Sinema Sampah Sabtu #2 – 211

Selamat datang ke kolum Sinema Sampah Sabtu #SSS di Aksiz. Selalunya apabila anda membaca artikel di laman kami, kami cuba memberikan saranan kandungan yang bagus untuk ditonton menerusi kolum Apa Kami Tonton Minggu Ini. Tetapi kami menyedari dengan terdapat pelbagai platform penstriman di luar sana dengan kandungan baharu setiap hari. #SSS kami wujudkan untuk mengelakkan anda menghabiskan data Internet dan masa yang terluang yang cukup berharga.

Untuk kolum sulung minggu lalu aku sarankan jangan tengok SAS :Rise of The Black Swan. Minggu ini aku teruskan tema ketenteraan dan adaptasi dari buku. Filem sampah minggu ini ialah 211.

Kenapa Anda Mungkin Tergoda Nak Tonton?

Kerana pada poster dan thumbnail di Netflix muka Nicolas Cage yang kacak terpapar dengan sungguh prominen sekali. Nicolas ialah antara pelakon terbaik di dalam generasinya dengan kejayaan memenangi anugerah Oscar, Golden Globe, MTV Movie Award, dan BAFTA. Sebab utama aku klik filem ini di Netflix adalah kerana ia adalah cerita yang baru ditawarkan dua minggu lalu.

Tiada sebab lain untuk menonton filem ini kerana hanya Cage satu-satunya pelakon yang dikenali ramai. Jika anda adalah peminat tegar filem Nicolas Cage, fakta menarik mengenai filem ini ialah ia turut dibintangi Weston Cage, anak lelaki Cage yang sebelum ini turut berlakon bersama bapa beliau dalam filem Lords of War, dan Tokarev.

Satu lagi sebab kenapa aku menonton filem ini ialah kerana aku sedang membuat senarai filem-filem rompakan terbaik yang boleh ditonton di Aksiz.

Cerita Ini Pasal Apa?

Nicolas Cage ialah seorang polis yang terampil yang mempunyai isu dengan anak perempuan beliau kerana insiden yang berlaku kepada isteri beliau beberapa tahun yang lalu. Beliau terperangkap di dalam serangan perompak bank profesional yang cuba mendapatkan dana yang dicuri dari mereka semasa melakukan kontrak keselamatan di Afghanistan.

Wang disimpan di sebuah bank di sebuah bandar kecil. Dari awal sehingga habis, kita mengikuti perjalanan Nicolas Cage untuk mengelakkan diri dari dibunuh oleh perompak bank dan pada waktu yang sama juga cuba memastikan pegawai polis yang lain turut terselamat. Subplot tambahan ialah semasa kejadian berlaku, Nicolas Cage membawa seorang remaja awam untuk menunjukkan kehidupan seharian seorang polis.

Adakah Nicolas Cage mampu mengalahkan perompak yang juga merupakan bekas anggota pasukan khas yang berpengalaman luas? Siapa mati? Siapa hidup? Paling penting sekali adalah Nicolas Cage akan mempamerkan kemampuan lakonan beliau seperti filem The Rock ataupun berlakon segan bersara tak mahu seperti filem-filem lakonan beliau sejak akhir-akhir ini. Aku tak mahu berbohong, jawapan kepada soalan ini ialah ini ialah lakonan sampah Nicolas Cage yang setanding dengan USS Indianapolis: Men of Courage yang turut boleh aku kategorikan sebagai filem sampah.

Kenapa Ia Sinema Sampah?

How can I start to review this mess? Kita mulakan dari babak pembukaan yang akan membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak walaupun ia sebenarnya sebuah babak yang serius. Dua watak dipaparkan melakukan pemindahan wang haram di Afghanistan ke beberapa bank berbeza menggunakan sistem perbankan atas talian. Di skrin terpapar jelas perkataan “TRANFERRING” tetapi pengguna komputer riba dapat dilihat menaip dengan pantas sepanjang masa. Mengapa beliau menaip pantas untuk jangka masa yang lama ketika melakukan pemindahan wang?

Aku banyak kali melakukan pemindahan wang ke akaun orang lain sejak menjadi manusia berguna dan tidak pernah sekalipun ia memerlukan aku menaip pantas pada papan kekunci seperti sedang menulis ulasan panjang untuk Aksiz. Tak pernah sekalipun dan aku yakin tak akan berlaku di masa hadapan.

Kemudian dua watak ini diserang secara tiba-tiba oleh tentera upahan yang terdiri daripada empat orang sahaja. Dalam masa dua minit, dua watak yang diperkenalkan tadi bersama dengan pasukan keselamatan yang terdiri daripada sekitar 10 orang berjaya dibunuh oleh empat orang. Sekaligus memberikan idea bahawa tentera upahan ini power gila dalam membunuh orang tanpa sebarang rasa belas kasihan.

Babak bad ass ini kemudian diikuti oleh babak tak masuk akal. Kita diberitahu tentera upahan tidak menerima bayaran $1 Juta yang dijanjikan oleh salah seorang dari watak yang diperkenalkan tadi. Selepas cedera parah, beliau berkata jika tidak dibunuh wang upahan boleh dipindahkan sekarang menggunakan komputer dan perbankan atas talian.

Dalam dunia sebenar yang menggunakan logik akal, medulla oblongata dan tentera upahan mempunyai sel-se otak yang bersambung, mereka akan memilih untuk wang tadi dipindahkan dahulu sebelum membunuh lelaki yang cuba menipu. Tetapi ini ialah filem bangang yang skripnya mungkin ditulis oleh insan yang diberikan alkohol sejak dari lahir. Maka tentera upahan tadi memilih untuk “we could do it our way the hard way” dengan merompak bank secara fizikal bagi mendapatkan sebahagian kecil dari wang yang dicuri.

Nicolas Cage bertanya mengapa filem ini pendek tetapi terasa dua kali ganda terlalu panjang.

Bermula dari keputusan IQ rendah ini, IQ penonton akan turut turun mendadak selepas menonton filem sepanjang 82 minit ini. Ya 82 minit nampak macam pendek tetapi bila berhadapan dengan babak yang menghina intelek pelajar TASKI ia membuatkan filem terasa seperti sepanjang 211 minit yang amat menyeksakan.

Aku tak mahu spoiler filem ini langsung kerana pelan akhir perompak untuk melepaskan diri di third act adalah sangat tak masuk akal ini membuatkan babak mereka ialah pakar taktik dan perang membunuh 10 orang dengan pantas di awal filem menjadi tak releven. Bunuh 10 orang askar yang menggunakan AK-47, LMG dan body armour tiada masalah tetapi meloloskan diri dari pasukan polis dengan Beretta sangat susah mengikut logik penulis filem ini merangkap pengarahnya juga.

Jika anda masih tak setuju bahawa plot filem ini sampah, Nicolas Cage sendiri mengatakan beliau kecewa dengan filem ini. Kalau Nicolas Cage kecewa dengan filem sampah ini tak ada sebab untuk orang lain mengatakan ia tidak sampah.

OK Filem Ini Sampah Maka Apa Alternatif Yang Ada82 min

Bunyi yang keluar dari mulut aku setiap kali decision bangang dilakukan watak dalam filem.

Jangan buang data mahal dan masa terluang anda dengan 211. Aku sarankan filem-filem di bawah kalau nak tonton juga filem mengenai rompakan bank yang tidak akan membuatkan IQ anda menjunam di akhir filem.

Den of Thieves (Netflix)

Pasukan perompak yang terdiri daripada bekas anggota pasukan Marin di Iraq menjadi geng perompak yang paling berjaya di Los Angeles. Kehebatan taktikal mereka di medan perang digunakan untuk merompak wang dari tempat simpanan wang persekutuan. Dapat dilihat bagaimana kepakaran ketenteraan digunakan dengan bijak dan bukan semberono. Mereka cuba dihentikan oleh pasukan polis anti rompakan bank yang korup pimpinan Gerard ‘Leonidas’ Butler yang sangatlah unlikeable anda menyokong perompak untuk berjaya dalam filem ini.

HEAT (Prime Video dan MUBI)

Filem yang memperkenalkan aku kepada genre bank heist. Michael Mann menghasilkan filem yang sehingga ke akhir ini menjadi standard emas untuk filem rompakan. Robert De Niro, Al Pacino, Val Kilmer, Danny Drejo, Natalie Portman, Ashley Judd dan Tom Sizemore adalah assembled cast yang cukup padu. Heat ialah filem yang digunakan oleh perompak North Hollywood Shootout untuk merompak bank menggunakan senjata berat dua tahun selepas filem di pawagan. It is that damn good.

The Bank Job (Play Movies dan Apple TV)

Cerita yang berdasarkan kisah sebenar rompakan Baker Street Robbery di England. Jason Statham ialah perompak kacak yang ingin mencuri duit dan dokumen rahsia di dalam bilik kebal Lloyds Bank. Filem yang tidak linear dan mempunyai babak merompak dan meloloskan diri yang tidak membosankan. The Bank Job turut membuktikan filem rompakan bank tidak semestinya berakhir dengan 100,000 tembakan peluru, letupan bom dan darah membuak-buak .

Sohor Kini