Kandungan tambahan Endwalker untuk MMORPG paling popular hari ini, Final Fantasy XIV akan tiba untuk akses awal pada 3 Disember ini. Sehubungan dengan itu, pihak Square-Enix telah mengumumkan bahawa pelayan-pelayan permainan tersebut akan ditutup selama sehari dari 2 Disember, 6 petang sehingga 3 Disember, 6 petang waktu Jepun untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Kandungan tambahan tersebut yang sepatutnya mula diperkenalkan pada minggu lalu telah diumumkan akan ditunda selama dua minggu untuk memastikan permainan tersebut tidak mempunyai sebarang cacat-cela yang akan mengganggu pengalaman pemain.

Bagi mereka yang tidak pra-tempah kandungan permainan ini, Endwalker akan dibuka akses ke pemain umum empat hari kemudian pada 7 Disember 2022. Menurut Naoki Yoshida, pengarah permainan ini, jalan cerita Endwalker ialah kemuncak kepada saga Hydaelin menentang Zodiark, sebuah penceritaan yang diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu apabila Final Fantasy XIV: A Realm Reborn diperkenalkan.

Beliau turut mengatakan bahawa kandungan permainan Endwalker adalah jauh lebih panjang berbandingan kandungan-kandungan yang dikeluarkan sebelum ini, dan menjangkakan bahawa pemain akan sangat teruja dengan penceritaan terbaru yang dihasilkan ini.

Sumber: Square-Enix

Sohor Kini