Zombi, zomba, mayat hidup, mereka yang tidak boleh mati dan banyak lagi adalah gelaran kepada manusia atau makhluk yang mati hidup semula atau dijangkiti dengan sesuatu yang mengubah mereka menjadi benda lain. Ada konsep zombi, ia boleh pulih menjadi manusia. Ada pula konsep, kalau dah jadi zombi itu maknanya matilah.

Tetapi zombi yang ada dalam filem Army of the Dead, iaitu filem ciptaan Zack Snyder – berada di peringkat lain. Filem ini adalah filem zombi yang klise. Jalan cerita yang ringkas, perwatakan yang gempak dan apa yang cuba disampaikan itu tercapai. Ia adalah filem zombi, di mana mereka yang masih hidup menggunakan peluang yang ada untuk merompak sebelum lokasi rompakan diletupkan oleh kerajaan dengan bom nuklear.


Zombi Pasal Apa?

Okay, aku memang seorang yang meminati filem atau siri TV zombi. Tetapi kalau dah klise dan mudah dijangka sangat, aku jadi benci. Banyak je siri TV zombi aku tonton separuh jalan dan filem zombi lain yang aku maki hamun. Tetapi untuk Army of the Dead, walaupun sudah dijelaskan yang ia adalah filem zombi klise – filem ini masih membuatkan hati aku tertarik untuk tonton sampai tamat. Ia adalah satu filem rompakan, yang mana halangannya adalah zombi.

Filem ini bertempatkan di Las Vegas, di mana bandar ini telah dijangkiti dengan virus yang menjangkiti semua orang menjadi zombi. Ia berpunca daripada seorang atau sejenis zombi yang bebas daripada kerajaan atas eksperimen yang tidak dijelaskan. Beliau adalah zombi Alfa atau pemula kepada pandemik ini. Las Vegas menjadi haru-biru dan satu bandar kena PKP.

Satu tempoh masa berlalu, semua orang masih boleh teruskan kehidupan masing-masing. Ada yang masih merana kesedihan ada juga yang redha sahaja. Datang pula tauke kasino terkenal Bly Tanaka lakonan Hiroyuki Sanada, menjemput Scott Ward lakonan Dave Bautista untuk merompak kasino beliau yang ada wang simpanan $200 juta. Masa diberikan hanyalah 32 jam sebelum seluruh bandar diletupkan kerajaan.

Sepanjang filem mengisahkan bagaimana Scott yang sebelum ini turut mengetuai pasukan penyelamat yang menyelamatkan orang ramai daripada zombi – rekrut gang lama untuk merompak kasino. Sambil itu, Scott ingin berbaik kembali dengan anak beliau Kate lakonan Ella Purnell. Ahli pasukan Scott adalah Maria Cruz lakonan Ana de la Reguera, Vanderohe lakonan Omari Hardwick, Marianned Peters lakonan Tig Notaro, Mikey Guzman lakonan Raúl Castillo, Chambers lakonan Samantha Win dan ketua sekuriti En. Bly – Martin lakonan Garret Dillahunt.

Mereka sangkakan yang zombi yang bakal ditempuhi sama seperti awal pandemik bermula atau zaman keagungan mereka membunuh mayat hidup dan menyelamatkan sesiapa yang boleh diselamatkan. Tetapi, zombi sudah semakin maju. Kini ada ketua, mendengar arahan dan seakan ada komuniti. Zombi mereka dahsyat, seram, gerun, ganas dan mengerikan. Mereka perlu tempuhi semua zombi dungu, zombi genius dan ada juga zombi rimau.

Filem Yang Ada Gaya

Ini adalah filem seram/zombi kedua Zack Snyder selepas Dawn of the Dead pada tahun 2004. Percaya atau tidak, yang filem ini sudah ditulis oleh beliau selepas Dawn of the Dead. Ia hanya idea semata-mata dan Zack hanya luahkan visi dan imaginasi beliau ke atas kertas. Ketika dijemput untuk kembali dengan filem seram, seorang teman teringat akan skrip Zack – filem ini terus mula dibangunkan.

Disebabkan ia adalah filem zombi klise, Zack tidak kisah untuk ia disiarkan di Netflix berbanding kebanyakan karya beliau yang perlu ditonton di pawagam untuk pengalaman imersif. Zack terlibat bukan sahaja pada skrip, tetapi turut mengarah dan juga menjadi juru gambar bagi keseluruhan filem. Bagi yang mengenali Zack, anda akan tahu sinematografi filem ini akan berada di tahap berlainan dan akan memberikan satu pengalaman yang berbeza.

Banyak visual di dalam filem ini adalah praktikal, dan turut dicampur dengan CGI berkualiti tinggi yang menepati idea Zack. Zack turut menggunakan kamera buatan khas untuk menghasilkan filem ini, kerana inginkan filem ini kelihatan klasik, ngeri, dan ada nilai di mana kelihatan bumi seakan berlakunya apokalips.

Macam Mamat Khalid Dapat Bajet Ratus Juta Ringgit

Army of the Dead adalah filem 2 jam lebih. Sayang sekali filem ini sebenarnya boleh disampaikan dalam masa mungkin 2 jam tepat sahaja. Banyak adegan di dalam filem ini menjadikan ianya meleret dan ada perasaan “haisshh, cepatlah.. bila nak habis” .

Zack benar-benar pegang kata-kata beliau yang ia adalah filem zombi klise. Selepas tonton sekitar 30%, jalan cerita filem ini sudah boleh dijangka. Banyak yang aku teka tepat dan berlaku. Anda bayangkan Ocean Eleven + Kampung Pisang. Aku katakan Kampung Pisang sebab teringatkan filem-filem zombi-zomba Mamat Khalid yang memang karut. Bayangkan Mamat Khalid diberi bajet sama seperti Zack dan hadir dengan sebuah filem zombi sahaja. Fuhhh, tak boleh bayang…

Filem ini ringkas sahaja. Scott rekrut rakan lama, rakan lama jemput beberapa yang dikenali dan terus pergi merompak. Orang yang upah mereka merompak ada udang di sebalik batu, ada konspirasi kerajaan, ada mainan politik dan juga tidak lain dan tidak bukan nilai kekeluargaan dan cinta. Pembukaan filem ini adalah antara yang menarik, ia seakan menonton filem sekuel. Selepas adegan Bly menjemput Scott, ia mula meleret dan menjadi bosan.

Tetapi selepas semua direkrut dan pengembaraan ingin bermula – aksi gempak dan hebat pun bermula. Apa yang aku suka dalam filem ini adalah cara mereka berbincang dan merancang – kemudian dianiaya. Kemudian konsep zombi yang pada aku sedikit segar. Dalam Zombieland pun ada zombi yang evolusi atau berubah menjadi lebih kuat. Tetapi dalam filem ini, mereka seakan ada agama dan komuniti. Ketua zombi boleh bercinta dan membina keluarga, ada pengikut yang memberi sokongan, dan banyak lagi.

Hubungan antara setiap watak juga menarik. Cuma biasalah, filem yang ada banyak watak tetapi jalan cerita ringkas – pasti watak yang kita rasa baik akan mati awal. Watak Dieter adalah watak yang merenggangkan keadaan. Adegan beliau bermula sahaja, itu adalah adegan yang lucu. Ia memberi satu perasaan menonton yang sedikit berbeza. Ditemani pula dengan muzik yang tidak lain dan tidak bukan – Zombie oleh The Cranberries.

Beberapa visual dalam filem ini atau kesinambungan antara satu babak ke babak lain adalah karut. Ia adalah apa yang korang jangka dalam sebuah filem zombi. Elemen sedih, gembira semuanya ada. Hubungan Scott dan Kate juga memberi satu semangat yang menarik. Kehangatan cinta antara Scott dan Maria juga memang rasa percikan api yang panas.

Setiap adegan zombi juga adalah ganas, penuh dengan darah, gigitan, ngeri dan mengejutkan. Filem ini adalah untuk tontonan dewasa sahaja dan tidak sesuai untuk kanak-kanak atau mereka yang di bawah umur. Kesan tembakan. kesan gigitan, semuanya rasa realistik.

Gandingan Pelakon Berbakat

Ada sahaja pelakon yang aku tidak ingat nama, tetapi aku cam wajah mereka. Ada juga yang aku sudah lupa yang adakah aku pernah tonton filem lakonan beliau? Tetapi gandingan setiap pelakon dalam filem ini adalah terbaik dan aku tidak sabar untuk tonton prekuel yang dikatakan sedang dalam pembangunan.

  • Dave Bautista sebagai Scott Ward – ketua dan pengasas kumpulan Las Vengeance.
  • Ella Purnell sebagai Kate Ward, anak Scott yang bekerja sebagai wakil WHO.
  • Omari Hardwick sebagai Vanderohe – seorang askar yang bersemangat dengan pegangan tersendiri.
  • Ana de la Reguera sebagai Maria Cruz – seorang mekanik dan sahabat Scott.
  • Theo Rossi sebagai Burt Cummings – penjaga sekuriti yang salah guna kuasa.
  • Matthias Schweighöfer sebagai Ludwig Dieter – pemecah peti simpanan lucu yang berbangsa Jerman.
  • Hiroyuki Sanada memainkan watak Bly Tanaka – pemilik kasino yang mengupah Scott.
  • Garret Dillahunt pula menjadi Martin – orang kanan merangkap ketua sekuriti Bly.
  • Tig Notaro pula adalah Marianne Peters – pilot helikopter untuk membawa semua keluar dari Las Vegas.
  • Raúl Castillo pula sebagai Mikey Guzman – pempengaruh yang hebat bertempur.
  • Richard Cetrone adalah Zeus – ketua zombi Alfa.

Walaupun banyak yang aku rasa hambar dan ketawa kerana mengarut dan betapa banyaknya jenaka yang ada dalam filem ini – ia masih memberikan satu pengalaman menonton sebuah filem yang hebat. Aku dapat rasakan keseronokan untuk saksikan sebuah filem yang tiada teori peminat, tiada pelbagai halangan daripada studio – hanya sebuah filem zombi berkualiti.

Gandingan setiap pelakon adalah menakjubkan. Aku suka setiap watak dalam filem ini. Walaupun pergerakan mereka boleh dijangka, setiap pelakon memberikan prestasi terbaik yang mereka boleh lakukan. Walaupun ada pelakon itu hanya digantikan secara CGI kerana ada kes. Beliau tidak berinteraksi pun dengan pelakon lain, tetapi masih boleh faham.

Setiap emosi daripada Scott, Kate, kata-kata sedih Maria meluahkan perasaan, aksi lucu si Dieter, perangi berlagak Mikey Guzman dan Vanderhoe yang garang – mereka ini semua adalah satu pasukan yang natural untuk dunia pandemik zombi.

Francais Berterusan

Visi Zack untuk filem ini tidak berakhir dengan Army of the Dead sahaja. Netflix nampak peluang yang cerah untuk menjayakan idea asli Zack Snyder. Army of the Dead kini adalah satu francais yang merangkumi filem utama, filem prekuel dan juga siri animasi. Army of the Dead: Lost Vegas. Army of Thieves

Filem prekuel adalah Army of Thieves. Filem ini akan menceritakan kisah Dieter, kenapa beliau taksub dengan peti simpanan dalam Army of the Dead. Untuk siri animasi pula, majoriti pelakon asal akan kekal memainkan watak masing-masing untuk suara. Ia adalah kisah sampingan yang mungkin berlaku di antara Army of Thieves dan sebelum Army of the Dead.

Rumusan

Jika anda ingin sebuah filem yang berkualiti tinggi. Ini adalah filem untuk anda. Jika anda ingin tonton filem zombi yang sedikit berbeza, tetapi masih boleh agak – ini juga untuk anda. Jika anda kecewa dengan Justice League, anda sedar yang tiada harapan untuk #RestoreTheSnyderVerse – ini merupakan filem gempak dan karya hebat Zack Snyder.

Kalau anda tidak hiraukan nilai klise, perkara mengarut, dan yang meleret – filem ini akan menghiburkan anda. Masa lebih dua jam yang anda akan habiskan pada filem ini berbaloi. Tetapi, kalau anda ingin jimat masa dan terus ke aksi – percayalah anda langkau sedikit-sedikit, masih boleh nikmati dan faham keseluruhan filem.

Army of the Dead adalah satu filem zombi yang bolehlah untuk layan, selepas sekian lama tiada filem zombi yang mempunyai jalan cerita serius. Dengan janji untuk prekuel serta siri animasi, filem ini akan menjadi antara filem seram menarik yang akan berada dalam ingatan atau koleksi. Bagi yang ingin tonton, filem ini akan disiarkan pada 21 Mei 2021 di Netflix Malaysia – tepat jam 3 petang.

Army of the Dead
Siaran bermula 21 Mei di Netflix
Pandemik zombi berlaku di bandar Las Vegas. Scott dipilih untuk rekrut pasukan Las Vengeance untuk merompak kasino yang ada wang simpanan $200 juta, tetapi ada masa 32 jam sebelum kerajaan mengebom bandar tersebut. Sambil itu, zombi Alfa yang bijak/genius menjadi halangan dan Scott perlu berbaik dengan anak beliau.
Positif
Jalan cerita yang ringkas dan mudah faham
Visual menarik dan memuaskan
Prestasi lakonan gempak
Elemen seram, ngeri dan konsep zombi unik
Negatif
Sedikit meleret sehingga lebih 2 jam
Terlampau klise sehingga mudah dijangka
Kisah keunikan zombi tidak jelas diceritakan
7.5

Sohor Kini