Saya bukanlah pengikut tegar siri permainan Monster Hunter akan tetapi premis permainan tersebut sentiasa membuatkan saya tertarik dengannya. Oleh itu, apabila ada sahaja kandungan media berdasarkan siri ini, saya akan nantikannya.
Filem aksi nyata Monster Hunter yang dikeluarkan pada tahun lepas, lakonan Milla Jovovich dan Tony Jaa serta diarahkan oleh Paul W. S. Anderson sedikit mengecewakan. Sebab utama adalah ia gagal untuk membawa apa yang menarik mengenai permainan Monster Hunter ke dalam filem.
Monster Hunter: Legends of the Guild pula adalah filem animasi yang sudah diumumkan sejak tahun 2018, pada 12 Ogos lepas ia akhirnya disiarkan di Netflix.
Monster Hunter: Legends of the Guild diarah oleh Steve Yamamoto yang merupakan arahan pertama beliau, ditulis oleh Joshua Fine yang sering terlibat dengan penulisan untuk siri adiwira seperti The Avengers, Wolverine dan Fantastic Four.
Senarai Pelakon suara adalah seperti Dante Basco, Erica Lindbeck, Brando Eaton, Karen Strassman dan G.K Bowes.
Adakah ia satu filem yang lebih baik berbanding filem aksi nyata Monster Hunter? Walaupun saya mempunyai beberapa masalah dengan filem ini, akan tetapi ia adalah filem yang berjaya untuk berkongsi dengan penonton mengenai dunia permainan Monster Hunter yang menarik.
Monster Hunter: Legends of the Guild adalah mengenai seorang pemuda bernama Aiden, beliau merupakan seorang pemburu raksasa, ataupun ingin menjadi seorang pemburu raksasa. Di akibatkan tempat tinggalnya berada jauh dengan kem pemburu, dia tidak terdedah dengan perihal pemburu dan juga terpaksa memburu sendiri raksasa-raksasa yang cuba menganggu kampungnya.
Ini sehinggalah dia berjumpa dengan Julius yang merupakan seorang pemburu kelas pertama. Julius memberitahu yang Aiden dan kesemua orang kampungnya perlu melarikan diri kerana kampung mereka berada di laluan Elder Dragon yang akan memusnahkan segala kawasan yang dilaluinya.
Masalah pertama yang saya ada dengan filem ini adalah ia terlalu pendek dan walaupun setiap bahagian penting penceritaan disampaikan dengan baik akan tetapi banyak ruangan untuk perkembangan watak dan juga perkembangan penceritaan tidak dapat dilakukan. Dengan durasi 58 miniti sahaja, ia adalah satu filem yang pendek terutama dengan jumlah watak yang tiba di dalam filem ini.
Selain watak Aiden dan Julius, terdapat juga watak Lea, Genovan dan pelbagai lagi setiap daripada mereka membawa perwatakan yang menarik akan tetapi tidak dikembangkan ataupun tidak sempat untuk dikembangkan dengan selayaknya menyebabkan ia terasa seperti peluang dilepaskan.
Walaupun begitu saya masih menyukai penceritaan yang dibawa, ia mempunyai adegan-adegan yang mencuit dan juga menyentuh hati. Tambahan lagi, ia adalah satu filem yang akan membuatkan saya yang sebelum ini sudah pernah mencuba permainan Monster Hunter untuk kembali bermain kerana pembawaan dunia Monster Hunter yang dilakukan dengan baik.
Satu lagi masalah untuk filem ini adalah kualiti animasi yang dibawa adalah mengecewakan. Ia bagaikan adegan di dalam permainan-permainan era PlayStation 3 yang mungkin lebih kurang baik. Masalah kualiti ini juga mengakibatkan rekaan-rekaan watak menjadi kurang menarik walaupun setiap daripadanya membawa perwatakan yang baik.
Namun pun begitu, saya boleh katakan yang rekaan persekitaran serta penempatan dan juga raksasa pula sekurang-kurangnya nampak lebih baik berbanding rekaan watak manusia. Ia membantu untuk memberi pengalaman tontonan yang lebih menarik walaupun agak menjengkelkan untuk melihat watak-watak manusia yang mempunyai rekaan aneh.
Pertempuran juga dilakukan dengan baik walaupun terasa ia dilakukan secara asas sahaja, ia banyak mengambil inspirasi daripada permainan Monster Hunter dengan penggunaan senjata tertentu seperti Dual Blades dan Gunlance serta penggunaan perangkap benar-benar menggambarkan keseronokkan memburu raksasa di dalam permainan ini.
Jika Monster Hunter: Legends of the Guild dikeluarkan beberapa tahun lepas, saya mungkin masih boleh menerima animasi yang digunakan akan tetapi dengan keadaan teknologi sekarang, filem ini terasa sangat ketinggalan zaman dan menjejas pengalaman saya menontonnya.
Monster Hunter: Legends of the Guild mempunyai penceritaan yang baik yang dikuatkan lagi dengan perwatakan-perwatakan menarik yang hadir di dalam filem ini. Banyak elemen daripada permainan video dibawa dan disampaikan dengan baik untuk benar-benar menggambarkan keseronokkan menjadi seorang pemburu di dalam permainan Monster Hunter.
Namun, kekurangan pada perkembangan penceritaan ditambah lagi dengan kualiti animasi yang sangat mengecewakan membuatkan filem ini terasa masih tidak bersedia untuk dilancarkan ataupun telah dikeluarkan terlalu lambat sehingga melepasi era untuknya. Jika Netflix ataupun Capcom ingin meneruskan lagi penceritaan bagi filem ini mereka benar-benar perlu melakukan perubahan yang menyeluruh agar dapat hadir dengan filem ataupuns siri yang lebih kemas.
Adakah saya masih mengesyorkan untuk tontonan? Saya boleh katakan ya, kerana walaupun dengan pelbagai kekurangan yang jelas dan mengganggu pengalaman tontonan akan tetapi secara keseluruhan, ia masih lagi satu filem yang menarik.