Selamat menyambut hari istiqlal Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah. Walaupun hari ini 1 September aku rasakan masih belum terlewat untuk menawarkan saranan dokumentari yang thematic dengan kemerdekaan, kebebasan dan pelepasan manusiawi dari kebobrokan akibat Perang Dunia Kedua. Hari ini aku sarankan dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka (STSM) karya artis penuh kontroversi Fahmi Reza.

Dokumentari yang diterbitkan pada tahun 2007 ini aku rasakan masih relevan lebih-lebih sekarang dengan anak-anak muda lebih terbuka dengan penilaian semula fakta-fakta sejarah yang diajar semasa mereka di sekolah. Aku masih ingat lagi reaksi sebilangan masyarakat semasa STSM mula ditayangkan di beberapa festival filem kecil. Ada yang cukup tidak senang kerana insan-insan yang kita nobatkan sebagai terlibat dalam memerdekakan negara tercalit sebagai mereka yang sebenarnya hanya mengikut telunjuk British. Tetapi bagi mereka yang lebih berfikiran terbuka, STSM menceritakan penentangan rakyat Malaya dari latar belakang bangsa dan pendidikan pada 20 Oktober 1947.

Semasa aku di sekolah dahulu, 20 Oktober 1947 hanya diajar sebagai Hari Hartal kebangsaan yang mengakibatkan sektor ekonomi Tanah Melayu da Singapura lumpuh sama sekali. Aku juga belajar hartal ini dianjurkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTRA) dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaysia (AMCJA), Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWS), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) dan Lembaga Persatuan Melayu Johor. Tetapi kepentingan sebenar Hari Hartal ini sendiri tidak berjaya disampaikan di dalam kelas lebih 20 tahun yang lalu.

Yang aku ingat hanyalah ia adalah tentangan kepada Malayan Union. Tak pula aku ingat isu penentangan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang ditulis oleh British dengan bantuan persetujuan golongan bangsawan Malaya pada waktu tersebut tanpa sebarang input dari rakyatnya sendiri. Perlembagaan Rakyat yang dicadangkan oleh PUTRA-AMCJA telah ditolak kerana ia meminta supaya Tanah Melayu dan Singapura bebas sepenuhnya dari British dan bukan sekadar negara di bawah payung Empayar British.

Ramai melihat taktik menggunakan isu perkauman bagi mendapatkan sokongan adalah perkara baharu tetapi sebenarnya telah digunakan British untuk menimbulkan kebimbangan sejak dari dahulu lagi. Malaya dan Singapura dimomok dengan masa depan yang kelam kerana hanya Mat Salleh mampu mentadbir negara yang cukup mewah dengan sumber bumi seperti getah, besi dan bijih timah. Hanya Tuan Puteh boleh memastikan pendatang kekal di kawasan mereka menggunakan dasar pecah dan perintah yang sehingga kini kita dapat melihat kesannya.

Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka berjaya menyentuh subjek yang berat dan harus diakui bosan ini dengan jayanya. Muzik dan rekaan grafik punk moden dipadankan dengan gambar bersejarah dari dekad 40an. Hasilnya ialah jalan penceritaan yang lebih kontemporari dan mudah dihadam oleh anak muda yang aku rasakan adalah sasaran sebenar Fahmi Reza. Segmen penjelasan perbezaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Rakyat adalah antara sequence yang sepatutnya bosan tetapi ditangani dengan baik oleh Fahmi.

Selesai menonton STSM aku terfikir kenapalah dalam masa 14 tahun ini Fahmi tidak langsung mengeluarkan sebarang filem pendek atau dokumentari yang menyentuh subjek sejarah yang obscure. Langsung tidak ada follow up. Mungkin beliau ingin menjadi cool seperti Michael Cimino yang hanya mengarah filem sedekad sekali. Amatlah merugikan kerana beliau ada bakat menyampai mesej-mesej kompleks dengan cara yang mudah dan menarik perhatian umum (seperti poster-poster protes yang kini dihasilkan hampir setiap hari).

Aku sarankan menonton Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka kerana ia membuktikan penentangan terhadap kuasa ialah budaya kita – tidak seperti yang kita lihat dimuntahkan pihak pemerintah sekarang menggunakan saluran media rasmi negara. Golongan aktivis menjadi mangsa dan dilupakan juga budaya kita kerana berapa ramai di antara pembaca artikel ini boleh menamakan pejuang kemerdekaan yang dipenjara oleh British di bawah akta ISA tanpa melakukan carian Google.

Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka ialah dokumentari yang sesuai sekali ditonton selepas siri dokumentari EMPIRE yang aku sarankan menerusi #DokuRabu pada bulan Februari yang lalu. Selepas melihat kelicikan Mat Salleh di India, Hong Kong, Afrika dan Timur Tengah kita sambung pula dengan kekejaman mereka di Tanah Melayu. Seperti yang ditulis oleh George Orwell dalam novel 1984 – “Who controls the past controls the future: who controls the present controls the past”. Now testify!

Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka boleh ditonton sekarang secara percuma di YouTube.

Sohor Kini