It’s that time of the year again. Pejam celik pejam celik dan selepas empat peperangan yang tidak sepatutnya berlaku kita sudah menyambut ulangtahun ke-20 serangan ke atas World Trade Center dan Pentagon. Bagi orang yang sudah berusia seperti aku, 911 ialah tarikh yang tidak dapat dilupakan kerana ia mengubah dunia kita sekarang dan mengubah media yang pada waktu tersebut baru berjinak-jinak dengan Internet.

Pasti ada di kalangan pembaca yang berusia awal 20an dan merasakan kenapa mereka perlu peduli dengan tarikh penuh kecelakaan ini. Jawapannya mudah sahaja kerana Big Brother dalam novel 1984 ada berkata “Who controls the past controls the future: who controls the present controls the past”. Banyak perkara kita boleh belajar sejak 20 tahun kebelakangan ini. Jika kita gagal mengambil iktibar just because your attention span and memory buffer can’t go beyond a 5 minute TikTik video then friendo that’s your problem.

Tetapi jika anda inginkan dokumentari berzat untuk menyambungkan sel-sel otak seperti susu Dugro, ini ialah senarai 5 dokumentari mengenai tragedi 911 yang perlu anda tonton sempena ulang tahunnya yang ke-20.

1. 9/11 (2002)

9/11 ialah dokumentari pertama mengenai tragedi ini dan juga yang pertama aku tonton 19 tahun yang lalu. Video dikongsi oleh rakan di sistem perkongsian fail universiti dan dengan pantas merebak sebelum perkataan “viral” wujud dalam kosa kata peradaban manusia. Dokumentari ini penting kerana ia pada asalnya adalah dokumentari yang diarahkan oleh Jules dan Gédéon Naudet mengenai kehidupan harian ahli bomba di sebuah balai di New York. Itu adalah pelan asal sehingga pagi 11 September mereka mengikut ahli bomba memeriksa kebocoran gas di sebuah rumah.

Tiba-tiba kedengaran bunyi jet yang bising terbang rendah. Kamera berputar ke arah bunyi dan adik beradik Noudet berjaya merakam visual American Airlines Flight 11 menerobos menara selatan WTC. Sehingga kini ia setahu aku satu-satunya video yang menunjukkan menara ini dirempuh. Ahli bomba yang melakukan pemeriksaan rutin segera bergegas ke WTC untuk memberikan bantuan.

Untuk hampir dua jam anda dapat melihat sendiri minit-minit awal pasca serangan, mangsa-mangsa yang dibantu, ahli-ahli bomba NYFD yang akan mati dalam masa sejam, bunyi orang terhempas jatuh dari menara dan pembikin filem cuba melarikan diri dari menara yang rebah secara serta merta. Sehingga ke hari ini visual yang dirakam dalam 9/11 boleh membuatkan bulu roma meremang. Kalau tak boleh tengok 10 dokumentari yang aku sarankan, tengok dokumentari di atas kerana ianya wajib tonton.

2.Turning Point: 9/11 and the War on Terror (2021)

Ini dokumentari yang aku sarankan untuk Apa Kami Tonton minggu lepas. Aku sarankan balik kerana ia paling lengkap menceritakan apa yang berlaku sebelum, semasa dan selepas serangan 911. Selepas 20 tahun tragedi berlalu tindak-tanduk Amerika Syarikat yang terlibat dalam pembentukan Al Qaeda secara tidak langsung dan menyebabkan mereka bangkit semula pada tahun 2021 secara langsung dapat dianalisa dengan kritis.

Dokumentari tidak mempunyai masalah mengatakan tindakan pentadbiran Bush pasca 911 adalah salah serta tidak mematuhi undang-undang Amerika Syarikat. Ia juga lebih berani menghentam Barack Hussein Obama kerana melakukan misi serangan dron yang dianggarkan mengakibatkan 30,000 nyawa orang awam terkorban. Jarang sekali dokumentari yang agak liberal menghentam presiden yang sangat disayangi liberal ini.

Pada waktu yang sama pentadbiran Afghanistan dibogelkan kerana terlalu korup dan membiarkan amalan-amalan keji dilakukan tanpa tindakan diambil. Kombinasi pelbagai kesilapan yang dilakukan ini menjadi resipi hebat yang menyebabkan Afghanisan kembali ke Taliban beberapa minggu yang lalu. Siapa yang perlu dipersalahkan? Tonton siri dokumentar lima episod ini di Netflix.

3. The Falling Man (2006)

Antara gambar paling menakutkan tetapi ikonik di hari serangan ialah seorang lelaki yang terjun dari menari. Gambar yang kini dikenali sebagai The Falling Man diletakkan di muka depan akhbar dan majalah di seluruh dunia. Ia menimbulkan kontroversi kerana dituduh mengeksploitasi kematian seorang insan yang tidak diketahui identitinya.

Dokumentari cuba merungkai misteri identiti lelaki yang gambarnya dirakam oleh Richard Drew, jurugambar Associated Press yang bertugas pada hari bersejarah ini. Siapa lelaki ini? Mengapa beliau di menara WTC pada hari kejadian? Siapakah keluarga beliau? Adakah keluarga terkilan saat akhir insan tersayang terpampang ke seluruh dunia? Dokumentari boleh ditonton percuma di Youtube menerusi video di atas.

4. Fahrenheit 911 (2004)

Selepas Afghanistan diganyang sehingga lumat menggunakan Boeing B-52 dan Rockwell B1, Amerika menumpukan perhatian mereka ke Iraq. Perang Teluk yang tidak selesai pada tahun 1991 oleh George H W Bush cuba diselesaikan pula oleh George W Bush. Bapak borek anak tidak rintik dalam situasi ini kerana Dubya menggunakan kuasa yang diberikan kepada beliau oleh senat untuk melakukan kerosakan yang lebih teruk kepada Iraq.

Fahrenheit 9/11 ialah dokumentari yang memenangi anugerah Palme d’Or di Cannes pada tahun 2004. Dokumentari pertama memenangi anugerah filem terbaik sejak 1956. Dokumentari ini mungkin antara yang terbaik pernah diarahkan oleh Michael Moore. Seperti kesemua dokumentari beliau seperti Sicko dan Bowling For Columbine, Moore menghambat kerajaan pendirian Amerika Syarikat yang penuh hipokrasi.

Beliau menunjukkan bagaimana sebuah perang yang tidak sepatutnya berlaku pada tahun 2003 dibina menggunakan debu-debu serta tulang belulang mangsa serangan 911. Hipokrasi golongan elit berkuasa dibuka dan nanah yang membusung dipecahkan seperti r/popping. Dokumentari boleh ditonton percuma di Youtube menerusi video di atas.

5. Taxi To The Darkside (2007)

Aku akhiri senarai rekomendasi dokumentari dengan Taxi to The Dark Side. Pilihan yang sedikit left field kerana apabila bercakap mengenai 911, lensa kamera selalunya ditumpukan kepada mangsa ialah mereka yang terkorban di dua menara WTC, Pentagon dan United 93. Tetapi mangsa pasca perang suci yang menerima sokongan rakyat Amerika Syarikat jarang sekali kita ketahui nama mereka apakan pula wajah mereka.

Mari kenali salah seorang mangsa kekejaman ini iaitu Dilawar, seorang pemandu teksi dari Afghanistan. Beliau ditahan oleh Tentera Amerika Syarikat selepas menerima maklumat bahawa belia adalah pemberi maklumat kepada Taliban. Lima hari selepas ditahan beliau meninggal dunia dengan tubuh dipenuhi kesan diseksa.

Dokumentari diarahkan oleh Alex Gibney pada tahun 2006 sebelum beliau menjadi The Director untuk menghasilkan dokumentari berisi dan berkualiti. Taxi to The Darkside memenangi anugerah Oscar untuk dokumentari terbaik kerana merupakan antara yang terawal berani mendedahkan kekejaman yang dilakukan oleh Amerika Syarikat atas nama ‘kebebasan’ dan ‘keadilan’. Dokumentari boleh ditonton percuma di Youtube menerusi video di atas.

Sohor Kini