Squid Game ialah fenomena yang boleh kami katakan sama hebat seperti Gangnam Style. Di Malaysia hampir semua jenama menggunakan meme Squid Game untuk menarik minat pelanggan. Sementara itu di media sosial Malaysia ramai mula mencadangkan apakah permainan yang dimainkan jika Squid Game diadakan di Malaysia. Sehingga hari ini Squid Game masih lagi di tempat pertama rancangan paling popular di Malaysia. Bagaimana pula ia di peringkat global?

Menurut CEO Netflix Ted Sarrandos di acara Code Conference, Squid Game kini ialah rancangan yang paling popular Netflix di peringkat global sehingga berada di tempat pertama di banyak negara. Tambah beliau lagi Squid Game kini ialah rancangan bukan berbahasa Inggeris paling popular pernah diterbitkan Netflix.

Lebih membanggakan Squid Game ialah rancangan pertama dari Korea Selatan yang berjaya mencapai tahap pertama di Amerika Syarikat hanya empat hari selepas ditayangkan di negara tersebur. Berdasarkan jumlah ia telah distrim setakat ini, ia juga bakal menjadi rancangan paling banyak di strim dalam sejarah Netflix.

Sebelum ini Netflix mendedahkan siri paling popular mereka ialah Bridgerton musim pertama yang ditonton 82 juta akaun sementara rancangan yang paling popular pula ialah Extraction yang ditonton 99 juta akaun Netflix.

Jadi apa yang boleh kita pelajari dari Squid Game? Sekiranya kandungan yang ditawarkan adalah padu, bahasa bukanlah penghalang. Ini dibuktikan oleh Parasite sebelum Squid Game.

Baca ulasan kami untuk Squid Game

Sohor Kini