Jika anda adalah peminat sitkom The Office, anda pasti akan mengenali siapa itu John Krasinski. Beliau adalah pelakon kepada watak Jim dan juga merupakan pengarah dan penulis kepada filem A Quiet Place. Filem ini menerima malum balas yang baik sehinggakan filem sekuel A Quiet Place Part 2 dikeluarkan.

Filem sekuel buat masa ini hanya terhad di negara terpilih seperti Amerika Syarikat, yang juga menerima maklum balas positif. Tayangan di Malaysia dianggarkan akan ditayangkan pada 19 Ogos 2021 akan datang. Disebabkan kreativiti dan konsep yang John bawakan, pihak Paramount gembira dengan hasil kerja beliau sehinggakan filem sampingan dirancang.

Nampaknya, filem sampingan yang dirancang ini mungkin akan menjadi filem ketiga kepada francais A Quiet Place. Terkini, menurut ciapan daripada Erik Davis selepas berbual bersama John dalam Twitter Spaces – mereka mengesahkan laporan tahun lalu mengenai filem sampingan akan menjadi filem ketiga. Skrip dikatakan lebih kepada filem sampingan, namun masih tidak pasti sama ada sekuel ataupun prekuel.

Jika ia adalah filem sampingan, agak menarik untuk melihat mereka fokus kepada raksasa yang menjadi titik permulaan kepada filem ini. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan – filem ketiga akan tiba pada 31 Mac 2023.

Sohor Kini