Kali terakhir filem animasi Resident Evil ditayangkan adalah pada 2017, iaitu Resident Evil: Vendetta. Kini selepas empat tahun, Netflix dan Capcom akan menyiarkan Resident Evil: Infinite Darkness – yang merupakan prekuel kepada permainan video Resident Evil 5. Sedikit informasi untuk mereka yang tidak tahu atau mungkin lupa, filem animasi tiada kaitan dengan filem aksi nyata yang memfokuskan watak Alice. Sebaliknya, ia berkaitan rapat dengan semua siri permainan video.

Untuk siri animasi ini, ia akan memfokuskan kepada watak Leon dan Claire. Siri ini juga adalah pertama kali mereka berdua bertemu selepas permainan video Resident Evil 2. Dalam artikel ini, akan saya kongsi sedikit sebanyak fakta menarik yang patut anda semua tahu sebelum menontonnya.

Sinopsis

Ia berlaku pada tahun 2006, di mana Leon dijemput ke White House untuk siasat fail Presiden yang telah digodam. Sementara itu, Claire pula sebagai ahli TerraSave sedang membantu satu kampung di Penamstan akibat peperangan lalu. Kembali di White House, Leon mula suspek yang godaman tadi ada kaitan dengan zombi. Begitu juga Claire yang menemui satu petunjuk, perang di Penamstan mungkin juga melibatkan zombi.

Untuk meminta bantuan, Claire telah ke White House – tetapi ditolak oleh menteri. Beliau bersemuka dengan Leon untuk tunjuk klu yang ditemui. Selain Leon, beliau juga disertai oleh Jason dan Shen May. Dua watak ini mempunyai latar belakang yang misteri, yang membuatkan Leon sukar mempercayai mereka.

Butiran Garis Masa

Siri Resident Evil: Infinite Darkness seperti yang dinyatakan di perenggan di atas, berlaku pada tahun 2006. Iaitu dua tahun selepas Resident Evil 4. Ia juga mempunyai kaitan dengan Resident Evil 5 dan peminat yang mengikuti permainan video RE4 dan RE5 ini, pasti akan mengenali segala informasi yang didedahkan dalam siri TV ini.

Sebagai peringatan, saya juga akan sertakan garis masa bagi filem-filem animasi lain;

Resident Evil: Degeneration yang ditayangkan pada tahun 2008, berlaku pada tahun 2005 iaitu setahun selepas Leon tamatkan misi dalam RE4. Resident Evil: Damnation pula ditayangkan pada 2012 berlaku pada tahun 2011, sebagai persediaan Leon untuk ke RE6 dan filem ini mempunyai petunjuk untuk RE2, RE4 dan RE5. Akhir sekali, Resident Evil: Vendetta yang berlaku di antara RE6 dan RE7 dengan penampilan watak Chris selepas tamat misi dalam RE6 berlaku di sekitar tahun 2013-2015. Filem ini mempunyai sedikit petunjuk RE0, tetapi sayang sekali dalam RE7 – jalan cerita diolah sedikit.

Produksi

Seperti biasa, wakil Capcom Hiroyuki Kobayashi adalah penerbit dan bertanggungjawab mengendalikan siri TV ini seperti filem-filem lepas. Ia dihasilkan oleh TMS Entertainment dengan kerjasama Quebico untuk animasi 3D CG. Siri TV ini dihasilkan sempena menyambut ulang tahun ke-25 Resident Evil, yang mana pertama kali diperkenalkan di dunia pada tahun 1996.

Untuk memuaskann hati peminat, Nick Apostolides dan Stephanie Panisello kembali meminjamkan suara mereka sebagai Leon S. Kennedy dan Claire Redfield selepas olahan semula permainan video Resident Evil 2 yang dilancarkan pada tahun 2019.

Bersama-sama dengan mereka adalah Jason lakonan suara oleh Ray Chase, Shen May oleh Jona Xiao, Patrick oleh Billy Kametz, Wilson pula adalah Brad Venable, Joe J. Thomas sebagai Graham dan Doug Stone sebagai Ryan.

Watak Penting Yang Netflix Ingin Anda Kenali

Sudah tentu Leon dan Claire adalah penting dalam siri animasi ini. Tetapi Netflix ingin anda kenali watak Shen May sebelum menonton siri ini. Beliau adalah ejen federal Amerika Syarikat yang mempunyai skil dalam komputer sains, mampu bertumbuk dengan baik dan disebabkan itu beliau ditugaskan untuk membantu Leon dan Jason.

Selain itu Shen May juga bijak dalam mengendalikan pistol dan merupakan watak baru yang mempunyai potensi tinggi. Mungkin di masa akan datang beliau boleh tampil dalam permainan video pula? Walau bagaimanapun, watak ini mempunyai latar belakang misteri yang sudah disyaki oleh Leo sejak awal. Namun, apakah ia dan kenapa Leon masih cuba meneruskan misi bersama beliau?

Siri TV ini akan mendedahkan kenapa Shen May penting serta hubungan beliau dengan Jason. Bercakap mengenai Jason, kita sudah lihat video permulaan siri TV ini. Beliau adalah ahli pasukan Mad Dog yang terlibat dengan perang di Penamstan. Namun, Netflix tidak membenarkan kami mendedahkan dengan lanjut mengenai beliau. Ini kerana, informasi Jason adalah satu beberan (spoiler) untuk siri ini.

Pendapat Awal

Terima kasih kepada Netflix kerana memberi akses awal kepada kami untuk artikel ini dan juga ulasan yang bakal kami terbitkan kelak. Resident Evil: Infinite Darkness mempunyai empat episod sahaja dan setiap episod adalah kurang daripada 30 minit, menjadikan keseluruhan siri animasi ini mempunyai durasi 1 jam 45 minit sahaja. Ia seakan satu filem dipecahkan kepada empat bahagian.

Siri ini mempunyai jalan cerita yang lebih serius dan kurang serangan zombi. Dengan pecahan kepada empat bahagian, pengalaman menonton boleh menjadi lebih ringan dan tidak akan memeningkan bagi mereka yang tidak gemar maratonton. Penyampaian siri ini juga adalah dengan cara banyak memperlihatkan imbau kembali masa silam Shen May dan Jason dan bagaimana mereka boleh bertemu.

Kepada peminat permainan video Resident Evil, siri TV ini akan mendedahkan sela masa di antara Resident Evil 4 dan Resident Evil 5 – jika anda ingin tahu apa yang berlaku kepada watak-watak menarik. Ia juga mudah untuk mereka yang tidak bermain permainan video untuk ikuti perjalanan setiap watak, cuma petunjuk yang berkait dengan permainan video mungkin akan menimbulkan tanda tanya.


Seperti yang dikatakan tadi, semua filem animasi dan siri animasi ini tiada kaitan dengan filem aksi nyata. Kecuali hujung tahun ini, Sony akan hadir dengan filem aksi nyata baharu yang berkait dengan permainan video. Filem ini adalah asal-usul dan garis masanya adalah pada tahun 1998. Sementara itu, Netflix akan hadir dengan siri TV aksi nyata memfokuskan kisah hidup keluarga Wesker.

Resident Evil: Infinite Darkness akan disiarkan di Netflix pada 8 Julai kelak. Masa siaran belum didedahkan lagi, tetapi berkemungkinan besar adalah pada 3 petang seperti biasa. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini