Bulan Mei lepas, Zack Snyder buat pertama kalinya selepas beberapa tahun tidak hadir dengan filem berkonsepkan mayat hidup atau zombi – beliau bekerjasama dengan Netflix untuk filem Army of The Dead. Walaupun filem ini biasa sahaja, tetapi untuk kembali melihat filem “seram” ganas Zack Snyder agak menyegarkan.
Lebih menarik lagi filem dunia zombi Zack Snyder ini dikembangkan sebagai ArmyVerse merangkumi filem dan juga siri animasi.
Yang terbaru adalah prekuelnya Army of Thieves yang menceritakan kisah Sebastian (nama sebenar) kepada Ludwig Dieter dalam Army Of Thieves. Pakar memecahkan peti simpanan yang rumit lakonan Matthias Schweighöfer yang juga merupakan pengarah bagi filem ini.
Filem ini mendedahkan bagaimana beliau menerima nama Ludwig, kenapa beliau boleh pecahkan peti simpanan
Götterdämmerung dan amat serius terhadapnya serta turut menceritakan kisah cinta beliau.
Baca: Ulasan Army Of The Dead – Bayangkan Zombi Mamat Khalid, Tapi Bajet Tinggi
Sebelum bertemu dengan peti simpanan Götterdämmerung dalam Army ogf the Dead, iaitu peti simpanan yang dicipta oleh legenda Hans Wagner – Ludwig dalam filem Army of Thieves telah bertemu dengan tiga lagi peti simpanan dari pencipta sama Rheingold, Walkurie dan Siegfried. Peti ini adalah dalam siri yang sama di mana bermula dari mudah untuk dipecah, sehinggalah semakin sukar dengan ada cerita tersendiri dan juga teka ria yang mencabar.
Filem ini berlaku enam tahun sebelum kejadian dalam Army of the Dead, ia bermula dengan kisah Ludwig atau nama sebenar Sebastian bekerja sebagai seorang pegawai bank sahaja. Tetapi mempunyai hobi dalam dunia peti simpanan, sejarah peti simpanan legenda, skil memecah masuk peti simpanan yang disampaikan dalam video di YouTube. Antara kepakaran beliau adalah dengan peti-peti simpanan Hans Wagner.
Bakat beliau ini menarik perhatian satu pasukan rompakan yang dikehendaki di peringkat antarabangsa.
Dari hanya memahami secara teori mengenai peti-peti simpanan Rheingold, Walkurie, Siegfried dan Götterdämmerung kini berpeluang mencubanya sendiri secara praktikal.
Filem ini adalah filem aksi komedi pengembaraan merompak yang menarik, ganas, mudah untuk ketawa terbahak-bahak dan memberikan satu pengalaman menonton yang memuaskan. Ia ada bermain dengan konsep seakan memecahkan dinding realiti ke-4, mereka sedari diri mereka adalah seakan dalam satu filem setiap ahli dalam pasukan rompakan ini ada skil tersendiri.
Ia turut bermain dengan konsep imbas kembali kisah silam setiap ahli pasukan, ada konsep membayangi sesuatu aksi menarik akan berlaku seperti sedang berbincang mengenai strategi rompakan. Setiap watak dalam filem ini menarik, lucu, acah-acah hebat dan mempunyai chemistry yang baik.
Filem ini juga ada menyelitkan elemen komedi ala filem parodi, seperti bermain-main dengan nama pelakon terkenal, perwatakan gila yang membuatkan penonton mudah membenci watak itu, elemen aksi yang realistik dengan visual yang menarik serta koreografi yang menyeronokkan dan mendebarkan.
Boleh juga nak dikatakan filem ini seakan filem yang tersendiri dan jika tidak tonton atau tidak ingin tonton Army of the Dead pun tidak apa. Hanya tonton filem ini, kemudian pada Army of the Dead terus langkau ke bahagian Ludwig pecah peti simpanan di kasino. Menggunakan saat genting di mana dunia sedang fokus dan keliru kepada kejadian zombi, ada pasukan perompak menggunakan masa ini dengan baik untuk merompak peti-peti simpanan yang berada di bank-bank dan bangunan dengan sekuriti tinggi.
Seakan filem pengembaraan tekaria ala Escape Room pun ada, bercampur dengan filem rompakan ala Ocean Eleven dan bercampur sedikit elemen zombi yang tidak seberapa. Walaupun begitu, filem ini masih ada keunikannya tersendiri di mana kisahnya disampaikan dalam keadaan yang tenang, tidak terkejar-kejar dan lancar sekali.
Kisah yang ringkas berjaya disampaikan dengan penceritaan yang mudah faham. Setiap elemen komedi dan aksi semuanya memberikan satu pengalaman filem rompakan serba baharu sambil menghormati konsep filem rompakan yang sedia dikenali.
Ia adalah filem prekuel yang tiada siapa hairan atau minta. Tetapi demi mengembangkan dunia ArmyVerse, filem ini cuba menyampaikan kisah berlainan dalam dunia sama. Entah kenapa, filem yang aku rasakan sedikit klise ini membuatkan aku rasa gembira sehingga aku tonton beberapa kali untuk memuaskan hati sendiri.
Ia menarik dari perkembangan watak yang baik, lakonan yang mantap, serta emosi yang realistik. Setiap adegan aksi yang tidak begitu serabut juga membuatkan filem ini walaupun dalam adegan yang rumit – penonton boleh tenang tonton dan memahami apa yang berlaku.
Setiap adegan rompakan apabila Ludwig pecah masuk peti simpanan ini, ada visual menarik. Walaupun hanya CGI, ia memperlihatkan mekanisme mekanikal bagaimana peti ini berjaya dinyahsulitkan oleh Ludwig. Keseimbangan di antara komedi, serius dan aksi juga membuatkan filem ini rasa sedap dan santai untuk ditonton.
Ada juga benda mengarut dan tidak masuk akal, membuatkan aku kecewa dengan filem yang sudah rasa cukup baik ini. Bayangkan peti simpanan dicipta oleh pakar dan seorang yang legenda, tetapi tempat peti ini disimpan hanya mempunyai sekuriti yang dungu, lemah dan tidak boleh diterima.
Watak pihak berkuasa yang acah-acah hebat tetapi pada masa yang sama bongkak dan dungu turut membuatkan penonton ingin sokong pasukan perompak kerana ia memberi satu vibe menonton yang cukup rasa.
Filem ini juga mempunyai sinematografi yang cantik, kalau korang seperti aku yang sukakan hasil kreativiti Zack Snyder. Matthias jelas sekali menerima pemantauan dan didikan baik daripada Zack dengan banyak elemen fokus jarak dekat serta adegan gerak perlahan yang tampak unik.
Dalam filem ini turut ada kisah cinta, yang amat tipikal dengan konsep cinta pandang pertama yang sedikit cringe. Ia menjadikan penceritaan kurang realistik dan hanya nak acah-acah drama komedi romantik.
Untuk sebuah filem besar, Matthias berjaya menjadi pengarah dan pelakon utama yang memberikan satu impak positif keseluruhan untuk filem ini.
Bagi yang tidak minat dengan filem zombi yang seram dan ganas, tetapi minat tonton filem aksi yang padu dan sedikit ganas, Army of Thieves adalah filem yang patut korang cuba tonton. Ia memang satu filem rompakan yang lain daripada yang lain, mempunyai pengembaraan, drama, aksi dan penceritaan yang hebat dan prestasi lakonan yang cool.
Tidak dinafikan masih ada perkara yang menjengkelkan, sedikit aneh, klise dan mudah diramal, tetapi dengan perkara positif lain yang berada dalam filem ini – perkara negatif lain boleh sahaja untuk dilupakan.
Kalau korang berminat dengan watak Ludwig Deiter yang kelihatan noob, sedikit lembut tapi genius dan lucu ini – filem ini kisah hidup beliau yang wajar ditontonkan. Jarang sama sekali kita boleh lihat filem rompakan yang memberi feel menonton seakan Escape Room dan filem Survivor.
Army of the Dead: Lost Vegas adalah siri animasi gaya anime yang merupakan sekuel kepada Army of the Dead. Ia mungkin cerita yang ketiga dalam dunia ArmyVerse, tetapi ia mungkin bukan yang terakhir kerana dunia filem ini ada potensi yang baik untuk terus menjadi tema filem seram/zombi dalam Netflix.