Neil Blomkamp iaitu seorang pencipta filem yang terkenal dengan filem sains fiksyen seperti District 9, Elysium atau juga Chappie. Beliau juga cukup terkenal dengan pelbagai filem pendek dan bakat dalam pembangunan animasi. Kebiasaannya filem beliau banyak menyertakan elemen xenofobia (perasaan takut dengan orang asing) dan juga segregasi sosial (beza darjat antara kaya dan miskin).

Terkini, beliau bakal hadir dengan filem seram dengan gabungan sains fiksyen – Demonic. Baru-baru ini, video acah bagi filem seram ini telah diterbitkan.

Filem ini menggabungkan konsep seram mengejutkan bersama dengan teknologi perubatan yang melibatkan satu konsep seakan realiti maya. Mengisahkan seorang wanita yang cuba berhubung dengan ibunya yang dilihat telah sakit. Selama ini, mereka dua tidak mempunyai satu hubungan yang baik. Selepas masuk ke dunia maya, pelbagai rahsia dan misteri ibunya terdedah.

Berdasarkan video acah, sesuatu yang ghaib yang menyeramkan mula muncul bukan sahaja dalam dunia maya tetapi turut mengganggu orang di dunia realiti. Ia bukannya mimpi, bukannya secara maya dan mungkin juga bukan realiti. Filem ini kelihatan mempunyai satu konsep yang menarik.

Pelakon dalam filem ini adalah Carly Pope, Chris William Martin dan Nathalie Boltt. Ia akan ditayangkan di pawagam terpilih pada 20 Ogos akan datang. Versi digital untuk sewa atau beli turut akan ditawarkan pada tarikh yang sama. Tetapi masih tidak pasti lagi, sama ada filem ini akan ditawarkan di Malaysia ataupun tidak.

Sohor Kini