Apabila bercakap mengenai permainan gacha, tajuk yang sering diperkatakan orang ramai pada hari ini ialah mengenai Genshin Impact, dan bagaimana permainan tersebut, dan permainan gacha secara lazimnya boleh membuat orang membazir wang untuk mendapatkan watak-watak dalam permainan yang mereka mahukan.

Baru-baru ini, saya kembali semula ke permainan gacha yang boleh saya katakan agak terkenal di Jepun dan di kalangan mereka yang tidak asing lagi dengan jenis permainan ini, iaitu Granblue Fantasy.

Permainan ini dibangunkan oleh Cygames, salah satu syarikat pembangun permainan mudah-alih yang paling terkemuka di Jepun, yang juga membangunkan permua-permua lain seperti Princess Connect, Shadowverse dan Uma Musume: Pretty Derby yang semuanya mempunyai jumlah peminat dan pemain yang cukup ramai sekali.

Granblue Fantasy kini berumur tujuh tahun, dan untuk sebuah permua yang secara lazimnya dimainkan di pelayar web, ia telah menerima pelbagai jenis penambahbaikan untuk membolehkan pengguna melayari permainan ini dengan lebih mudah.

Apakah Itu Granblue Fantasy?

Secara ringkasnya, Granblue Fantasy ialah sebuah permainan pelayar web berbentuk turn-based JRPG yang menggabungkan sistem integrasi diantara watak, senjata dan raksasa yang mana tujuannya ialah untuk mendapatkan nilai serangan yang semakin tinggi.

Ini digabungkan dengan jalan cerita yang pada pendapat saya sedikit perlahan pada mulanya, tetapi menjadi lebih mendalam apabila lebih lama anda memainkannya. Dalam pada itu, ia juga mempunyai runut bunyi yang sangat sedap, dimana sejumlah daripada runut bunyi awal permainan ini ditulis oleh bapa runut bunyi Final Fantasy sendiri, Nobuo Uematsu.

Akan tetapi, sesiapa yang memainkan permainan ini akan memberitahu anda bahawa tujuan utama kipas susah mati permua ini ialah untuk membina pasukan-pasukan berkuasa dengan kemampuan untuk menewaskan raksasa-raksasa ini secepat yang mungkin.

Dari segi konsep, Kesemua watak dan raksasa yang anda akan lawan dalam permainan ini akan hadir dengan salah satu daripada enam unsur, iaitu Wind, Fire, Earth, Wind, Light dan Dark. Terdapat juga beberapa musuh yang tidak mempunyai unsur, tetapi ini secara lazimnya hanya penting apabila anda berada pada tahap pertengahan dan hujung permainan.

Dari segi tahap watak, seperti kebanyakan permainan yang lain, ia hadir dengan watak Rare (R), Super Rare (SR) dan Super Super Rare (SSR). Kesemua watak-watak ini juga akan hadir dengan kebolehan masing-masing, dan kebanyakan masanya, seorang watak akan mempunyai variasi unsur lain yang boleh digunakan dalam parti yang berlainan.

Pemurah Gacha

Saya mula memainkan permainan ini sekitar tiga tahun lepas, tetapi pada waktu tersebut, sistem permainan ini boleh saya katakan sangat tidak mesra pengguna, tetapi oleh kerana Cygames sangat bermurah hati dengan sistem gacha mereka, saya menggunakan permainan ini sebagai cara untuk mengubati ketagihan gacha saya tanpa membelanjakan wang.

Untuk ini, saya hanya perlu rajin melog masuk setiap hari dan mendapatkan ganjaran harian khususnya daripada pelbagai acara yang hadir hampir setiap bulan.

Malah, jika anda sedang berfikir untuk berjinak-jinak dengan Granblue Fantasy, saya sarankan anda mendaftar sebuah akaun sekarang, cuba memainkannya untuk seketika sementara menunggu acara hujung tahun pada bulan Disember dan juga acara ulang-tahun sekitar bulan Mac, yang secara lazimnya akan memberi pengguna Crystal dan roll percuma setiap hari untuk berminggu-minggu lamanya.

Malah, sepanjang acara hujung tahun dan ulang tahun, Cygames akan memberi pemainnya 10 roll percuma setiap hari dengan peluang untuk mendapatkan 100 roll jika anda bernasib baik. Bukan itu sahaja, Cygames juga kadang-kala akan hadir dengan acara fizikal yang mana mereka akan memberikan barang dalam permainan percuma yang sangat diperlukan oleh pemain untuk meningkatkan tahap permainan mereka.

Cygames baru-baru ini mencatatkan jumlah 29 juta pemain yang berdaftar untuk Granblue Fantasy, dan bersempena dengan itu, mereka sekarang hadir dengan acara dimana setiap hari pemain melog masuk kedalam permainan, mereka akan dihadiahkan 200 crystal dan satu roll sehari selama dua minggu.

Untuk masa terhad ini, mereka juga hadir dengan acara kolaborasi bersama-sama anime terkemuka Gintama, yang mana ia bukanlah sesuatu yang baru. Granblue Fantasy juga sebelum ini dilihat berkolaborasi dengan pelbagai anime popular seperti Code Geass, Kimetsu no Yaiba, Love Live dan Idolm@ster.

Apabila anda mendalami permainan ini, anda akan sedar bahawa ia hadir dengan begitu banyak kandungan, dan akan rasa pening tentang apakah yang anda perlu buat dalam permainan ini untuk meneruskan perjalanan anda.

Untuk saya, sehingga baru-baru ini, saya cukup gembira untuk menggunakan semua crystal saya untuk mendapatkan watak baru sahaja.

Asas Parti Granblue Fantasy

Penjelasan mengenai sistem Granblue Fantasy mungkin sedikit rumit sekiranya anda seorang pemain yang baru, jadi didalam bahagian ini saya akan cuba menerangkannya dengan cara seringkas yang mungkin.

Setiap parti Granblue akan terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu watak yang dimainkan, grid senjata dan juga grid summon. Pada permulaan permainan ini, anda tidak akan mempunyai begitu ramai watak yang boleh dimainkan, tetapi apabila anda mula untuk menggunakan sistem gacha untuk mendapatkan watak-watak baru, secara lazimnya anda akan mahukan parti anda untuk hadir dengan watak-watak daripada unsur yang sama sahaja.

Ini adalah untuk mengambil kesempatan keatas pertalian diantara unsur dalam permainan yang mana secara lazimnya anda akan mahu menggunakan parti dengan unsur yang lebih kuat berbanding dengan unsur yang hadir pada raksasa tersebut.

Sebagai contoh, anda akan mahu menggunakan parti dengan unsur Water menentang Fire, ataupun parti Wind menentang Earth. Untuk Light dan Dark, kedua-dua unsur ini menentang satu sama lain, jadi kedua-dua unsur tersebut adalah terasing daripada empat unsur awal tersebut.

Watak-watak yang digunakan juga tidaklah begitu penting sehingga anda mula berlawan dengan raksasa-raksasa kelas Omega dan keatas. Apa yang lebih penting ialah senjata-senjata dan summon yang digunakan, kerana grid-grid tersebut ialah apa yang akan meningkatkan nilai nyawa dan juga kuasa serangan anda.

Salah satu sebab mengapa Cygames bermurah hati mengenai sistem gacha mereka ialah kerana neraka sebenar permainan ini hadir melalui proses grinding untuk senjata dan raksasa summon permainan ini, dan bukan watak-watak yang boleh dimainkan.

Pilih Untuk Membakar Masa Ataupun Wang

Daripada tajuk artikel ini, anda pastinya akan tertanya-tanya tentang apakah yang saya maksudkan apabila saya berkata bahawa permainan ini memakan masa dan bukan wang. Seperti yang saya katakan, Cygames sangat murah hati apabila tiba masa untuk mendapatkan watak-watak baru.

Daripada bahagian sebelum ini juga saya ada katakan bahawa neraka sebenar untuk permainan ini hadir melalui proses grinding untuk senjata dan summon raksasa-raksasa. Ini adalah kerana untuk kelengkapan ini, anda mempunyai dua pilihan: Samada untuk membayar wang yang banyak untuk mendapatkan senjata-senjata yang diperlukan, ataupun meluangkan masa untuk mendapatkan senjata-senjata ini.

Untuk memudahkan perbincangan, untuk pemain yang hanya mahu membelanjakan wang yang sedikit dalam permainan ini untuk mendapatkan watak-watak sahaja, mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan senjata dan summon Magna dalam permainan ini untuk meningkatkan tahap kekuatan parti-parti mereka.

Magna merujuk kepada senjata dan summon kelas Omega apabila anda memainkan permainan ini dalam bahasa Inggeris. Terma Magna digunakan oleh pemain Jepun, dan oleh kerana beberapa tahun pertama permainan ini hanya hadir dalam bahasa tersebut sebelum Cygames mengimplimentasi menu bahasa Inggeris, terma Magna digunapakai pemain-pemain sehingga kini.

Dalam penerangan yang mudah, apabila anda sampai ke satu tahap dimana anda boleh mula mengakses raid kelas Omega, anda akan mahu mendapatkan senjata dan summon yang boleh didapati pada raksasa-raksasa ini untuk membina grid senjata anda.

Bunyinya mudah, tetapi jujur saya katakan bahawa penyeksaannya tiba apabila raksasa-raksasa ini tidak memberikan senjata yang diperlukan dengan mudah. Setiap unsur akan mempunyai senjata khususnya sendiri yang anda akan inginkan, seperti Leviathan Gaze Omega untuk unsur air, Colossus Cane Omega untuk unsur api dan sebagainya.

Dan untuk mendapatkan senjata-senjata dan summon ini, anda akan perlu melakukannya berkali-kali sehinggalah Cygames merasakan yang anda patut mendapat senjata-senjata dan summon ini.

Bukan itu sahaja, untuk menaiktarafkan kekuatan senjata anda, anda akan perlu mendapatkan salinan tambahan senjata ini untuk menaiktarafkannya, sama seperti senjata-senjata pada Genshin Impact. Untuk menaiktarafkan senjata kepada empat atau lima bintang, anda akan perlu mendapatkan bahan-bahan daripada pelbagai raksasa dalam permainan ini juga, dan proses ini akan menelan masa yang boleh saya katakan cukup lama.

Dan selepas anda siap membangunkan grid asas anda, yang anda boleh lihat melalui panduan dalam permainan, anda boleh mula grind untuk senjata Magna kelas kedua pula, dan secara lazimnya, untuk ini, anda akan mahu cuba untuk meminta bantuan pemain-pemain lain untuk membantu anda menewaskan raksasa-raksasa ini, kerana dengan ia cukup mustahil dengan grid permulaan biasa.

Kebanyakan kandungan-kandungan ini dihalang oleh Rank Level anda, tetapi dari Rank 1-100, ia tidak mustahil untuk dinaikkan dengan cepat, dimana bermula Rank 101, anda akan boleh memasuki raid kelas Impossible. Nasihat saya jika anda baru berjinak dengan permainan ini ialah untuk cuba memasuki raid kelas Nightmare apabila anda mencapai Rank 50, dan cuba untuk membuat hos harian raid anda sendiri apabila mencapai Rank 80.

Bermula Rank 120 ke atas, anda akan mahu untuk mula memasuki raid Omega II untuk mendapatkan senjata-senjata kelas tersebut juga. Pada fasa ini, anda akan rasa renyah untuk memainkannyam khususnya anda akan perlu mendapatkan Primal Crystal daripada raid kelas Impossible untuk memulakan raid pada kelas ini.

Kandungan Tak Terhabis

Diantara kelebihan utama Granblue Fantasy, ialah ia mempunyai jumlah kandungan yang cukup banyak sekali. Selain daripada memainkan kandungan raid sahaja, pengguna mempunyai pilihan untuk memainkan kandungan tambahan yang lain, seperti Arcarum, yang secara ringkasnya ialah kandungan dungeon-crawling yang juga merupakan salah satu kandungan penting yang mana anda boleh mendapatkan watak, senjata dan summon yang berkuasa.

Selain daripada itu, selang setiap beberapa minggu, Cygames akan memperkenalkan kandungan Side Stories yang mana mereka akan memperkenalkan jalan cerita baru yang akan memberi pengguna watak-watak terhad dan juga senjata-senjata baru.

Salah satu kepentingan Side Stories ialah sebahagian daripadanya perlu dilakukan untuk menyahkunci sejumlah kebolehan watak-watak dalam permainan ini, dan juga diperlukan untuk menyahkunci sejumlah senjata yang diperlukan untuk menaiktarafkan grid senjata anda.

Selain daripada itu, jalan cerita sejumlah kandungan Side Stories juga sangat menarik, dan hadir dengan alih suara daripada pelakon suara yang sangat popular di dunia anime.

Permainan Rumit? Ia Bukan Hanya Anda

Salah satu kelemahan terbesar Granblue Fantasy ialah ia tidak menerangkan sistem parti mereka dengan begitu baik. Malah, apabila anda merasakan bahawa anda mahu menjadi lebih serius dalam permainan ini, anda akan merasa bahawa terdapat banyak benda yang boleh dibuat oleh Cygames untuk menjadikan permainan ini lebih mesra pengguna.

Pertama ialah antaramuka permainan ini yang kelihatan seperti laman web Jepun dari era lewat 90an. Untuk permainan yang mempunyai hampir 30 juta pemain dan peminat di seluruh dunia, antaramuka Granblue Fantasy pada pendapat saya ialah salah satu aspek permainan ini yang saya tidak akan fahami. Dengan rekaan laman web yang sangat padat dengan maklumat, bersama-sama butang-butang timbul (embossed) yang mengingatkan saya tentang laman web pada era 90-an.

Kedua ialah permainan ini tidak menerangkan konsep grid senjata dan summon mereka dengan begitu jelas. Mereka ada memberi panduan ringkas tentang senjata-senjata yang diperlukan untuk meningkatkan kuasa serangan dan nyawa anda, tetapi jika anda ingin penerangan yang lebih mendalam, anda akan perlu mencari kandungan yang dibangunkan oleh pemain sendiri.

Ketiga, banyak kandungan tahap pertengahan ke penghujung memerlukan anda bekerjasama dengan para pemain lain untuk menewaskan raksasa-raksasa yang mempunyai tahap nyawa dan serangan yang tinggi. Akan tetapi, senarai raid multi-pemain dalam permainan ini adalah sangat terhad, dan sekali lagi, anda akkan perlu menggunakan perkhidmatan parti ketiga untuk memudahkan akses kepada raid multi-pemain.

Keempat ialah anda akan sampai satu tahap dimana senjata-senjata yang anda perlu dapatkan untuk meningkatkan kuasa serangan akan mengambil masa yang sangat lama untuk didapati. Saya boleh katakan bahawa saya berada di tahap ini sekarang: Walaupun dengan bonus peratusan yang ditingkatkan untuk bos unsur cahaya, saya masih tidak mendapat senjata Luminiera Omega Sword ataupun Pillar of Light selepas menuai bos Metatron Impossible untuk 3-4 hari.

Pemain-pemain veteran akan memberitahu anda bahawa ini adalah lumrah pemain Granblue Fantasy selepas mencapai satu tahap, tetapi anda boleh memilih sendiri samada anda mahu menerimanya ataupun tidak. Bagi saya, terdapat banyak lagi benda yang boleh saya lakukan dalam permainan ini sekiranya saya berasa pasrah tidak menerima benda yang saya ingini, jadi saya hanya akan bermain kandungan tersebut secara ala kadar sahaja.

Mudahkan Pengalaman Permainan Anda

Saya ada katakan bahawa walaupun permainan ini sangat mengasyikkan, anda akan memerlukan bantuan kandungan yang dibangunkan pemain permainan ini sendiri. Dibawah ialah beberapa panduan dan laman web yang saya sendiri gunakan untuk meningkatkan mutu permainan saya dalam permainan ini.

GBF Wiki

GBF Wiki secara ringkasnya ialah laman web yang mengandungi pelbagai jenis maklumat mengenai permainan ini, daripada watak-watak yang boleh dikumpul, acara utama dan sampingan yang diperkenalkan sepanjang hayat permainan ini, dan juga maklumat tentang bahan-bahan yang diperlukan untuk menaiktarafkan senjata-senjata anda, misalnya. Jika anda memerlukan apa-apa maklumat mengenai permainan ini, ini adalah laman web terbaik yang boleh dilawati.

Jeb’s Magna Grid Guide

Bagi mereka yang sudah menemui rentak awal dalam permainan ini dan mahu menaiktarafkan kekuatan serangan dan nyawa mereka, Jeb’s Magna Grid Guide merupakan panduan terbaik bagi mereka yang mula mahu mengorak langkah kearah membangunkan grid senjata Magna 2 dan keatas, iaitu sebuah proses penaiktarafan percuma, tetapi akan mengambil masa yang lama.

Panduan ini memudahkan anda untuk merancang proses penaiktarafan anda dengan mudah, dengan memberi anda beberapa pilihan grid untuk pasukan-pasukan yang anda mahu bina. Proses untuk mendapatkan senjata Magna 2 tidak mudah kerana proses ini menelan masa yang agak lama bergantung kepada nasib anda untuk mendapatkan senjata-senjata ini.

Pooky’s Weapon Grid Resource

Jika Jeb’s Magna Grid Resource memberi anda senarai grid yang mudah diikuti, Pooky’s Weapon Grid Resource adalah sumber terbaik untuk anda mempelajari tentang senjata-senjata didalam permainan ini secara satu persatu. Maklumat daripada laman web ini akan membolehkan anda memilih sendiri senjata-senjata yang boleh dimuatkan dalam grid yang anda mahu bina sendiri yang boleh memanfaatkan watak-watak yang anda miliki.

GBF Life

Apabila anda bermain GBF, anda akan sampai ke satu tahap dimana anda akan perlu melawan satu-satu bos berkali-kali untuk mendapatkan senjata ataupun summon yang diperlukan untuk meningkatkan kuasa serangan anda. GBF Life ialah laman web yang menyenaraikan kesemua bos-bos yang anda boleh lawan sekarang untuk mendapatkan kelengkapan-kelengkapan ini.

Bagaimana laman web ini berfungsi ialah ia akan mengambil kod raid room anda setelah anda poskannya ke Twitter, dan orang ramai boleh melihat kod tersebut dan memasukkannya secara terus kedalam permainan dan menyertai pertarungan anda dengan cepat. Anda juga boleh melakukannya selama mana anda mahu, kerana tidak seperti hos yang hanya boleh dilakukan dua kali sehari, anda boleh menyertai raid pemain lain selagi anda mempunyai EP yang mencukupi.

Reddit Granblue Fantasy

Jika anda mahu berbincang dengan para pemain Granblue Fantasy lain, atau mahu mendapatkan apa-apa maklumat tambahan mengenai permainan ini, laman Reddit Granblue Fantasy juga merupakan salah satu laman yang terbaik untuk anda dapatkan pendapat terbaru mengenai permainan ini.

Saya biasanya akan melayari Reddit GBF untuk mengetahui pendapat orang ramai tentang adakah berbaloi untuk mendapatkan watak-watak yang baru dikeluarkan oleh Cygames untuk permainan ini, ataupun acara-acara baru yang secara lazimnya akan memperlihatkan watak dan senjata baru juga.

Penutup

Tidak salah jika anda memperlihatkan Granblue Fantasy sebagai sebuah permainan yang sangat rumit untuk dipelajari. Bagi saya yang berjinak-jinak dengan permainan ini sekitar tiga tahun lalu, saya memerlukan bantuan dari rakan saya yang memberi saya sedikit panduan untuk bagaimana menavigasi permainan ini, dan memanfaatkan kelengkapan saya yang sedia ada untuk mempercepatkan proses peningkatan tahap kuasa saya.

Granblue Fantasy memberi para pemain mereka peluang untuk memainkan permainan ini dengan pelbagai cara yang mereka inginkan, dari mereka yang hanya mengumpul kristal untuk mendapatkan watak-watak yang baru diperkenalkan, sehinggalah mereka yang mahu menewaskan bos-bos yang berkuasa secara seorang diri tanpa memerlukan bantuan dari sesiapapun.

Tidak kira jika anda ketagih gacha percuma, ataupun mahu mengumpul watak yang banyak, ataupun mengejar nilai angka serangan yang tinggi dan mencabar diri anda untuk menewaskan musuh-musuh yang kuat, ia hanya bergantung kepada anda cara anda mahu menikmati permainan ini.

Leave a Reply