Dalam banyak-banyak adiwira, Spider-Man adalah antara adiwira kegemaran aku. Semasa kanak-kanak, aku tidak membesar dengan komik-komik, tapi filem seperti Spider-Man arahan Sam Raimi membuatkan aku teruja dengan konsep filem adiwira. Lagi-lagi ada sambungan dengan filem kedua.
Masa berubah, kini studio gergasi mula bermain dengan konsep Universe yang mana banyak filem berkait antara satu sama lain dalam dunia yang sama. Disney dan Marvel berjaya dengan MCU, dan selepas bertahun menanti watak Spider-Man diolah semula masuk ke dalam MCU menjadikan Tom Holland sebagai Spider-Man generasi ketiga selepas Tobey dan Andrew.
Spider-Man: No Way Home ini adalah antara filem Spider-Man yang sangat aku nantikan. Bukan kerana ada harapan tinggi dek informasi yang diura-urakan, tetapi kerana mengharapkan filem ketiga Tom Holland sebagai Spider-Man membuatkan aku berharap ini adalah filem solo sebenar dan tidak tenggelam dengan watak tokoh. Adakah filem ini menepati citarasa aku? Adakah ini filem Spider-Man terbaik? Ini adalah artikel ulasan aku.
Kenapa Tak Jumpa Jalan Balik?
Benar, judul semua trilogi Spider-Man Tom Holland ada “home” di dalamnya. Homecoming, Far From Home dan kini No Way Home. No Way Home bukannya kisah Spider-Man sesat sehingga tidak jumpa jalan pulang, tetapi pada hemat aku ia memberi maksud tiada kebebasan untuk individu seperti Peter Parker/Spider-Man. Tetapi jangan terkejut kalau judul filem ini membawa maksud yang sama seperti yang dinyatakan. Tiada Jalan Pulang!
Filem ketiga ini bersambung secara terus daripada penghujung filem Far From Home. Identiti Spider-Man telah didedahkan. Perkara ini menyebabkan satu kekecohan dan semua yang Peter/Spidey sayang dalam ancaman bahaya kerana musuh sudah tahu rahsia besar. Di sini mulalah Peter minta tolong Dr. Strange jika ada jampi atau sihir yang boleh pulihkan keadaan kembali menjadi normal.

Macam biasa, hero minta sesuatu mesti boleh dapat tapi dengan kaveat. Dalam kes filem ini, sihir tidak menjadi tetapi segelintir yang tahu dan kenal Peter Parker itu Spider-Man terserap ke dunia MCU ini. Mulalah penjahat seperti Doc Ock, Green Goblin, Sandman, Electro, Lizard muncul merumitkan lagi keadaan.
Filem ini mempunyai jalan cerita yang menarik. Penyampaian ceritanya memuaskan, tidak meleret, tidak rasa bosan atau memenatkan. Sepanjang filem ini ditayangkan, aku rasa seronok, jantung berdegup kencang dan sentiasa tidak sabar untuk penantian apa yang bakal berlaku seterusnya.
Adegan demi adegan juga, semuanya disampaikan dengan lancar dan mudah faham. Ia cukup seimbang dengan memberi keadilan untuk masa skrin watak-watak yang main peranan penting. Tipulah aku kalau kata dalam filem ini langsung tiada yang boleh dilangkau. Ada sahaja, tetapi asal tidak merosakkan jalan cerita dan masih bokleh bawa penonton rasa terhibur dan teruja sepanjang filem – No Problem!.

Apa yang Jon Watts lakukan pada filem ini juga adalah sesuatu yang baik. Beliau tidak merosakkan masa silam peminat dengan easter egg filem-filem lama Spider-Man. Malah bermain dengan penulisan skrip yang menjadikan easter egg menarik sebagai satu komedi dan fan service yang memuaskan.
Perwatakan dalam filem ini juga tidak berat dan semua dapat masa skrin yang pada aku mencukupi. Rekaan watak yang kekal lebih kurang sama, lihat sahaja rekaan Doc Ock, Lizard, Sandman dan Green Goblin. Electro dengan iterasi baharu juga cukup unik dan setiap watak ini ada sejarah yang diceritakan dalam filem yang akan buatkan anda rasa boleh menerimanya.

Dinamik antara Peter dan Dr. Strange, Peter dengan Ned atau MJ, serta Peter dengan setiap musuh ikonik ini buatkan aku rasa – kenapalah sekarang baru dapat tonton sebuah filem solo Spider-Man yang gila epik. Tidak lagi tenggelam dengan Iron Man ke Mysterio ke – tetapi kita boleh saksikan bagaimana prestasi Tom Holland yang hebat dan berbakat ini membawa watak Spider-Man versi aksi nyata yang terbaik setakat ini.
Adakah Ini Filem Spider-Man Terbaik?
Untuk aku, ya! Spider-Man: No Way Home adalah filem aksi nyata Spider-Man terbaik setakat ini. Seperti yang aku katakan tadi, filem ini adalah filem solo sebenar Spider-Man. Buat pertama kali watak ini menyerlah, puas untuk ditonton dan layan, dari semalam aku tonton sehingga hari artikel ini diterbit aku masih tidak berhenti berfikir mengenai filem ini.
Filem ini mempunyai banyak elemen visual yang menarik dan gila gempak. Penggunaan lokasi ringkas sahaja, semua berlaku di bandar New York tetapi ia tidak rasa sempit dan setiap bahagian bijak digunakan dengan baik. Kita tahu Spider-Man ada masuk dalam Mirror Dimension seperti dalam treler – visual ini kelihatan hebat dan mendekati watak Dr. Strange. Penggunaan kamera juga baik sekali dan tidak rasa pening di bahagian aksi, pemandangan masih nampak cantik, semua yang penting jelas dan khusus untuk peminat – setiap easter egg juga bijak disusun.

Koreografi aksi filem ini amat memuaskan. Ia tersusun rapi, yang CGI nampak standard MCU, yang jarak dekat nampak realistik, serta mampu memberi perasaan yang amat mendebarkan. Aksi Spider-Man juga menarik dan rasa hebat, aksi setiap penjahat daripada filem lama juga mengimbau kembali kenangan menonton.
Muzik dalam filem ini juga sesuai dengan setiap adegan/babak. Tidak ada rasa menjengkelkan dan semuanya padan dan masih mampu memberi emosi dan pengalaman menonton yang mengasyikkan.

Perkembangan watak Spider-Man/Peter Parker lakonan Tom Holland ini juga amat baik. Ia memulakan satu peralihan dari sekolah ke kolej. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, filem ini adalah penutup trilogi pertama dan akan datang mungkin akan ada trilogi baharu. Perwatakan yang Tom bawakan penuh emosi, beliau amat berbakat dan berjaya memikat ramai penonton.
Apa Seterusnya?
Spider-Man No Way Home seolah soft reboot watak Spider-Man Tom Holland untuk penghijrahan daripada MCU ke SSMU. Ini teori sahaja, tetapi jika Sony dan Disney tidak berbalah dan masih dalam persetujuan – Tom Holland sebagai Spider-Man mungkin akan kekal dalam MCU. Atau sekurang-kurangnya, Sony dibenarkan menggunakan elemen MCU dalam filem yang ada Spider-Man Tom.
Sony benar-benar menggunakan hak mereka yang memiliki IP Spider-Man dalam filem ini. Mereka puaskan hati peminat, masih cuba beri harapan yang Spider-Man masih ada masa hadapan dan dengan wujudnya konsep Multiverse – pelbagai perkara mereka boleh lakukan.
Penglibatan Morbius, Venom, The Vulter, mana tahu nanti ada Miles Morales dan banyak lagi. Filem ini adalah penutup baik Spider-Man dalam MCU jika itu hasrat Sony dan Disney. Tetapi filem ini juga permulaan baru untuk Spider-Man ke memiliki dunia adiwira tersendiri.
Kesimpulan
Aku boleh rasakan yang akan ada orang mungkin tidak suka filem ini. Aku katakan begini kerana masa tonton, saat genting muncul yang majoriti menjerit, teruja dan jadi gila – ada juga yang jenis termenung senyap seakan tiada emosi. Tetapi untuk khalayak ramai, filem ini adalah filem Spider-Man terbaik versi aksi nyata dan kedua terbaik antara semua kerana Into The Spider-Verse masih nombor satu di hati.
Daripada penceritaan, perwatakan, visual, aksi, penulisan skrip – Jon Watts berjaya sampaikan apa yang patut dan aku sebagai penonton terima dan faham segalanya. Filem ini mempunyai impak di hati aku sama macam Endgame – yang mana aku akan tonton berulang kali dan ada kebarangkalian tinggi aku akan beli versi digital agar boleh tonton tanpa henti.
Seperti biasa, ini adalah filem MCU. Jadi selepas habis tonton, jangan pulang nantikan dua adegan pasca-kredit. Satu pertengahan dan satu di penghujung. Kedua-dua ini penting untuk SSMU dan MCU jadi jangan terlepas dan WAJIB saksikannya.
Selamat Menonton!