Spider-Man: No Way Home akhirnya ditayangkan selepas sekian lama menanti kehadiran filem ini. Tidak dinafikan, yang ini adalah filem paling epik 2021 dan pada hemat peribadi – ia adalah filem aksi-nyata Spider-Man terbaik pernah saya sendiri tonton.
Filem ini ditayangkan di Malaysia pada 15 Disember, dan sehingga hari ini Spider-Man: No Way Home telah menjadi filem dengan kutipan ketiga tertinggi dunia untuk pembukaan pada hujung minggu. Ia juga merupakan filem keenam dalam dunia yang berjaya mengutip lebih $500 juta pada hanya satu hujung minggu dan nilai kedua tertinggi tanpa bergantung tayangan di China.
Setakat hari ini, filem ini telah mengutip $587 juta seluruh dunia iaitu lebih RM2.4 bilion dan $334 juta untuk antarabangsa iaitu sekitar lebih RM1.4 bilion.
Tidak pasti lagi berapa lama filem ini akan ditayangkan di pawagam dan adakah ia akan ditayangkan semula seperti Endgame. Kutipan Box Office peringkat dunia sekarang, Avatar tempat pertama dengan kutipan $2.847 bilion manakala Endgame kedua dengan kutipan $2.797 bilion.

Untuk Sony Pictures yang tiada platform penstriman sendiri, ini adalah rekod yang menakjubkan dan harapnya filem ini boleh terus menerima lebih banyak kutipan di pawagam dan akan memecahkan rekod baharu. Filem adiwira epik lain yang ramai nantikan adalah The Batman, yang akan tiba Mac 2022.
Menyambut kejayaan ini juga, Sony Pictures Malaysia turut memperkenalkan SNWH x TSLAWTOWER. Bangunan ini telah menjadi bangunan pertama di Malaysia dengan pencahayaan lampu LED 360 darjah setinggi 48 tingkat. Bangunan ini memaparkan sedikit klip Spider-Man hayun, panjat dan beberapa klip daripada video treler.
Di Malaysia, filem ini juga merupakan filem paling popular dan paling laris untuk pembukaan pada hujung minggu.
Baca: Ulasan Spider-Man: No Way Home – Akhirnya, Filem Solo Spider-Man Sebenar Yang Semua Nantikan!


