Salah satu permainan MMORPG yang sangat ditunggu-tunggu, Final Fantasy XIV: Endwalker sepatutnya dilancarkan pada 23 November ini, dimana jalan ceritanya adalah penamat kepada saga Hydaelyn menentang Zodiark. Pada acara Live Letter sebentar tadi, pengarah permainan tersebut, Naoki Yoshida mengumumkan bahawa pelancaran Endwalker akan ditunda selama dua minggu, dan akan dilancarkan secara rasmi pada 7 Disember kelak.

Yoshida mengatakan bahawa penundaan ini perlu dilakukan kerana Endwalker merupakan kandungan tambahan yang paling besar setakat ini dalam sejarah permainan Final Fantasy XIV. Dari aspek penjagaan kualiti, beliau mahukan pasukan penjagaan kualiti untuk memastikan bahawa bukan sahaja mekanisma permainan ini boleh digerakkan sebaik yang mungkin, tetapi juga mahukan bahawa semuanya sempurna, khususnya dari aspek naratif, kerana penceritaan kandungan ini akan hadir dengan pelbagai aspek penceritaan mendalam.

Ini juga bermakna bagi mereka yang sudahpun menempah permainan ini, sesi Early Access akan ditunda ke 3 Disember kelak, dimana pelancaran rasmi permainan ini akan empat hari selepas sesi tersebut.

Dalam pada itu, untuk memberi semangat kepada mereka yang menunggu sekian lama untuk kandungan tambahan permainan ini, Square-Enix turut memperlihatkan video treler pelancaran untuk Endwalker, yang sedikit sebanyak menunjukkan jalan cerita dan juga watak-watak utama yang akan menjadi tunggak utama jalan cerita untuk kandungan ini.

Leave a Reply