Metronomik hari ini melalui penstriman bersempena dengan ulang tahun pertama bagi permainan sulung mereka iaitu No Straight Roads telah mengumumkan yang ia akan dikeluarkan di Steam.
Menggunakan judul No Straight Roads: Encore Edition yang akan turut mengandungi pelbagai penambahan kandungan antaranya adalah video intro animasi baharu. Buat masa ini ia masih tiada tarikh pelancaran, akan tetapi anda boleh mula memasukannya di senarai hajat.
Maklumat lanjut untuk No Straight Roads: Encore Edition akan dikongsi secara lanjut melalui penstriman pada bulan depan.
Seperti mana kami sudah kongsikan di dalam ulasan kami untuk permainan ini, No Straight Roads adalah permainan aksi di mana pemain akan mengawal watak MayDay dan Zuke iaitu pemuzik rock untuk melawan empayar No Straight Roads yang mengharamkan muzik rock.
Dari segi pertempuran pula, ia mementingkan irama muzik. Oleh kerana serangan akan mempunyai penunjuk visual yang sedikit, pemain perlu mendengar rentak muzik untuk mengetahui serangan yang akan hadir.
No Straight Roads sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch, dan PC. Ia juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.