Filem James Bond pada aku, adalah filem yang aku boleh layan. Aku bukannya peminat tegar sehingga nak ada teori tersendiri. Tapi aku akan ingat sahaja beberapa adegan menarik atau ikonik. Filem James Bond yang dulu, berbeza dengan iterasi Daniel Craig. Sebelum Daniel, filem-filem James Bond mempunyai jalan cerita tersendiri – lebih kepada stand-alone. Bermula dengan Daniel, filem James Bond menjadi soft reboot. Setiap satu filem bersambung antara satu sama lain.

Quantum of Solace adalah sekuel kepada Casion Royale, Skyfall mula kisah baru yang bersambung dalam Spectre dan kini No Time To Die adalah penutup Daniel sebagai James Bond dan juga penutup kepada trilogi. Selepas menonton filem No Time To Die, aku dapati yang filem ini adalah antara filem James Bond terbaik yang pernah aku tonton.

Ia seimbang antara aksi dan drama cinta dalam misi menyelesaikan konflik balas dendam serta penjenayah dengan agenda kemusnahan dunia. Walaupun banyak benda klise, penyampaian kali ini yang lancar memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.


Apa kisah No Time To Die?

Kisah cinta membara di antara James Bond dan Madeleine Swann diteruskan. Bond yang kononnya tidak lagi berahsia dengan kekasih, ingin Madeleine dedahkan segala rahsia kerana ingin teruskan kehidupan bersama. Sambil itu, Bond juga masih berduka kerana kematian Vesper Lynd dan ingin menyelesaikan segala konflik kisah silam – Blofeld kembali menghantui Bond.

Konflik organisasi Mr. White iaitu Spectre juga kembali. Madeleine selaku anak penjenayah ini turut membuatkan Bond risau dengan nyawa beliau dan Bond terpaksa teruskan kehidupan tanpa kekasihnya.

Lima taun berlalu, Bond yang sudah pencen dilawati oleh sahabat lama dari CIA – Felix. Beliau meminta bantuan kerana ada penjenayah baru ingin merampas teknologi bahaya yang boleh membunuh manusia dengan sasaran melalui DNA dan ia boleh diprogramkan.

Disebabkan sudah bertahun, MI6 turut mempunyai Ejen 007 baharu – iaitu Nomi lakonan Lashana Lynch dan M dilihat berkait rapat dengan senjata baru ini. Tanpa disedari Blofeld adalah antara dalang agenda senjata bahaya ini dan kemudiannya telah di ambil-alih oleh penjenayah baharu tadi. Apabila ada Blofeld, sudah semestinya ada Spectre dan jika ada Spectre – bermaksud Madeleine telah kembali selepas bertahun tidak bersemuka dengan Bond.

Adakah segala konflik dalam filem ini dapat diselesaikan?

Filem ini juga mempunyai koreografi aksi yang gila gempak, hebat dan amat memuaskan. Setiap aksi dipertontonkan dengan baik, adegan kejar mengejar kereta sambil bunuh membunuh dapat diolah dengan penceritaan yang tidak begitu klise yang ditambah rempas ratus aksi realistik. Sinematografi filem juga cantik, pegerakan kamera yang lancar dan memberikan pengalaman menonton yang mengasyikkan.

Klise, tapi penyampaian menarik

Kisah balas dendam! Kisah ejen bersara, ingin kembali aktif untuk satu misi lagi? Betul ke satu misi? Penjenayah klise dengan agenda ingin musnahkan dunia dengan genosid iaitu pembunuhan secara beramai-ramai. Walaupun begitu, entah kenapa filem ini rasa seronok ditonton walaupun durasi adalah 2 jam 43 minit. Ia boleh dihadap, tidak rasa bosan dan amat memuaskan.

Walaupun pada aku ini bukannya filem James Bond terbaik. Tetapi selepas enam tahun tiada filem 007, filem layak diberi filem James Bond terbaik selepas sekian lama. Filem ini macam aku katakan pada awal perenggan rasa sangat seimbang. Ia tidak meleret, ia tidak terkejar-kejar, ia tersusun dengan baik dan mengasyikkan.

Apa yang ingin disampaikan rasa mudah faham. Filem ini walaupun rumit, kerana konflik yang serabut. Anak kepada antara ketua Spectre iaitu Mr. White adalah kekasih Bond, musuh ketat Bond iaitu Blofeld yang masih memastikan operasi organisasi jahat ini berjalan lancar dan membuktikan yang James Bond adalah manusia biasa.

Beliau adalah lelaki biasa yang berduka kerana kehilangan kekasih dan apabila bertemu dengan kekasih baharu sehingga berniat untuk terus kehidupan bersama selamanya – tiba-tiba ada perkara yang cuba merampas impian beliau. Dalam hati Bond ada taman!

Perspektif penjenayah baru ini juga berbeza, sedangkan pada masa sama masih mengekalkan niat seorang penjahat klise. Beliau ingin balas dendam dan membunuh jutaan insan tidak bersalah kerana kononnya pandangan beliau itu adalah untuk selamatkan dunia.

Filem ini penuh dengan emosi menyentuh hati, sambil memberikan pengalaman aksi yang mendebarkan.

Dinamik pelakon lama yang mantap dan prestasi hebat watak baru yang ada potensi

  • Watak lama
    • Daniel Craig sebagai James Bond
      • Pada mulanya, biasalah bila ada recast semua tidak boleh terima. Daniel Craig sebagai James Bond dengan peminat adalah love hate relationship. Cuma dalam filem ini, kita boleh sisi James Bond yang tidak pernah dipertontonkan. Iaitu James Bond adalah manusia biasa yang ada perasaan. Kita boleh lihat sisi beliau yang memang hidupnya sukar kerana menjadi ejen dan telah penat. Beliau hanya inginkan kebahagiaan.
    • Léa Seydoux sebagai Madeleine Swann
      • Gadis Bond yang menjadi pilihan James Bond selepas kematian Vesper. Hati beliau ditumbuhi tanaman bunga-bunga indah kerana rasa sayang dan cinta yang membuak-membuak terhadap gadis ini. Walaupun begitu, Bond tetap rasa dianiaya dan terpaksa melepaskannya kerana hanya ingin bahagia. Madeleine juga seperti Bond saling mencintai – kini hidup berubah apabila kembali bertemu untuk sesaat kebahagiaan yang berakhir dengan kedukaan.
  • Naomie Harris sebagai Eve Moneypenny, Ben Whishaw sebagai Q dan Rory Kinnear pula sebagai Bill Tanner
    • Trio ini sering memberi bantuan dan sokongan kepada James Bond. Walaupun mereka dilihat seolah tidak ingin mengaku mereka ini semua rapat – lebih-lebih lagi Monepenny dan Q bersama Bond ia jelas kelihatan mereka ini saling mengambil berat di antara satu sama lain. Bill Tanner dengan skema, lucu dan hanya berada dalam filem ini menjadikan filem ini lebih lengkap.
  • Christoph Waltz sebagai Ernst Stavro Blofeld
    • Sekali lagi beliau muncul selepas kali terakhir dilihat pada enam tahun lepas dalam Spectre. Beliau masih bengis, nampak kejam dan sentiasa ingin cuba mengawal keadaan. Kejahatan beliau lebih terserlah berbanding Safin.
  • Jeffrey Wright sebagai Felix Leiter
    • Ejen CIA yang rapat dengan James Bond. Bond kembali beraksi kerana beliau, ingin membantu kenalan lama yang sentiasa memerlukan di antara satu sama lain.
  • Ralph Fiennes as Gareth Mallory / M
    • Mungkin pengganti M terbaik? Atau tidak? Entahlah kenapa watak beliau ini membuatkan aku rasa menyampah. Tetapi pada masa yang sama masih boleh menerimanya. Ralph membawakan prestasi yang cukup mantap sebagai M dalam filem ini.
  • Watak baru
    • Rami Malek as Lyutsifer Safin
      • Penjahat baharu. Prestasi Rami Malek memang meletop, tertarik kau memang dabomb. Walaupun tidak sebengis atau kekejaman beliau tidak bergitu terserlah, prestasi lakonan akan membuatkan anda semua rasa WOW. Cuma beliau tidak muncul banyak dalam filem dan hanya rancangan genosid beliau sahaja lebih ditekankan.
    • Lashana Lynch as Nomi
      • Bukan lagi rahsia Nomi iaitu Ejen 00 baharu adalah Ejen 007 pengganti James Bond. Beliau masih mempunyai perwatakan kompetitif, tetapi pada masa yang sama masih boleh kekal profesional. Nomi dan Bond tidak bertengkar Ejen 007 mana yang lebih hebat, tetapi Nomi masih menjadi watak pembantu yang sentiasa menyokong Bond. Beliau mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk diberi fokus utama dalam filem Bond akan datang. Cuma adalah beliau akan kekal dengan Ejen 007?
  • Ana De Armas – Paloma
    • WOW, itu sahaja reaksi aku semasa melihat Paloma beraksi dalam filem. Penampilan beliau amat pendek, sekelip mata sahaja sudah habis. Ana De Armas memainkan watak ejen CIA yang melaporkan kepada Felix. Beliau adalah ejen baharu yang baru sahaja selesai latihan selama tiga minggu. Walaupun penampilan beliau singkat, ia masih memberi harapan kepada penonton untuk mahukan lebih. Harapnya beliau dan Nomi akan lebih terserlah di masa akan datang.
  • Billy Magnussen as Logan Ash
    • Seorang bekas politik korup. Beliau mempunyai perwatakan yang dungu dan mudah untuk membuatkan anda semua rasa menyampah dan sentiasa harapkan dia akan mati terlebih dahulu.
  • David Dencik as Valdo Obruchev
    • Doktor yang memprogramkan senjata berteknologi tinggi yang gila bahaya ini. Beliau adalah insan yang genius tetapi dungu yang akan memastikan penonton geli hati.
  • Dali Benssalah as Primo
    • Orang kanan penjahat utama dengan mata bionik. Dia inilah penjahat yang nampak cool minta perhatian. Agak hebat bertumbuk, dan mahir untuk bertempur. Tetapi beliau mempunyai penceritaan yang anda pasti boleh ramal nasibnya.

Kenapa Filem James Bond “No Time To Die” Adalah Filem Penting Daniel Craig Sebagai Ejen 007?

Filem ini akan menyelesaikan plot tergantung dalam filem Spectre.

Petikan dari artikel Kenapa Filem No Time To Die Penting

Disebabkan plot twist dalam Spectre yang menyatakan semua penjahat dalam dunia James Bond adalah di bawah Spectre

Petikan dari artikel Kenapa Filem No Time To Die Penting

Ada aku kongsi sebelum ini kenapa filem ini adalah penting untuk Daniel Craig sebagai James Bond. Anda boleh baca lanjut dengan tekan pautan pada tajuk bahagian ini.

Lagu tema No Time To Die oleh Billie Eilish yang unik

Billie Eiliish sebagai penyanyi untuk lagu tema filem No Time To Die dengan judul lagu yang sama menerima banyak kontroversi. Tetapi Billie adalah penyanyi yang berbakat dengan suara merdu yang unik dan berbeza. Iterasi lagu tema James Bond oleh beliau pada awal memang kedengaran aneh dan seakan lari daripada tema yang kita biasa dengar. Tetapi jika teliti, setiap tona dan nada masih ada menghormati lagu tema asal seperti nota muzik instrumen yang penting dan ikonik yang diubah dengan iterasi yang sesuai dengan zaman moden.

Kesimpulan

Dengan filem James Bond Daniel Craig, tidak dinafikan pada awal menerima kritikan. Ia berbeza dengan filem James Bond sebelum. Dengan Daniel Craig, filem James Bond menjadi lebih drama dengan kisah cinta, konflik keluarga serta hak kuasa dalam sesuatu organisasi.

Bond Craig juga menawarkan universe tersendiri dengan setiap filem berkaitan antara satu sama lain, memberikan ia satu francais yang lebih rumit berbanding filem terdahulu yang ke arah tersendiri. Lama-kelamaan, Craig mula diterima ramai sehinggakan aku juga bersetuju versi beliau adalah antara yang terbaik.

Peminat James Bond Daniel Craig akan rasai perkembangan watak yang berubah mendadak, memperlihatkan perspektif ejen 007 yang tidak pernah didedahkan pasti akan rasa sebak. Filem ini ditamatkan dengan James Bond will return – memberi petanda adakah Nomi menjadi fokus bersama Paloma?

No Time To Die
Di pawagam 25 November
Sekuel kepada Spectre dan penutup untuk trilogi Skyfall + Spectre + No Time To Die - memfokuskan kisah cinta Bond dan Madeleine serta kembalinya Spectre bersama halangan daripada musuh baharu - Safin. Satu penutup Bond Daniel Craig sebagai Ejen 007.
Positif
Penyampaian cerita yang memuaskan dan penuh emosi
Koreografi aksi yang gempak beserta sinematografi yang hebat
Perkembangan watak James Bond yang menarik untuk menamatkan versi ini
Negatif
Penjahat ada niat klise dan tidak begitu bengis/kejam seperti filem sebelum
Mengacah watak hebat yang ada potensi tinggi - tiada janji kesinambungannya
8.5
Skor Ulasan

Sohor Kini