Kemaskini: TGV juga telah mengumumkan perkara yang sama di mana mereka mengumumkan yang tidak akan membuka lagi panggung wayang dalam masa terdekat. Seperti GSC, mereka juga menggunakan alasan masih menunggu SOP lengkap dari kerajaan sebelum membuka kepada pengunjung.
Artikel Asal: Panggung wayang di seluruh Malaysia dibenarkan beroperasi semula esok selepas ditutup sejak April lalu. Ramai yang teruja dengan pengumuman ini kerana menonton filem blokbuster pada TV di rumah tidak sama nikmatinya dengan skrin panggung gergasi dan sistem audio yang mantap.
Tetapi bagi mereka yang berhajat untuk menonton filem di rangkaian panggung wayang GSC Cinemas, anda perlu menanti lebih lama lagi kerana ia tidak akan dibuka esok. Menerusi ciapan yang dihantar, pihak GSC masih menanti SOP lengkap dari pihak kerajaan sebelum membuka semula pintu, mesin popcorn dan mesin projektor. Pada waktu yang sama masih terdapat beberapa filem yang masih belum melepasi proses pengelasan Lembaga Penapisan Filem sebelum boleh ditayangkan.
Walaupun panggung hanya akan dibuka kepada mereka yang sudah menerima suntikan vaksin lengkap, masih wujud risiko memandangkan panggung wayang adalah tempat tertutup. Tular di media sosial antara SOP di Jepun ialah panggung dilengkapi sensor karbon dioksida untuk menunjukkan ia memenuhi piawaian pengudaraan yang selamat ketika pandemik.