Sinema Sampah Sabtu – SAS : Rise of The Black Swan

Selamat datang ke kolum Sinema Sampah Sabtu atau dengan tagarnya #SSS di Aksiz. Selalunya apabila anda membaca artikel di laman kami, kami cuba memberikan saranan kandungan yang bagus untuk ditonton menerusi kolum Apa Kami Tonton Minggu Ini. Tetapi kami menyedari dengan terdapat pelbagai platform penstriman di luar sana dengan kandungan baharu setiap hari. #SSS kami wujudkan untuk mengelakkan anda menghabiskan data Internet dan masa yang teluang yang cukup berharga.

Untuk kolum sulung kami sarankan anda jangan menonton SAS :Rise of The Black Swan yang ditawarkan di Netflix hanya beberapa hari yang lalu.

Kenapa Anda Mungkin Tergoda Nak Tonton?

Kerana ada perkataan SAS – Special Air Services di dalam tajuk seakan memberikan harapan ini ialah siri aksi yang padu seperti Die Hard, Rambo, Den of Thieves atau Man of Valor. Tambah menarik lagi jika anda melakukan carian Google SAS : Rise of The Black Swan ini adalah adaptasi dari buku Red Notice (tajuk asal filem ini ialah Red Notice tetapi ditukar di Netfix untuk mengelakkan kekeliruan dengan filem Dwayne Johnson dengan nama yang sama) yang ditulis oleh Andy McNab.

Siapa Andy McNab? Beliau ialah Tom Clancy versi UK yang juga merupakan bekas ahli SAS sebenar yang pernah ditangkap ketika Perang Teluk. Buku Bravo Two Zero yang menceritakan pengalaman beliau mendedahkan beberapa rahsia kehidupan sebenar anggota SAS dan bagaimana beliau terselamat dari mata di Iraq. Di dalam filem adaptasi McNab dilakonkan pula oleh Sean Bean.

Kemudian kalau lihat pada poster dapat melihat pula barisan pelakon yang mantap. Kita ada Andy Serkis (Lord of The Rings), Tom Wilkinson (Batman Begins), Sam Heugan (Outlander), Ruby Rose (John Wick 2), Hannah John-Kamen (Killjoys) dan Jing Lusi yang melakonkan watak Puteri Meng Li dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa. Senarai pelakon yang cantik, menarik, tertarik dan memang the bomb. Aku mengaku hanya menonton filem ini lepas ternampak nama Andy Serkis dan Hannah John-Kamen seperti ikan yang ternampak umpan di kail sehingga dicangkuk dengan mudah.

Cerita Ini Pasal Apa?

Cerita tak penting bila menonton filem aksi tetapi basically ia klise cerita pasukan khas yang cuba menentang serangan pengganas. Yang menyegarkan ialah pengganas kali ini bukan dari Rusia, Iraq atau some random Abdul yang menjerit Allah Akbar! setiap lima minit. Watak antagonis dipegang oleh Ruby Rose yang melakukan serangan sebagai membalas dendam ke atas tindakan kerajaan United Kingdom terhadap ahli keluarga beliau.

Watak protagonis pula dilakonkan oleh Sam Heugan, seorang ahli pasukan SAS yang terperangkap di dalam kereta api bersama teman wanita apabila ianya diserang pasukan pengganas Black Swan pimpinan Ruby Rose.

Kenapa Ia Sinema Sampah?

Kerana ia adalah sebuah B Movie dekad 80an yang diberikan nafas baharu yang sebenarnya dikitar semula dari saki baki idea gagal John McTiernan, Tony Scott dan John Woo. Filem ini boleh diagak dari awal hinggalah ke akhir. Kenapa pasukan SAS yang mantap boleh dipatahkan pasukan pengganas dengan mudah? Kerana ada orang dalam! Siapa orang dalam itu? Oh mestilah watak yang rapat dengan hero filem bagi menimbulkan ketegangan untuk second act filem.

Filem klise sebenarnya bukan dosa besar. Filem seperti Wrath of Man, Rambo, Nobody, John Wick dan The Expendables semuanya mempunyai jalan cerita yang ringan serta boleh diteka. Yang membuatkannya sedap ditonton ialah lakonan serta aksi yang mantap dari pelakon.

Dalam Rise of The Black Swan bukan sahaja jalan cerita klise tetapi aksinya nampak murah lengkap dengan CGI cap ayam, kesan khas tembak menembak yang lebih teruk dari video Freddy Wong di Youtube dan on screen chemisty antara watak protagonis teruk seperti magnesium bertemu minyak.

Ruby Rose langsung tidak meyakinkan sebagai ketua pasukan upahan yang elit. Pelbagai keputusan yang dilakukan di medan tempur langsung tak masuk akal seperti letak seorang askar sahaja mengawal kawasan strategik, membiarkan tahanan seorang diri dan bermacam-macam trope komander bodoh yang lebih sinonim dengan filem Steven Seagal pasca tahun 2010.

Amat memalukan tiada realisme dalam filem ini kerana Andy McNab ialah seorang bekas SAS yang sepatutnya memberitahu pengarah apa yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah skuad elit. Rise of The Black Swan ialah filem adaptasi buku ketenteraan kedua selepas Tom Clancy’s Without Remorse yang membuatkan aku kecewa tahun ini. Kedua-dua filem ini kalah kepada PASKAL yang aku sendiri secara peribadi merasakan ada banyak juga babak bermasalah.

Susuh untuk mempercayai seorang wanita kurus kering adalah top top perang pasukan elit yang boleh mengalahkan Sam Heugan yang merupakan Alpha pasukan SAS. Aku tak ada masalah menunjukkan wanita juga boleh menjadi bad ass. Case in point Ultimate Blonde, La Femme Nikita, Captain Marvel dan semua filem Cynthia Rothrock serta Gina Carano aku boleh terima kerana memang pelakon nampak capable.

Ruby Rose tak pernah meyakinkan aku sebagai pelakon aksi wanita sebaik Michelle Yeoh, Sigourney Weaver dan ScarJo. Ini adalah masalah bagi beliau kerana pasca John Wick 2 beliau diberikan watak-watak Bad Ass tetapi semuanya gagal. Usaha menjadikan Ruby Rose the next female action star sama gagal seperti percubaan menjadikan Sam Worthington the next big action star.

OK Filem Ini Sampah Maka Apa Alternatif Yang Ada

Jangan buang data mahal dan masa terluang anda dengan SAS : The Rise of Black Swan. Aku sarankan filem-filem di bawah dekat Netflix kalau nak tonton juga filem ketenteraan yang ganas yang tidak menghina intelek penonton.

Den of Thieves (Netfli)

Bila Polis tak berapa baik bertemu ruas dengan pencuri dengan latar belakang ketenteraan.

Jarhead (Netflix)

Filem adaptasi dari buku yang lebih realistik (because war is boring) dan tak memperbodohkan penonton

Fury (Netflix)

Filem krew kereta kebal terbaik paling terbaik pernah dihasilkan? David Ayer membuktikan Suicide Squad ialah anomali dan beliau sebenarnya pengarah aksi yang berbakat.

Mosul (Netflix)

Satu filem perang yang bukan dari perspektif barat semata-mata dan lebih relevan sekarang kerana selepas Afghanistan jatuh ke tangan Taliban.

Sohor Kini