Blizzard memperkenalkan permainan mudah-alih berdasarkan RPG paling popular mereka, Diablo Immortal dua tahun yang lalu dimana mereka dilihat mahu memasuki arena permua pula. Beberapa ujian tertutup dan terbuka telah dilaporkan, dan permua tersebut sepatutnya dilancarkan pada tahun ini.

Akan tetapi, Blizzard, yang kini sedang melalui detik-detik getir dengan kes saman oleh pihak kerajaan California dan juga pemergian J Allen Brack sebagai mantan CEO daripada syarikat tersebut, kini mengesahkan bahawa pelancaran Diablo Immortal akan ditunda ke 2022.

Menurut blog Blizzard, mereka sedang melakukan kemaskini untuk pelbagai kandungan PvE (Player vs Environment) dan PvP (Player vs Player) mereka, termasuklah Helliquary dan Circle of Strife, iaitu kandungan eksklusif untuk permua Diablo Immortal.

Mereka juga dilihat sedang mengubahsuai kadar pemberian pengalaman dalam permainan dan juga kandungan-kandungan penceritaan, disamping kemaskini kepada pemetaan pengawal permainan supaya ia lebih mudah digunakan oleh pelbagai jenis pemain.

Diablo Immortal turut dikatakan akan hadir dengan beberapa ujian beta lagi untuk memastikan pengalaman pemain adalah pada tahap terbaik sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada tahun hadapan.

Sumber: Blizzard

Sohor Kini