Pada tahun 2016, sebuah filem ngeri dan suspen iaitu Don’t Breathe telah ditayangkan. Ia diarahkan oleh Fede Álvarez dan turut memenangi anugerah. Filem ini adalah satu filem rompakan yang tidak berjaya, di mana dari rompakan menjadi pembunuhan. Lebih menarik, sekumpulan perompak ini ditewaskan oleh seorang yang tua dan juga buta. Individu buta ini turut mempunyai banyak rahsia yang mengejutkan.

Si tua buta ini adalah Norman Nordstrom lakonan Stephen Lang dan beliau telah mengesahkan akan kembali memainkan watak sama untuk filem sekuel. Terkini, video acah pertama bagi filem ini telah diterbitkan.

Filem ini berlaku beberapa tahun selepas filem pertama, di mana Norman kini tinggal bersendirian di kawasan sunyi. Dilihat beliau mempunyai satu hubungan erat bersama anak perempuan, mungkin jiran beliau dan mendidiknya cara mempertahankan diri. Namun, ada musuh baharu yang dilihat mengenali Norman dan cuba menghentikan beliau. Kini dengan seekor anjing, aksi membalas dendam kejam, ngeri, suspen Don’t Breathe 2 kelihatan seakan John Wick.

Selain Stephen Lang, Brendan Sexton III dan Madelyn Grace turut terlibat dalam filem yang diarahkan oleh Rodo Sayagues ini. Filem sekuel ini skripnya ditulis oleh Fede Alvarez dan Rodo Sayagues, sementara Fede Alvarez, Sam Raimi, Rob Tapert dengan Nathan Kahane, Joe Drake, Erin Westerman, Andrew Pfeffer, Rick Jacobson dan juga Stephen Lang sebagai penerbit eksekutif.

Filem ini dijadualkan untuk ditayangkan pada 13 Ogos tahun ini. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini