Ura-ura mengenai filem Fast & Furious akan bertembung dengan dunia Jurassic World kini menjadi benar. Tetapi ia bukanlah apa yang kita semua sangkakan. Ini kerana, semasa tayangan filem F9 di IMAX – lima minit pertama filem Jurassic World: Doiminion turut akan ditayangkan.
Ia merupakan filem ketiga dalam francais Jurassic World dan filem keenam dalam francais Jurassic Park. Filem ini adalah sekuel secara terus kepada Jurassic World: Fallen Kingdom yang ditayangkan pada tahun 2018 dan diarahkan oleh Colin Trevorrow dengan Steven Spielberg sebagai penerbit eksekutif.
Saluran YouTube Jurassic World baru-baru ini telah menerbit satu video acah 15 saat bagi filem baharu ini. Menurut pengarah, filem Jurassic World: Dominion bukan sahaja sekuel yang melengkapkan trilogi – tetapi turut merupakan kemuncak untuk keenam-enam filem Jurassic. Video acah ini memperlihatkan rekaan visual dan CGI dinosaur yang lebih realistik seakan dokumentari mengenai haiwan-haiwan pupus ini.

Walaupun tidak banyak yang dikongsi mengenai filem ini, mereka menjanjikan akan memberikan satu pengalaman tontonan baharu yang lebih gempak. Contohnya semua dinosaur CGI akan dimasukkan ke dalam lokasi penggambaran sebenar. Kemudian Chris Pratt, Bryce Dallas Howard, Laura Dern, Sam Neill, Jeff Goldblum, Daniella Pineda, Isabella Sermon, Justice Smith, Omar Sy, Jake Johnson, dan BD Wong akan kembali memainkan watak mereka. Turut menyertai mereka adalah pelakon antarabangsa lain seperti Mamoudou Athie, Scott Haze, Dichen Lachman, Campbell Scott, dan juga DeWanda Wise.
Jurassic World: Dominion akan ditayangkan di Malaysia pada 9 Jun 2022. Lima minit video eksklusif ini terhad di IMAX sahaja bermula 25 Jun 2021 untuk tayangan filem F9. Di Malaysia, tarikh tayangan F9 IMAX masih belum didedahkan lagi, sama-sama kita nantikan.


