Apakah lima siri TV terbaik pernah dihasilkan? Ini ialah soalan yang cukup subjektif tetapi jika anda sudah berusia 40an seperti aku, Band of Brothers kemungkinan besar akan dimasukkan ke dalam senarai 10 yang terbaik. Siri ini menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun ini pada 9 September yang lalu. Ya siri ini ditayangkan di HBO hanya beberapa hari sebelum insiden serangan 911 di WTC yang meragut ribuan nyawa.

Aku sendiri hanya menonton Band of Brother sekitar tahun 2002 apabila ia dikongsi di sistem perkongsian fail kolej semasa masih belajar di Universiti Teknologi Petronas. Dalam masa satu hari ia tular di hampir kesemua kolej kediaman kerana:

a) Ia diterbitkan oleh Tom Hanks dan Steven Spielberg yang terlibat dalam pembikinan Saving Private Ryan – filem Perang Dunia Kedua paling realistik pernah dihasilkan pada waktu tersebut.

b) Ianya siri HBO dan umum diketahui siri dari stesen kabel ini lebih ganas dan realistik tanpa sekatan badan penapisan.

c) Pada waktu itu Medal of Honor Allied Assault, Battlefield 1942 dan Return to Castle Wolfenstein adalah permainan LAN paling popular di kolej dengan tema yang serupa dengan Band of Brothers.

Aku sendiri berminat dengan siri ini kerana ia diadaptasi dari buku Band of Brothers yang ditulis oleh Stephen Ambrose. Penulis yang sama menulis buku D-Day yang aku boleh sarankan anda semua baca kerana ianya menceritakan apa yang berlaku dari hari D-Day hingga hancurnya Hitler di Berlin.

Sempena ulang tahun yang ke-20 tahun ini, HBO telah menerbitkan podsiar rasmi Band of Brothers mereka. Aneh sekali ia langsung tidak diuar-uarkan oleh pihak Warner Media. Aku sendiri terjumpa podsiar ini semasa menggodek kandungan ketenteraan di Spotify. Ia mengandungi 12 episod kesemuanya dengan setakat ini tiga episod telah diteribitkan.

HBO mula mengeluarkan podsiar selepas tayangan siri mereka sekitar dua tahun lalu untuk menerangkan dengan lebih lanjut bagaimana siri diterbitkan, proses pembikinan, kandungan yang mungkin terpaksa dibuang dan cerita kelakar di balik tabir. Podsiar Chernobyl dan Watchmen yang telah mereka terbitkan sebelum ini aku juga boleh sarankan kepada anda yang mahukan something more.

Dalam kes podsiar Band of Brothers, episod pertama Tom Hanks ditemuramah dan beliau berkongsi bagaimana idea menerbitkan siri ini bermula. Ramai mungkin tidak tahu pada asalnya siri ini ingin diterbitkan oleh ABC tetapi Hanks menyedari kandungan yang lebih ‘bersih’ serta kos lebih rendah akan menyebabkan visi asal terpaksa dilupakan. Menarik sekali HBO sendiri yang inginkan siri ini dibuat pada skala lebih besar dengan kos produksi termahal untuk siri TV (melangkaui $100 juta) pada waktu itu.

Terdapat juga anekdot menarik bagaimana skrip diubah semasa produksi selepas melakukan temuramah dengan anggota-anggota Easy Company yang masih hidup. Aku juga baru menyedari fakta dalam buku Band of Brothers telah diubah bagi melindungi identiti sesetengah ahli dari dimalukan. Untuk siri TV, Buck Compton berkeras supaya Hanks dan Spielberg mendedahkan sebab sebenar beliau dipanggil pulang dari Bastogne. Bagi yang lupa beliau mengalami gangguan emosi selepas dua rakan karib cedera parah akibat serangan artileri Jerman. Di dalam buku beliau dikatakan mengalami kecederaan fizikal.

Setiap episod podsiar yang telah aku dengar setakat ini mengandungi pelbagai anekdot dari Ron Livingston (Capt Lewis Nixon) dan pengarah Richard Loncraine. Cerita-cerita yang tidak pernah didengari ini membuatkan podsiar ini aku nobatkan sebagai perlu dengar oleh peminat-peminat tegar siri Band of Brothers. Siapa sangka selepas 20 tahun masih ada banyak cerita menarik yang belum didedahkan kepada umum mengenai siri TV yang sudah mencapai tahap kultus khususnya di kalangan peminat kandungan dari Perang Dunia Kedua. CURRAHEE! We stand alone together!

Podsiar Band of Brothers boleh distrim menerusi YouTube,YouTube Music, Spotify, Apple Podcast dan HBO.

Sohor Kini