Kesemua Kandungan Disney+ Hotstar Yang Pernah Kami Ulas

Penantian lama rakyat Malaysia untuk melanggan satu lagi perkhidmatan penstriman akhirnya berakhir apabila Disney+ akhirnya dilancarkan secara rasmi. Anda boleh melanggannya dengan harga RM54.90 sebagai harga promosi tetapi tidak disahkan lagi harga langganan untuk bulan-bulan berikutnya.

Terdapat puluhan siri TV dan juga filem yang ditawarkan bermula hari ini, oleh itu ramai mungkin sedikit rambang mata untuk mencari kandungan pertama yang ingin ditonton. Melalui artikel ini, kami akan senaraikan kesemua kandungan yang terdapat di dalam Disney+Hotstar yang kami pernah ulas sebelum ini;

Raya and the Last Dragon

1 Jam 57 Mini | Don Hall/Carlos López Estrada | 2021

Raya and the Last Dragon adalah percubaan Disney untuk membawa filem animasi yang memfokuskan kepada Asia Tenggara. Di kebanyakan tempat ia dilakukan dengan baik walaupun masih terasa sekadar permukaan sahaja. Bagi penceritaan pula, ia membawa kisah yang menarik serta bermain dengan emosi penonton. Satu filem menarik untuk ditonton seisi keluarga.

Avengers: Endgame

3 Jam 2 Minit | Anthony Russo/Joe Russo | 2019

Sebagai filem penutup untuk saga pertama bagi MCU, tidak mengejutkan jika Avengers: Endgame adalah filem paling dinanti-nantikan dan juga terbesar semasa ia dikeluarkan iaitu pada tahun 2019. Secara keseluruhannya, ia adalah satu filem yang berjaya memenuhi segala keinginan penonton dan menyampaikan pelbagai lagi perkara yang lebih menarik.

Captain Marvel

2 Jam 5 Minit | Anna Boden/Ryan Fleck | 2019

Filem Captain Marvel hadir untuk memberi ruangan untuk memperkenalkan watak Carol Danvers, ia mungkin disertakan dengan sedikit gopoh kerana terlalu mengejar untuk ia tiba sebelum Avengers: Endgame akan tetapi ia masih lagi satu filem yang baik, dan dengan filem susulan untuknya sudah disahkan ia adalah filem yang harus ditonton.

Star Wars: The Rise of Skywalker

2 Jam 22 Minit | J.J. Abrams | 2019

Filem terakhir untuk siri trilogi Star Wars “Disney” dan juga mungkin menjadi filem terakhir untuk saga Skywalker, The Rise of Skywalker adalah filem yang berlaku apabila projek tidak mempunyai perancangan yang baik. Penceritaan walaupun menarik, tetapi terlalu kucar kacir dan terdapat pelbagai masalah. Namun, oleh kerana ia adalah satu pengakhiran untuk satu trilogi, nak tak nak ia masih satu filem yang penting.

Alita: Battle Angel

2 Jam 2 Minit | Robert Rodriguez | 2019

Membawa mana-mana siri manga untuk menjadi satu filem ataupun siri aksi nyata bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, Alita: Battle Angel membawa satu filem yang menarik dan sama ada ia “menghormati” manga adalah satu perbincangan yang tidak akan habis. Secara keseluruhannya, ia masih lagi satu filem menarik dengan watak dan penceritaan yang baik.

Terminator: Dark Fate

2 Jam 8 Minit | Tim Miller | 2019

Selepas lebih 28 tahun dan 3 filem kemudian, James Cameron kembali terlibat dengan filem Terminator melalui Terminator: Dark Fate, oleh itu tidak mengejutkan jika filem ini mendapat tarikan penonton yang ternanti-nantikan filem baharu Terminator. Ini ditambah lagi pelakon seperti Linda Hamilton membawa wataknya semula. Namun, walaupun mempunyai aksi yang menarik akan tetapi secara keseluruhan ia masih satu filem yang mengecewakan.

Aladdin

2 Jam 8 Minit | Guy Ritchie | 2019

Membawa filem animasi popular ini sebagai filem aksi nyata adalah percubaan awal untuk Disney. Walaupun kekurangan magis seperti filem animasi, akan tetapi ia masih lagi satu filem yang baik dengan setiap watak di bawah dengan baik, terutama Will Smith sebagai Jin/Mariner.

Toy Story 4

1 Jam 40 Minit | Josh Cooley | 2019

Toy Story adalah satu siri animasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi, namun peminat perlu menunggu sehingga 9 tahun sebelum Disney dan Pixar mengambil keputusan untuk membawa filem yang baharu. Walaupun menanti lama, akan tetapi Toy Story 4 terus mengekalkan apa yang menarik mengenai siri ini. Ia mungkin sedikit berbeza berbanding filem-filem sebelum ini akan tetapi masih satu filem menyentuh hati yang juga mungkin satu pengakhiran untuk siri ini.

The Lion King

1 Jam 58 Minit | Jon Favreau | 2019

Perdebatan sama ada The Lion King yang dikeluarkan pada tahun 2019 adalah satu filem aksi nyata ataupun tidak masih berterusan. Disney mengatakan ia adalah filem aksi nyata, tetapi setiap watak di dalamnya secara teknikalnya masih lagi satu animasi. Walau apapun, ia masih lagi satu filem yang menyentuh hati, mempunyai pelbagai elemen mencuit hati, terutama jika anda tidak pernah menonton filem animasi asal yang sudah semestinya versi yang lebih baik.

Frozen 2

1 Jam 43 Minit | Jennifer Lee/Chris Buck | 2019

Frozen menjadi kegilaan ramai terutama di kalangan kanak-kanak dan juga ibu bapa yang mungkin bukan satu pilihan, selepas 6 tahun ia akhirnya menerima filem susulan melalui Frozen 2. Masih mengekalkan kebanyakan watak daripada filem pertama, Frozen 2 masih lagi satu filem yang menarik walaupun ia mempunyai kekurangan tarikan seperti filem pertama. Ia juga terasa lebih dihasilkan untuk penonton dewasa berbanding kanak-kanak.

Ejen Ali: The Movie

1 Jam 37 Minit | Muhammad Usamah Zaid Yasin | 2019

Ejen Ali: The Movie adalah satu filem animasi tempatan yang harus dipuji, selain membawa animasi yang berkualiti tinggi, ia juga membawa penceritaan yang mendalam mengenai persahabatan dan juga kekeluargaan. Oleh itu tidak mengejutkan jika ia bukan sahaja filem animasi tempatan paling berjaya pada tahun 2019, ia juga antara filem tempatan dengan kutipan tertinggi di pawagam.

Onward

1 Jam 42 Minit | Dan Scanlon | 2020

Onward adalah satu siri animasi oleh Pixar yang sekali lagi membuktikan mereka adalah studio animasi yang sangat pandai bermain dengan emosi. Filem ini mungkin tidak dapat menandingi filem-filem lain oleh Pixar tetapi ia masih lagi satu filem yang sangat baik dengan pelbagai watak yang mencuit dan menyentuh hati. Penceritaan ringkas tetapi dengan pelbagai cabang yang menarik menjadikan ia satu filem yang puas untuk ditonton.

Mulan

2 Jam | Niki Caro | 2020

Selepas Aladdin, Mulan pula menjadi filem seterusnya oleh Disney yang menjadikan filem animasi sebaga filem aksi nyata. Seperti Aladdin, filem ini juga mempunyai pelbagai kekurangan jika ingin dibandingkan dengan filem asal. Namun, ia bukanlah satu filem yang membosankan ataupun tidak baik. Ia mempunyai beberapa bahagian yang menarik dan masih menjadi filem yang seronok untuk ditonton.

WandaVision

9 Episod | Matt Shakman | 2021

Selepas kebanyakan filem-filem seterusnya untuk fasa 4 MCU tertunda, WandaVision telah menjadi permulaan untuk fasa ini. Ia juga adalah siri MCU pertama yang tiba di Disney+. Sama ada ia satu siri yang baik atapun tidak mungkin setiap orang akan mempunyai pendapat yang berbeza akan tetapi satu perkara yang boleh dipersetujui oleh ramai adalah ia satu siri yang pelik.

The Falcon and The Winter Soldier

6 Episod | Kari Skogland | 2021

Jika WandaVision satu siri yang pelik, The Falcon and the Winter Soldier boleh dikatakan sebagai siri yang mengembalikan apa yang menarik mengenai MCU. Seperti WandaVision ia juga berlaku terus selepas kejadian Endgame, akan tetapi lebih mudah untuk diikut dan lebih masuk akal. Mesej penceritaan, perwatakan The Falcon dan The Winter Soldier dilakukan dengan sangat baik. Ia adalah satu siri yang akan diminati oleh pengikut MCU.


Selain beberapa filem dan siri TV yang kami nyatakan di atas, Disney+ Hotstar menawarkan pelbagai lagi kandungan yang menarik, ada yang kami sudah tonton tetapi tidak mempunyai ulasan dan ada juga kandungan-kandungan yang kami tidak berkesempatan lagi.

Terdapat juga pelbagai kandungan yang akan mula tiba dari semasa ke semasa selepas ini. Antaranya adalah siri Loki yang jika kami ulas, kami sudah semestinya akan mengemaskini senarai artikel ini. Oleh itu, senarai ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa, untuk memudahkan anda mencari filem ataupun siri TV yang perlu ditonton di lambakan kandungan di Disney+ Hotstar.

Sohor Kini