Sekitar dua bulan lalu, Valve telah melancarkan konsol mudah-alih pertama mereka, Steam Deck yang boleh menggerakkan pelbagai jenis permainan yang sudahpun anda miliki tidak kira dimana anda berada.
Akan tetapi, seperti lazimnya, Steam Deck akan boleh menggerakkan sejumlah permainan dengan tetapan yang tinggi, dan selebihnya pada tetapan sederhana ataupun rendah. Untuk memudahkan para pemilik konsol ini untuk tahu apa yang boleh dimainkan pada konsol ini, mereka telah memperkenalkan sebuah sistem pengesahan permainan yang dinamakan Deck Verified.

Secara ringkasnya, Steam kini sedang dalam proses menguji semua permainan yang ditawarkan di platform mereka untuk melihat samada ia boleh dimainkan pada konsol Steam Deck ataupun tidak.
Sistem pengesahan Deck Verified ini terbahagi kepada empat bahagian: Verified, Playable, Unsupported dan Unknown. Verified bermakna bahawa Steam Deck menyokong permainan tersebut sepenuhnya secara rasmi, Playable bermakna pemain akan perlu mengubah beberapa tetapan untuk permainan ini dimainkan secara optimal, manakala Unsupported bermakna permainan tersebut tidak boleh dimainkan pada konsol tersebut. Unknown pula adalah untuk permainan yang belum lagi melalui proses pengesahan oleh Steam.

Valve mengatakan bahawa permainan yang melepasi pengesahan Deck Verified akan hadir dengan penanda di laman Steam permainan tersebut, yang mengesahkan bahawa konsol permainan mereka akan boleh menggerakkan permainan tersebut tanpa masalah.
Konsol Steam Deck akan dilancarkan pada bulan Disember ini, dimana pra-tempahannya yang bermula pada bulan lepas dilihat berjaya habis menjual kesemua stock awal konsol tersebut, yang dijangka akan diisi kembali pada pertengahan tahun hadapan.
Sumber: Deck Verified


