Mechamato Bakal Mengubah Industri Animasi Tempatan – Kenapa?

Mechamato adalah siri animasi baharu daripada Monsta yang akan disiarkan di saluran Cartoon Network. Siri animasi ini merupakan prekuel kepada BoBoiBoy, yang memfokuskan kepada watak Amato iaitu bapa kepada BoBoiBoy yang buat pertama kali muncul dalam filem BoBoiBoy Movie 2.

Tetapi dalam animasi ini, ia adalah kisah Amato ketika remaja. kalau BoBoiBoy ada Ochobot, Amato ada Mechabot – sejenis robot yang boleh mechanize atau mengubah sesuatu objek menjadi gajet yang berkuasa.

Kami di Aksiz berpeluang menemuramah Anas Abd Aziz selaku pengarah kreatif dan juga Leslie Lee wakil Cartoon Network Asia. Dalam artikel ini, mereka telah berkongsi serba sedikit mengenai pembangunan siri ini serta menjawab beberapa persoalan kami.


Berapa lamakah proses pembangunan siri animasi Mechamato?

Menurut Anas, siri animasi ini sudah mula dirancang sejak sekitar tahun 2017 ke 2018. Ia juga adalah tahun di mana kami mula bentangkan idea kepada Cartoon Network dan juga Bandai. Idea asal Mechamato adalah untuk menyasarkan penonton kanak-kanak pra-sekolah dan rekaan watak juga adalah kanak-kanak kecil.

Tetapi selepas banyak perbincangan dan pelbagai iterasi, rekaan yang sekarang ini menjadi pilihan dan digemari oleh Cartoon Network. Amato dengan perwatakan yang lebih matang serta Mechabot dengan sifat yang lebih degil atau gelisah (edgy). Walaupun idea dibentang kepada Cartoon Network, animasi ini 100% dibangunkan oleh Monsta di Malaysia.

Siri animasi ini juga dibangunkan dengan niat bukan untuk pasaran tempatan sahaja, tetapi untuk peringkat global. Setiap pergerakan animasi, pergerakan kamera semuanya banyak melali proses perbincangan dan pemikiran yang lebih rumit agar ia dapat menarik perhatian penonton seluruh dunia.

Ada atau tidak watak yang sukar untuk dihasilkan?

Ikutkan memang tiada yang susah pun, kerana semuanya telah dirancang dengan baik. Fokus siri animasi ini adalah sepenuhnya antara Amato dan Mechabot. Seperti dinamik antara mereka berdua, perwatakan Amato yang bijak dan kreatif dan Mechabot yang walaupun mengada tetapi masih menurut perintah. Ia ada perwatakan seakan abang dan adik atau buddy cop.

Apakah inspirasi untuk menjayakan Mechamato dan konsep Mechanizing pula peroleh daripada mana?

Majoriti idea adalah daripada Nizam sendiri, di mana zaman Nizam dan Anas kanak-kanak tang banyak menonton kartun, Doraemon, Gundam dan anime. Kemudian ketika kanak-kanak memang masih ingat ada imaginasi yang kuat seperti ambil kotak dan membayangkan diri boleh menjadi robot, seorang hero dan banyak lagi.

Leslie Lee turut menambah yang Mechamato akan menjadi satu animasi yang orang ramai boleh ingat walaupun suatu hari nanti usia animasi ini sudah 15 tahun. Ia akan menjadi satu animasi seperti mana Ben 10 suatu ketika dahulu.

Bagaimana proses pemilihan pelakon suara dan ada atau tidak wakil Monsta terlibat?

Seperti BoBoiBoy, akan ada beberapa watak pelakon suara adalah krew Monsta sendiri. Misalnya watak Aba, iaitu bapa Amato adalah daripada Anas. Anas juga menjadi pelakon suara untuk beberapa watak robot. Tetapi kali ini, Nizam tidak terlibat lagi dengan mana-mana watak untuk Mechamato seperti Papa Zola dalam BoBoiBoy – sekurang-kurangnya buat masa ini.

Untuk alih-suara bahasa-bahasa lain, seperti Jepun misalnya – ia diuruskan 100% oleh Cartoon Network melalui mereka yang berbakat yang telah diluluskan oleh Leslie sendiri.

Semua tahu mengenai Mechamato yang asalnya adalah filem, apa perkembangannya?

Masih lagi dalam pembangunan dan Monsta akan umumkan sesuatu pada tahun 2022 nanti. Sebab kenapa siri animasi dilancarkan terlebih dahulu adalah, kerana ia sudah pun dalam proses pembangunan. Cuma, perancangan untuk tayangkan filem terlebih dahulu tidak menjadi kerana berlakunya pandemik Covid-19.

Tetapi, menurut Anas penonton tidak perlu risau dengan penyampaian cerita Mechamato. Majoriti episod masih lagi berpegang dengan konsep antologi, ia mempunyai kisah tersendiri yang tidak bersambung. Siri animasi ini memang dirancang untuk disampaikan agar penonton mudah faham dan kalau terlepas salah satu episod pun tidak akan ada rasa hairan. Jadi kelak dalam filem, siri animasi tidak perlu ditonton pun tidak mengapa.

Adakah siaran Mechamato terhad pada Cartoon Network sahaja?

Ia akan disiarkan di HBO Go Asia pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Platform lain juga begitu, cuma buat masa ini ia akan menjadi eksklusif di saluran Cartoon Network sahaja.

Bagaimana dengan runut bunyi, bolehkah ia didengar di mana-mana platform penstriman?

Lagu tema pembukaan siri animasi ini cukup menarik dan enak. Kemudian turut ada perlawanan rap dalam salah satu episod di antara satu watak robot, serta rakan-rakan Amato seperti Pian. Semua runut bunyi (OST) dan muzik-muzik dalam siri animasi ini akan boleh distrim di platform penstriman audio di masa akan datang menurut Anas.

Barangan eksklusif Mechamato akan ada ataupun tidak?

Dalam sesi temuramah ini, kelihatan replikas 1:1 Mechabot yang nampak menarik dan cool. Tetapi jika bukan itu yang dikeluarkan, peminat boleh nantikan akan ada pelbagai barangan menarik akan dilancarkan. Mungkin figura aksi, baju, mainan dan pelbagai lagi selepas siri ini dilancarkan nanti.

Kolaborasi dengan Bandai juga akan diumumkan tidak lama lagi, tetapi mereka tidak kongsi sebarang informasi mengenainya.

Bercakap mengenai barangan rasmi, penonton turut boleh cipta pelbagai kraf tangan bertemakan Mechabot dengan mengikut tutorial di penghujung setiap episod. Ia akan menyerlahkan lagi imaginasi kanak-kanak untuk menjadi lebih kreatif. Tutorial kraf tangan ini juga adalah idea Nizam sendiri selepas banyak menonton video-video TikTok.


Mechamato akan disiarkan di Cartoon Network bermula 4 Disember ini. Ulasan untuk episod 1, 2 dan 8 juga akan kami terbitkan di Aksiz tidak lama lagi. Terima kasih kepada Monsta dan Cartoon Network atas peluang ini.

Sohor Kini