Netflix baru sahaja menandatangani perjanjian untuk hak penstriman filem-filem baru Sony Pictures yang bakal tiba di pawagam 2022 dan juga bertanggungjawab untuk menyiarkan beberapa filem asli khusus untuk platform penstriman. Perjanjian ini adalah tambahan daripada Netflix yang sudah pun mempunyai hak penstriman filem-filem animasi Sony – contoh, The Mitchells Vs. The Machines (judul asal Connected).
Kini, Disney pula dilaporkan akan mempunyai hak penstriman untuk filem-filem Sony. Sebaik sahaja tempoh penstriman filem-filem Sony di Netflix tamat, ia akan terus menjadi eksklusif di platform-platform penstriman milik Disney. Kandungan yang Disney beli adalah filem-filem 2022 sehingga 2026 dan akan disiarkan di platform seperti Disney+, Hulu, ABC, saluran-saluran Disney, Freeform, FX dan National Geographic.
Francais filem animasi Hotel Transylvania, francais Jumanji, semua filem-filem Sony Pictures Universe of Marvel seperti Morbius, francais Spider-Man: Into the Spider-Verse, Uncharted, Bullet Train dan kelak semua filem-filem Spider-Man Tom Holland akan tiba ke platform Disney.
Walaupun filem Spider-Man: Homecoming, Spider-Man: Far From Home dan kelak Spider-Man: No Way Home adalah filem MCU dan Disney+ pula adalah platform untuk MCU – kesemua filem Spider-Man ini hanya eksklusif kepada Netflix. Kelak, Disney+ akan mempunyai semua filem-filem MCU (kecuali The Incredible Hulk, kerana dimiliki oleh Universal). Harga jualan yang Disney beli tidak didedahkan, tetapi kalau Netflix boleh bayar lebih $1 bilion – Disney yang lebih besar dan kaya pasti mampu bayar lebih.