Loki adalah siri TV ketiga Disney+ yang akan disiarkan pada tahun ini, sebaik sahaja selepas The Falcon And The Winter Soldier tamat disiarkan – iaitu 11 Jun. Siri TV ini telah pun disahkan akan bermain dengan masa, yang mana akan ada banyak rentas masa dan pengembaraan ke masa silam dan/atau ke garis masa lain. Ia juga akan melibatkan TVA, iaitu Time Variance Authority (nama dalam komik, tetapi dalam MCU belum didedahkan apa itu TVA. S.W.O.R.D dalam komik adalah lain dan MCU lain – jadi kita perlu nantikan).

Kenapa TVA terlibat dan siapakah TVA? Dalam komik mereka adalah organisasi yang “menjaga” masa agar garis masa semuanya seperti ditetapkan dan tidak berubah. Dalam Endgame, semasa Iron Man, Captain America dan Antman cuba memperoleh Tesseract – Loki dari garis masa filem Avengers pertama atau “Battle of New York” menggunakan Tesseract untuk melarikan diri. Disebabkan itu, secara logiknya semua yang berlaku selepas itu akan berubah. Video acah pertama memperlihatkan TVA menangkap Loki agar Loki bekerjasama dengan mereka untuk pulihkan keadaan kepada garis masa asal. Terkini video acah kedua dipertontonkan dan ia memperlihatkan aksi rentas masa yang menarik.

Dalam video acah kedua ini, watak lakonan Owen Wilson iaitu Mobius M. Mobius mendedahkan yang aksi Loki larikan diri telah mencipta banyak garis masa berbeza yang merosakkan apa yang sepatutnya berlaku. Loki dilihat diarahkan untuk menurut perintah dan dilihat beliau sudah ketahui apa itu TVA. Tetapi Loki yang cerdik lagi hebat dalam manipulasi sedar yang TVA ini seakan jahat atau mungkin ada udang di sebalik batu. Kita masih tidak tahu dalam MCU, TVA ini bagaimana – Marvel dan Disney pandai juga menipu dalam video acah.

Loki menjadi Loki terus melakukan misi beliau tersendiri dan mungkin sesuatu yang dahsyat berlaku. Ia memberi petanda yang Loki mungkin akan menentang diri beliau sendiri, di mana Loki yang lari dari Endgame perlu menghentikan Loki dari garis masa berlainan untuk pulihkan keadaa. Apa-apa pun, kedua-dua Loki dan TVA dilihat menyembunyikan sesuatu.

Sama-sama kita nantikan. Harapnya, pada saat siri TV ini disiarkan – Malaysia sudah boleh tonton siri TV ini secara rasmi.

Sohor Kini