Selepas empat filem animasi, akhirnya Resident Evil menerima siri TV animasi 3D CGI tersendiri. Siri animasi ini dinanti-nantikan oleh ramai peminat sejak empat tahun lepas, selepas filem Resident Evil: Vendetta ditayangkan pada 2017. Sempena ulang tahun ke-25 mereka tahun ini, Netlix dan Capcom bekerjasama untuk siri animasi Resident Evil: Infinite Darkness.
Sedikit informasi untuk mereka yang tidak tahu atau mungkin lupa, filem animasi tiada kaitan dengan filem aksi nyata yang memfokuskan watak Alice. Sebaliknya, ia berkaitan rapat dengan semua siri permainan video.
Untuk siri animasi ini, ia akan memfokuskan kepada watak Leon dan Claire. Siri ini juga adalah pertama kali mereka berdua bertemu selepas permainan video Resident Evil 2. Dalam artikel lepas, akan saya sudang kongsi sedikit sebanyak fakta menarik yang patut anda semua tahu sebelum menontonnya. Artikel ini adalah ulasan saya pula.
Sinopsis
Ia berlaku pada tahun 2006, di mana Leon dijemput ke White House untuk siasat fail Presiden yang telah digodam. Sementara itu, Claire pula sebagai ahli TerraSave sedang membantu satu kampung di Penamstan akibat peperangan lalu. Kembali di White House, Leon mula suspek yang godaman tadi ada kaitan dengan zombi. Begitu juga Claire yang menemui satu petunjuk, perang di Penamstan mungkin juga melibatkan zombi.
Untuk meminta bantuan, Claire telah ke White House – tetapi ditolak oleh menteri. Beliau bersemuka dengan Leon untuk tunjuk klu yang ditemui. Selain Leon, beliau juga disertai oleh Jason dan Shen May. Dua watak ini mempunyai latar belakang yang misteri, yang membuatkan Leon sukar mempercayai mereka.
Penceritaan
Siri Resident Evil: Infinite Darkness seperti yang dinyatakan di perenggan di atas, berlaku pada tahun 2006. Iaitu dua tahun selepas Resident Evil 4. Ia juga mempunyai kaitan dengan Resident Evil 5 dan peminat yang mengikuti permainan video RE4 dan RE5 ini, pasti akan mengenali segala informasi yang didedahkan dalam siri TV ini. Resident Evil: Infinite Darkness mempunyai empat episod sahaja dan setiap episod adalah kurang daripada 30 minit, menjadikan keseluruhan siri animasi ini mempunyai durasi 1 jam 45 minit sahaja. Ia seakan satu filem dipecahkan kepada empat bahagian.
Siri ini mempunyai jalan cerita yang lebih serius, di mana ia mempunyai drama yang menarik. Ia memperlihatkan bagaimana kerajaan yang korup melayani bekas tentera, sifat tamak dan gila kuasa, sehinggalah timbul rasa ingin balas dendam. Tidak lupa juga pihak atasan yang zalim, membunuh insan yang tidak bersalah. Siri animasi ini bukanlah siri zombi yang anda harapkan ada banyak serangan zombi, seram, mengejutkan atau ngeri. Sebaliknya lebih kepada penyiasatan dan mendedahkan rahsia kerajaan dan pihak berkuasa yang korup.
Francais animasi Resident Evil bukanlah yang terbaik. Ia adalah satu cara mempromosikan lagi permainan video mereka serta ingin memuaskan hati peminat. Dengan pecahan kepada empat bahagian, pengalaman menonton boleh menjadi lebih ringan dan tidak akan memeningkan. Penyampaian cerita yang sedikit perlahan untuk capai kemuncak plot, boleh dihadapi dan sesuai untuk mereka yang tidak gemar maratonton.
Penyampaian siri ini juga banyak menggunakan elemen imbau kembali masa silam Shen May dan Jason dan bagaimana mereka boleh bertemu. Permulaan siri ini pada awal episod satu adalah sangat penting dan ia membabitkan emosi dan semangat Shen May serta Jason. Masing-masing ada arah tuju berlainan, tetapi boleh bersatu kerana musuh mereka adalah sama. Penglibatan Leon menjadikan rancangan Shen May dan Jason terganggu, kerana mereka berdua sudah kenal lama dan rancangan mereka sudah jauh berjalan.
Leon pada mereka adalah musuh, tetapi kita tahu enemy of my enemy is my friend – dengan plot yang sedikit klise melalui penggunaan cerita sedih untuk ambil simpati mudah diramal. Siri ini lebih kepada mengisi garis masa kosong di antara RE4 dan RE5, untuk memberi input kepada peminat. Mereka yang tidak bermain permainan video akan rasa aneh dengan petunjuk penting sepanjang siri. Walaupun begitu, jika sekadar ingin tonton drama zombi – siri ini cukup menarik. Untuk pemain francais permainan video Resident Evil, anda akan lihat bagaimana titik permulaan RE5 bermula dalam siri animasi ini.
Watak
Seperti dalam artikel sebelum, Shen May adalah penting dalam siri TV ini. Watak ini memberi satu prestasi yang baik sepanjang siri, serta lakonan suara juga agak menarik dengan emosi yang realistik. Watak memberi satu petanda yang Capcom sedang merancang untuk menambah lagi watak dalam Resident Evil. Shen May ada potensi tinggi untuk ke arah filem tersendiri, filem atau siri sampingan, malah watak penting dalam permainan video juga tiada masalah.
Hubungan Shen May dan Jason turut boleh mempunyai cerita sampingan tersendiri. Di mana Capcom dan Netflix boleh sampaikan bagaimana hubungan mereka menjadi erat, bagaimana rancangan mereka bermula, bagaimana Jason mengawal diri dari marah dan rasa ingin balas dendam? Dua watak ini ada chemistry yang cukup mantap dan memuaskan.
Aksi Leon dan Claire adalah kurang dalam siri ini. Ia lebih kepada Shen May dan Jason, di mana Leon adalah protagonis sampingan yang akan menjadi fokus kelak. Begitu juga Claire yang merupakan protagonis sampingan kepada Leon yang peminat pasti kenal dalam permainan video. Lebih menarik kalau kita boleh lihat siri TV atau filem fokus kepada Leon dan Claire kemudian ada penampilan khas Ada Wong?
Watak Jason juga memberi sedikit peringatan kepada watak Wesker. Ada rasa marah yang membara di dalam hati sehingga menjadi ganas, kerana pendam emosi negatif terlampau lama. Nick Apostolides dan Stephanie Panisello kembali meminjamkan suara mereka sebagai Leon S. Kennedy dan Claire Redfield selepas olahan semula permainan video Resident Evil 2 yang dilancarkan pada tahun 2019. Bersama-sama dengan mereka adalah Jason lakonan suara oleh Ray Chase, Shen May oleh Jona Xiao, Patrick oleh Billy Kametz, Wilson pula adalah Brad Venable, Joe J. Thomas sebagai Graham dan Doug Stone sebagai Ryan.
Kesimpulan
Jika anda tertanya apakah yang berlaku di antara Resident Evil 4 dan Resident Evil 5? Ini adala siri untuk anda. Ia adalah sebuah siri fan service, hadiah kepada peminat kerana menyokong Capcom dan Resident Evil sehingga mereka capai ulang tahun keduapuluhlima. Mereka yang menggemari olahan semula Resident Evil 2 juga akan pasti menyukai siri ini kerana Leon dan Claire adalah pelakon suara yang sama.
Penceritaan Jason dan Shen May boleh menjadi lebih baik lagi, harapnya boleh ada siri sampingan atau filem meberi fokus kepada dua watak ini. Shen May adalah watak yang paling banyak potensi untuk Capcom kembangkan lagi beliau dalam francais siri atau filem dan juga permainan video.
Resident Evil: Infinite Darkness adalah siri animasi ringkas untuk memperlihatkan di mana dan bagaimana hubungan Leon dan Claire boleh menjadi erat serta perkembangan perwatakan dalam francais Resident Evil. Dengan siri animasi ini serta Netflix sebagai plaform besar dalam penstriman video, siri aksi nyata kelak turut boleh dikaitkan dengan siri animasi – mencipta satu REverse.
Resident Evil: Infinite Darkness akan disiarkan di Netflix pada 8 Julai kelak. Masa siaran belum didedahkan lagi, tetapi berkemungkinan besar adalah pada 3 petang seperti biasa.