tablet yang bersaiz lebih besar. Oleh kerana mempunyai skrin yang lebih besar, tangan yang terdapat di skrin untuk mengawal tidak sangat mengganggu apa yang saya nampak semasa bermain. Bercakap mengenai skrin, oleh kerana saya juga menggunakan iPhone 12 Pro, paparan iPad Mini sedikit mengecewakan akan tetapi ia sudah memadai untuk kebanyakan tujuan penggunaan.

Satu lagi rungutan saya adalah mengenai ketahanan bateri, oleh kerana ini adalah satu tablet yang kecil, ia tidak mempunyai saiz bateri yang besar, walaupun sudah semestinya mempunyai saiz yang lebih besar berbanding dengan telefon pintar tetapi penggunaan lebih tinggi kerana saiz skrin yang lebih besar, bergantung kepada kekerapan penggunaan anda perlu sentiasa bersedia dengan ‘tenaga’ tambahan untuk iPad Mini, tambahan ia sekadar menyokong pengecasan setakat 20W sahaja oleh itu akan mengambil sedikit masa untuk mengecas sehingga penuh.

Apple Arcade

Saya merasakan tidak sempurna jika bercakap mengenai pengalaman bermain permainan mudah alih di iPad Mini tanpa menyentuh Apple Arcade, yang bagi saya adalah perkhidmatan langganan terbaik yang anda boleh dapat jika ingin bermain pelbagai permainan mudah alih. Adanya perkhidmatan ini, yang juga disertakan bersama dengan perkhidmatan lain melalui Apple One, memberi peluang kepada saya untuk mencuba pelbagai jenis permainan termasuk juga yang hanya dikeluarkan untuk Apple Arcade.

Dengan setiap permainan dihasilkan untuk ia boleh dimainkan dengan baik di peranti Apple oleh itu ia akan memastikan pengalaman terbaik untuk kesemua permainan. Tambahan daripada itu, jika anda mempunyai peranti-peranti Apple yang lain anda boleh meneruskan sesi permainan di mana-mana sahaja.

Genshin Impact

Berbanding dengan pelbagai peranti lain yang saya pernah cuba, termasuk juga iPhone 12 Pro yang saya guna sekarang, Genshin Impact di iPad Mini memberikan pengalaman yang terbaik. Saya boleh menggunakan tetapan tertinggi dengan kadar kelancaran 60FPS, sesuatu yang sebelum ini saya hanya dapat jika bermain di konsol ataupun di PC. Ia masih mempunyai masalah kadar kelancaran kadang-kadang menurun, namun ia adalah masalah yang dihadapi oleh semua peranti termasuk juga jika menggunakan tetapan yang lebih rendah di iPad Mini.

Saya telah melawat pelbagai kawasan, bertempur di dalam pelbagai domain, iPad Mini dapat menggerakkan dengan tetapan ini tanpa sebarang masalah. Satu-satunya sebab yang saya boleh katakan untuk anda mengurangkan kualiti ataupun kadar kelancaran adalah jika ingin menjimatkan penggunaan bateri. Menggunakan tetapan ini, ia menggunakan lebih 25% bateri dengan sesi permainan selama sejam.

Ia juga akan menjadikan peranti sedikit panas, akan tetapi ia tertumpu di kawasan tengah oleh itu, tempat anda memegang tidak sangat terasa. Ia juga akan menjadi lebih baik jika menggunakan kerangka.

Marvel Future Revolution

Seperti Genshin Impact saya juga tidak mempunyai sebarang masalah menggunakan tetapan tertinggi untuk Marvel Future Revolution. Permainan mungkin akan memberi amaran yang ia akan menjadi panas, akan tetapi semasa saya mencubanya, ia seperti Genshin Impact sahaja sedikit panas di bahagian tengah, akan tetapi dengan permainan ini boleh dimainkan dengan automatik sahaja ia tidak sangat memberi sebarang masalah.

Walaupun dengan tetapan tertinggi, ia memberi prestasi yang baik, tidak kira ketika sesi pertempuran bersama dengan pemain lain yang akan menghasilkan pelbagai kesan efek serangan. Bagi penggunaan bateri dengan tetapan ini, ia menggunakan 20% untuk sesi bermain selama sejak. Saya juga menutup sistem di mana ia akan mengurangkan tetapan grafik apabila peranti menjadi panas, sekurang-kurangnya untuk sesi bermain selama sejam ia tidak menjadi satu masalah.

Legends of Runeterra

Berbanding dengan permainan-permainan kad digital yang lain, Legends of Runeterra adalah antara permainan yang mempunyai kesan efek yang berat dan pelbagai. Namun, walaupun menggunakan tetapan tertinggi, ia sekali lagi tidak memberi sebarang masalah kepada iPad Mini. Saya dapat bermain dengan baik, walaupun ada masa pelbagai kuasa dimainkan dalam masa yang singkat.

Penggunaan bateri juga boleh dikatakan sedikit, ia menggunakan lebih kurang 12% bateri sahaja untuk sesi selama sejam dengan tetapan tertinggi tersebut. Manakala kesan kepanasan pula ia terasa suam sahaja dan tidak mencapai tahap seperti mana Genshin Impact ataupun Marvel Future Revolution. Sesuatu yang sudah dijangkakan.

PUBG: New State

PUBG: New State adalah permainan terbaru untuk PUBG, ia bukan pengganti kepada PUBG: Mobile akan tetapi akan hadir secara bersama dan diterbitkan oleh PUBG Corp sendiri berbanding PUBG: Mobile yang diterbitkan oleh Tencent. Di iPad Mini saya boleh menggunakan tetapan tertinggi yang dibenarkan iaitu Ultra untuk grafik, dan Max untuk FPS dan sudah menjadi tema untuk artikel ini, ia tidak memberi masalah yang ketara dari segi prestasi.

Jika anda pernah bermain PUBG: Mobile saya boleh katakan ia akan memberikan pengalaman yang lebih kurang sama sahaja dengan tetapan ini. Saya sudah memasuki pelbagai kawasan, cuba bertempur di kawasan yang sibuk, membaling bom sebanyak mungkin, ia tidak terlalu menjejaskan kelancaran. Ada ketika ia sedikit jatuh tetapi tidak sangat mengganggu sesi permainan.

Bagi penggunaan bateri dengan tetapan ini, ia boleh dikatakan mempunyai kadar penggunaan yang sama dengan Genshin Impact iaitu lebih kurang 25% untuk sesi bermain selama sejam dan juga mempunyai kadar pemanasan yang sama.

Disney Melee Mania

Disney Melee Mania adalah permainan terbaru yang ditawarkan di Apple Arcade, ia adalah permainan MOBA yang dibangunkan oleh Mighty Bear Games iaitu pembangun dari Singapura. Permainan ini tidak mempunyai sebarang tetapan grafik, oleh itu saya boleh katakan ia dimainkan dengan tetapan yang terbaik kecuali kadar kelancaran kerana ia boleh dimainkan sehingga 120fps tetapi terhad kepada iPhone 13 dan iPad Pro sahaja.

Saya tidak mempunyai sebarang masalah bermain, walaupun menggunakan pelbagai kuasa seperti bongkah ais oleh Elsa untuk Jasmine mengeluarkan seekor Harimau, kadar kelancaran tidak langsung terjejas. Namun, saya merasakan yang kualiti grafik boleh dipertingkatkan lagi dan iPad Mini tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk menjalankannya. Buat masa ini, ada kawasan yang grafik nampak sedikit pudar.

Bagi penggunaan bateri, ia menggunakan lebih kurang 20% untuk sesi permainan selama sejam dan memberikan kesan kepanasan lebih kurang Legends of Runeterra berbanding empat permainan lain, di mana ia sekadar suam sahaja dan tidak akan terasa langsung jika menggunakan kerangka.

Rumusan

Jika anda mencari peranti pintar, terutamanya tablet untuk bermain permainan mudah alih dan tidak inginkan ‘alat komunikasi’ saya boleh katakan iPad Mini adalah pilihan terbaik. Ia bukan sahaja hadir dengan rekaan serta saiz yang bersesuaian, tidak terlalu kecil dan tidak terlalu yang boleh menjadikan pengalaman bermain sedikit terjejas. Selain itu, ia juga memberikan prestasi terbaik tidak kira mana-mana permainan mudah.

Kualiti paparan mungkin sedikit mengecewakan jika ingin dibandingkan dengan paparan peranti Apple yang lain akan tetapi sudah mencukupi untuk bermain permainan video dengan pengeluaran warna yang tepat. Selain itu, bateri juga mungkin menjadi masalah jika anda ingin bermain untuk satu sesi yang panjang. Oleh itu sentiasa bersedia dengan bank kuasa.

Selain permainan mudah alih yang ditawarkan di App Store, kesemua peranti Apple termasuk juga iPad Mini ini mempunyai kelebihan melalui penawaran Apple Arcade yang bagi saya menjadikan anda akan sentiasa mempunyai permainan baharu untuk dicuba, dan kesemua permainan ini tidak akan mempunyai sebarang pembelian di dalam aplikasi, walaupun untuk permainan gacha.

Selain itu, iPad Mini juga mempunyai pelbagai kegunaan lain yang tidak menjadi fokus di dalam penulisan ini, jika anda ingin membaca ulasan penuh untuknya, anda boleh membacanya di Amanz melalui pautan ini; Ulasan Apple iPad Mini Gen 6 – Berkuasa Kecil Molek Sehingga Tablet Android Lain Bergolek ataupun tonton video di bawah.

Sohor Kini