Selepas 3 Bulan, Adakah Disney+ Hotstar Berbaloi?

Akhirnya selepas dua tahun menanti, iaitu sejak 2019 lagi Disney+ dilancarkan, platform ini boleh diakses oleh pengguna di Malaysia secara terus tanpa perlu mengharapkan kepada VPN.

Melalui platform ini, pengguna bukan sahaja dapat menikmati kandungan asli Disney+, kerana ia turut ditawarkan di dalam platform ini – tetapi turut dapat menikmati lebih banyak kandungan tempatan juga sama seperti di India dan Indonesia.

Sejak dilancarkan pada 31 Mac lepas, mungkin ramai pelanggan Disney+ Hotstar perlu membuat keputusan sama ada ingin meneruskan langganan3 bulan lagi untuknya ataupun tidak. Oleh itu melalui artikel ini, kami akan nyatakan mengapa Disney Hotstar adalah berbaloi ataupun tidak.

Berbaloi: Harga Langganan Antara Paling Murah

Dengan harga langgan RM54.90 untuk tiga bulan, Disney+ Hotstar adalah RM18.30 sahaja untuk sebulan, ia adalah satu harga yang sangat murah terutama dengan kandungan yang disediakan. Jika kita ingin bandingkan dengan pencabar terdekat adalah Netflix iaitu saya boleh katakan pelan yang paling hampir adalah Standard iaitu dengan harga RM45 sebulan.

Benar, kebanyakan pengguna Netflix berkongsi bayaran dengan ramai pengguna untuk lebih merendahkan lagi langganan, akan tetapi ia bukanlah satu perkara yang rasmi dan Netflix ada kemungkinan akan menyekat praktis tersebut di masa hadapan.

Oleh itu, jika kita bercakap mengenai langganan secara individu, Disney+ Hotstar adalah antara paling murah, namun mengecewakan ia masih terhad kepada langganan selama 3 bulan sahaja.

Tidak Berbaloi: Harga Langganan Masih Lagi Untuk 3 Bulan

Sedang platform penstriman video lain menawarkan harga langganan bulanan, di mana pengguna perlu membayar setiap bulan – Disney+ Hotsar hanya menawarkan pakej tiga bulan. Ini akan menjadi masalah bagi mereka yang hanya ingin mencuba sebulan atau mereka yang ada banyak langgan platform lain dan hanya ingin langgan ketika musim platform penuh dengan kandungan menarik.

Dengan pelbagai perkhidmatan penstriman di luar sana, sudah menjadi perkara yang bijak untuk sekadar melanggan bila perlu. Ada kandungan menarik di Netflix bulan ini, jadi langganan Netflix untuk bulan tersebut, adalah kandungan menarik di Disney+ Hotstar, langganan pada bulan itu.

Namun, dengan hanya terhad kepada tiga bulan, pelanggan terpaksa membuat keputusan untuk 3 bulan sekali berbanding 1 bulan sekali.

Berbaloi: Tempat Terbaik Untuk Mendapatkan Kandungan Disney

Sebagai satu perkhidmatan oleh Disney, Disney+ Hotstar sudah semestinya satu perkhidmatan yang akan menjadi tempat terbaik ataupun satu-satunya tempat untuk mendapatkan kandungan oleh Disney. Dengan Disney telah memiliki pelbagai IP seperti Marvel dan Star Wars ia adalah perkhidmatan untuk filem ataupun siri-siri daripada jenama tersebut.

Disney+ juga telah melakukan pelbagai perjanjian dengan penerbit-penerbit filem contohnya Sony untuk membawa filem-filem terbitan mereka ke Disney+, menandakan bukan sahaja kandungan Disney, ia juga akan menerima pelbagai kandungan lain. Sesuatu yang perlu jika mereka benar-benar ingin bersaing dengan Netflix.

Namun, itu adalah untuk masa hadapan, sayang sekali buat masa ini kandungan di Disney+ Hotstar adalah masih terhad.

Tidak Berbaloi: Pustaka Yang Masih Tidak Lengkap Dan Sedikit

Peminat Marvel sudah semestinya ingin langgan Disney+ Hotstar dan strim semua filem-filem MCU. Tetapi sayangnya, tidak semua 23 filem daripada fasa pertama sehingga fasa ketiga tidak boleh ditonton. Filem The Incredible Hulk tidak ditawarkan di platform ini, kemudian kedua-dua filem Spider-Man versi Tom Holland juga tiada di dalam platform ini. Bagi peminat animasi, tidak semua kandungan animasi Marvel juga ditawarkan.

Ia adalah perkara yang mengecewakan akan tetapi kami juga faham mengapa ia berlaku, kebanyakan filem-filem ataupun siri sudah mempunyai perjanjian lain sebelum Disney+ tiba. Mungkin satu masa nanti semua akan ‘balik ke rumah’.

Walaupun menerima pelbagai kandungan yang menarik setiap bulan, akan tetapi Disney+ Hotstar masih lagi mempunyai kandungan yang terhad terutama jika ingin dibandingkan dengan Netflix terutama apabila kita bercakap mengenai kandungan ‘perantara’ selepas menghabiskan satu siri ataupun filem yang ingin ditonton.

Seperti kami nyatakan di atas, Disney+ Hotstar telah melakukan pelbagai perjanjian untuk membawa kandungan tambahan akan tetapi buat masa ini mereka masih ketinggalan.

Rungutan Lain

Bagi dua perkara yang kami nyatakan di bawah, ia adalah rungutan kami mengenai perkhidmatan ini yang mungkin ataupun tidak menentukan sama ada perkhidmatan ini berbaloi. Namun, ia adalah perkara yang perlu dipertingkatkan oleh pihak Hotstar untuk memastikan Disney+ Hotstar lebih berkembang.

Kandungan Tidak Boleh Strim Pada Kualiti Maksimum

Buat masa ini kandungan untuk Disney+ Hotstar masih tidak banyak yang menyokong 4K, HDR ataupun Dolby Atmos. Walaupun ada, tetapi ia masih sangat terhad. Perkara yang mengecewakan adalah apabila mengakses Disney+ untuk Amerika Syarikat contohnya, kandungan-kandungan tersebut menyokong kesemua itu, oleh itu ia adalah masalah untuk Disney+ Hotstar.

Jika kita lihat kepada Netflix, ramai pelanggan akan mengambil pakej yang paling mahal untuk mendapat 4K+HDR, ini adalah kerana ramai sudah mempunyai akses kepada TV ataupun telefon yang menyokongnya. Oleh itu, Disney+ Hotstar yang buat masa ini terhad kepada 1080p ataupun lebih rendah adalah sesuatu yang perlu ditambah baik dengan segera.

Sokongan Aplikasi Masih Sedikit

Buat masa ini, Disney+ Hotstar hanya disokong sepenuhnya pada Android TV akan tetapi pada televisyen lain seperti WebOS pada LG atau Tizen pada Samsung tidak dapat nikmati platform ini dengan baik. Ketika artikel ini ditulis, beberapa televisyen LG sudah pun menerima kemaskini untuk mempunyai aplikasi Disney+ Hotstar dan beberapa model televisyen baharu juga sudah tersedia ada.

Namun ia masih tidak mencukupi untuk memastikan setiap pelanggan mendapat perkhidmatan terbaik, ini ditambah lagi dengan aplikasi di TV LG penuh dengan pepijat dan TV Samsung langsung tidak dapat dinikmati dengan baik. Selain itu, bagi pelanggan yang menjadikan konsol sebagai platform media utama mereka, juga akan kecewa dengan tiadanya aplikasi Disney+ Hotstar sedangkan aplikasi Disney+ tiba untuk PlayStation dan juga Xbox.

Kesimpulan

Disney+ Hotstar adalah satu perkhidmatan baru, oleh itu pelbagai kekurangan sudah dijangkakan akan tetapi mereka perlu bertindak dengan cepat untuk memastikan yang pelanggan akan terus berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Ini ditambah lagi, aplikasi Disney+ Hotstar bukan sahaja ketinggalan berbanding platform lain, tetapi juga ketinggalan untuk dibandingkan dengan Disney+ sendiri.

Jadi persoalan sama ada ia berbaloi dan adakah perlu atau tidak untuk meneruskan langganan selepas 3 bulan bagi kami ia adalah tidak. Pelbagai kekurangan yang hadir sangat mengecewakan. Ia hanya berbaloi untuk beberapa kandungan akan tetapi dengan terhad kepada langganan 3 bulan, oleh itu ia menjadi sukar untuk menilai perkhidmatan ini lebih baik.

Oleh itu, Disney+ Hotstar mempunyai potensi, sebagai rumah untuk pelbagai kandungan Disney+ ia boleh menjadi lebih besar, tetapi Hotstar perlu memberikan penambah-baikkan yang menyeluruh terutama dengan perkhidmatan penstriman yang bergerak pantas mereka perlu lakukan dengan segera.

Sohor Kini