Selamat datang ke kolum Sinema Sampah Sabtu atau dengan tagarnya #SSS di Aksiz. Selalunya apabila anda membaca artikel di laman kami, kami cuba memberikan saranan kandungan yang bagus untuk ditonton menerusi kolum Apa Kami Tonton Minggu Ini. Tetapi kami menyedari dengan terdapat pelbagai platform penstriman di luar sana dengan kandungan baharu setiap hari. #SSS kami wujudkan untuk mengelakkan anda menghabiskan data Internet dan masa yang terluang yang cukup berharga.

Kita teruskan siri Sinema Sampah Sabtu minggu ini dengan filem cult dari Indonesia ialah Kakek Cangkul yang kini boleh distrim dengan penuh penyesalan di Disney+ Hotstar.

Kenapa Anda Mungkin Tergoda Nak Tonton?

Kerana thumbnail filem dari tahun 2012 dipaparkan dengan jelas setiap kali aplikasi Disney+ Hotstar dibuka. Dari thumbnail nampak seperti ia sebuah filem seram Indonesia dengan momok yang membunuh orang menggunakan cangkul. Sebagai peminat genre seram, aku tertarik untuk melihat apa yang Indonesia mampu lakukan dengan Idea yang sedikit berlainan. Dari kecil jika bercakap tentang filem seram Indonesia, watak hantunya kerap dalam bentuk wanita yang tersakiti iaitu pontianak, nenek kebayan, sundel bolong dan mangsa yang mati diperkosa.

Jadi premis filem dengan hantu lelaki tua yang kurus kering dan menggunakan cangkul sebagai senjata membunuh adalah agak menyegarkan. Tambah menarik ialah secara lazimnya cerita hantu Indonesia memang lain macam seramnya. Walaupun aku sekarang dah berumur 42 tahun, filem Sundelbolong, Santet, Malam Jumat Kliwon dan Pengabdi Setan masih meninggal trauma. Aku ingin terus ditakutkan oleh sinema seram Sumatera!

Cerita Ini Pasal Apa?

Postera agak menarik ini membuatkan aku memilihnya untuk tontonan hujung minggu. Jadi ceritanya ialah mengenai roh Kakek Cangkul yang tidak aman kerana jasadnya tidak dikuburkan selepas meninggal dunia. Kenapa tak kena tanam dan apa yang dimarahkan sangat akan cuba diceritakan dalam filem sepanjang 76 minit ini.

Klise orang menjadi hantu kerana mayat tidak ditanam dengan sempurna ini memang sudah dikitar semula ratusan kali. Di Thailand Nang Nak yang tidak tenang menanti suami pulang dari perang kerana terlalu mencintai. Bergerak ke Amerika Syarikat, The Fisherman membunuh sekumpulan remaja yang membunuh beliau dalam I Know What You Did Last Summer. Adakah Kakek Cangkul akan menemui ketenangan abadi ataupun akan terus membunuh orang tanpa sebab selagi roh tergantung di antara langit dan bumi?

Kenapa Ia Sinema Sampah?

Kenapa ia sampah? Kerana ini sebenarnya bukan filem seram sebenar sebaliknya ialah sebuah filem ‘komedi seram’. Aku letakkan dalam inverted comma kerana ianya langsung tidak seram dan tidak kelakar. Kategori sebenarnya ialah cringe teruk. Ianya sangatlah teruk aku lebih sanggup tonton filem Frontliner sekali lagi dari menyuruh pembaca menonton 10 minit filem Kakek Cangkul.

Kita mulakan dengan babak permulaan di kedai jamu. Seorang pelayan wanita seksi berdada bidang sedang dalam proses menutup kedai. Setelah satu jump scare digunakan, pelayan wanita bercakap dengan Kakek Cangkul dan bertanya jamu apakah yang ingin diminum? Kakek Cangkul boleh bercakap sepatah-sepatah sahaja seperti seorang manusia yang mengalami masalah konkusi otak. Pelayan kemudian menyarankan jamu meningkatkan syahwat kepada Kakek because reasons. Secara rawak pelayan wanita berdada bidang ini kemudiannya dibunuh. Tak tahu kenapa pelayan tak lari sahaja apabila seorang lelaki tua muka hitam legap dengan cangkul muncul di tengah malam buta.

Filem diteruskan dengan sekumpulan remaja yang ingin pergi berkelah di tengah hutan. Duta seorang remaja lembut meminta kebenaran ibu untuk pergi bersama kumpulan remaja ini. Sekiranya tidak, dia mendakwa akan menjadi seorang transeksual. Skrip filem ini seperti ditulis oleh kecerdasan buatan yang mengumpul idea paling ofensif dan tidak masuk akal sebelum ditambah serbuk gatal secukup rasa.

Walaupun filem ini diberikan tajuk Kakek Cangkul, watak sebenarnya ialah sekumpulan remaja empat lelaki dan dua wanita. Selepas Kakek muncul di tiga minit terawal, beliau kemudian hilang selama 40 minit. Dalam masa empat puluh minit ini aku dihidangkan babak lelaki gatal, kemalangan rawak ketika menaiki bot dan secara tak semena-mena ada hantu selain Kakek Cangkul diperkenalkan. Jika logik adalah penting bagi anda, Kakek Cangkul akan membuatkan anda kecewa kerana ia telah dimasukkan ke dalam tong sampah oleh pembikin filem.

Baki 37 minit filem kemudian dipenuhi dengan adegan menjerit, kena kerja dalam hutan, ketua kampung yang ingin menjadi gabenor, skodeng dan percubaan untuk menenangkan roh Kakek menggunakan remaja lelaki yang memakai baju kebaya seperti arwah isteri Kakek. Ya pembaca sekalian cara menenangkan roh Kakek ialah dengan melakukan crossdressing yang buruk gila. Sekurang-kurangnya aku boleh bagi kredit ianya ending filem hantu yang original. Bukan macam filem seram biasa dimana sekonyong-konyong Iman, paderi, sami, rabbi dan Charles Darwin akan muncul menghalau hantu di saat cemas.

Selepas menonton filem ini sehingga habis, aku rasa mitos bahawa filem Indonesia di platform penstriman adalah lebih baik daripada filem Malaysia telah berjaya dihapuskan. Aku letakkan Kakek Cangkul di tahap sinema sampah yang sama dengan Momok Jangan Cari Pasal, Soul Survivor dan Beneath Still Waters.

OK Filem Ini Sampah Maka Apa Alternatif Yang Ada

Filem ini ialah filem yang paling sampah aku masukkan dalam Sinema Sampah Sabtu setakat ini. Oleh itu aku sarankan filem lain yang boleh ditonton.

Ada Hantu (Disney+ Hotstar)

Filem Ada Hantu ialah antara kandungan asli yang hanya ditayangkan di Disney+ Hotstar. Filem seram yang mempunyai barisan pelakon yang best Zahiril Adzim dan Hairul Azreen ini dibantu dengan lakonan yang bersahaja, skrip yang natural, sinematografi yang baik dan production value yang lebih baik dari 80% filem Malaysia yang pernah aku tonton. Percubaan sulung Hairzul Azreen sebagai pengarah yang boleh dibanggakan.

Thee Eye (Netflix)

Filem asal oleh Oxide Phang dan lakonan Lee SIn Jie ini akan membuatkan anda meremang. Filem hantu Asia untuk orang Asia. Filem ini sangatlah popular di awal 2002 sehingga ia dihasilkan semula oleh Hollywood dengan watak Lee Sin Jie digantikan dengan Jessica Alba. Seperti Infernal Affairs, filem asal adalah lebih baik daripada filem olahan semula Hollywood.

Nang Nak (Netflix)

Kalau Kakek Cagkul adalah filem yang lebih serius, mempunyai arahan yang senonoh dan lebih menakutkan.

Sohor Kini