Siri animasi antalogi Marvel Studios pertama iaitu What If…? akhirnya telah tamat dengan musim pertama pada Rabu minggu lepas. Daripada 30 logline, 10 dipilih untuk musim pertama – tetapi hanya 9 episod sahaja berjaya disiarkan. Siri animasi ini bermain dengan konsep Multiverse buat pertama kalinya dalam MCU dan animasi ini menceritakan filem-filem MCU yang berlaku di dunia lain.

Kami di Aksiz berpeluang menemuramah pasukan produksi di sebalik siri animasi ini. Terima kasih kepada Disney+ Hotstar Malaysia yang memberi peluang ini kepada kami. Turut berterima kasih kepada ahli-ahli FB Group Disney+ Hotstar Malaysia yang turut menyumbang soalan.


Temuramah ini adalah secara bersemuka, yang diadakan sebelum What If…? mula disiarkan.

Penyunting – Graham Fisher Dan Joel Fisher

Soalan: Apakah cabaran yang ditempuhi sepanjang produksi siri animasi ini?

Jujur kami katakan, tiada halangan yang begitu mencabar pun dengan penghasilan siri animasi ini. Sebab utama adalah kami berdua memang minat dengan pelbagai siri animasi Marvel sebelum ini, seperti X-Men dan Spider-Man. Kemudian dengan ada rujukan kepada filem MCU yang asal, mempunyai barisan pelakon suara yang cukup berbakat – kami berjaya hadir dengan animasi yang memberikan pengalaman dengan nilai sinematik menonton seakan menonton filem MCU versi aksi nyata.

Walaupun ia adalah antologi, episod akhir ini akan ditutup dengan gabungan yang mana setiap episod berkait dengan satu sama lain.

Komposer – Laura Karpman

Soalan: Apakah inspirasi muzik untuk siri animasi ini? Ia mempunyai vibe seakan filem aksi nyata, tetapi masih ada yang menjadikan ia rasa lain.

Sudah semestinya inspirasi adalah daripada filem asal itu sendiri. Disebabkan ini adalah What If…? iaitu dunia berlainan yang kisahnya tunggang terbalik dan banyak benda gila berlaku, jadi ada muzik yang saya ubah muzik asal dan mainkan daripada belakang dan turut mencampur aduk agar menjadi lebih gila bersesuaian dengan setiap episod sambil mengekalkan elemen asal.

Untuk episod Dr. Strange misalnya, kisah cinta pertama Marvel Studios, ambil konsep muzik asal dan campurkan elemen muzik romantik.

Penyelia Animasi – Stephen Franck

Soalan: Ada rujuk animasi Marvel lain untuk menjayakan animasi What If…?

Tidak. Ini adalah satu iterasi baharu untuk sesebuah animasi, yang mana banyak elemen asal filem aksi nyata dikekalkan. Ia amat berlainan dan berbeza dengan animasi-animasi Marvel lain. Disebabkan itu pergerakan, susunan semuanya ada mengikut filem sebenar 100% konsep filem MCU yang berlaku di garis masa lain atau dunia lain dalam satu format baharu.

Untuk rekaan watak pula, misalnya Cute Thanos – masih ada niat untuk menghapuskan 50% kehidupan dunia dan alam semesta tetapi diubah dengan memberi satu jiwa baharu. Dengan pengalaman bersama Spider-Man Into The Spider-Verse yang mempunyai konsep animasi serba baharu, saya cuba berikan nafas baharu juga pada animasi ini.

Pereka Produksi – Paul Lasaine

Soalan: Ada apa-apa yang Marvel Studios hadkan dalam menghasilkan siri animasi ini agar jalan cerita tidak terlampau mampat atau serabut?

Ini What If…?, animasi yang memang sudah serabut dan gila pun. Untuk menjayakan konsep ini, sudah tentu tiada sebarang had dikenakan kepada kami. Filem Infinity War dan Endgame itu sendiri sudah serabut dan padat dengan pelbagai perkara, apa salahnya diteruskan dalam siri animasi pula?

Setiap rekaan dalam animasi ini adalah 100% asli dan tidak ada rujukan kepada animasi Marvel lain selain filem asal. 100% dihasilkan daripada A-Z untuk memberikan sesuatu yang baru sambil menghormati filem asal.

Ketua Pembangunan Visual Dan Rekaan Watak – Ryan Meinerding

Soalan: Bagaimanakah proses seni konsep untuk setiap watak dihasilkan?

Semasa menghasilkan siri ini, di dalam bilik mesyuarat setiap poster watak ada dipaparkan di dinding dan kami lihat dan terus tertanya bagaimana kalau watak A ini bertukar dengan watak B dan seterusnya.

Kami ambil watak asal, rekaan masing-masing, dan gabungkan dengan watak lain. Disebabkan itu, watak yang sama semua kenal tetapi mereka juga adalah watak lain pada masa yang sama. Perwatakan watak asal itu masih ada, memberikan penonton vibe yang mereka adalah orang sama daripada filem tetapi dalam bentuk animasi dengan peranan yang lain.

Cute Thanos, Captain Carter, Psycho Pym, Starlord T’Challa dan lain-lain semuanya anda akan kenali dan anda akan sedari mereka sesuai dengan watak lain ini. Dengan pergerakan animasi diambil secara terus daripada filem, satu kelainan dapat dialami.


Daripada 10 logline dipilih, baki 20 logline telah disahkan oleh pasukan produksi ini akan digunakan dalam musim akan datang. Bila dan kisah apa masih tidak didedahkan lagi. Marvel ada janji juga akan ada episod yang memberi fokus kepada watak Iron Man/Tony Stark, itu akan ada dalam musim akan datang.

Adakah anda sudah tonton musim pertama What If…? ini? Jika tidak anda boleh tonton di Disney+ Hotstar dan maratonton kesemuanya. Kami juga telah selesaikan ulas dan memberi sedikit kupasan dan pendapat dalam artikel ulasan. Bacanya di bawah;

Baca: Ulasan What If…?

Sohor Kini