Berpuluh tahun, iaitu sekitar 55 tahun – Ultraman adalah watak hero utama di Jepun. Tetapi dengan Netflix yang semakin berkembang pesat ke penonton global, platform ini kini menjadi platform “utama” penonton generasi baru untuk mula mengikuti kisah Ultraman.

Di Netflix sudah pun ada siri animasi baharu dengan penceritaan baharu, berjudul Ultraman. Musim kedua juga sudah disahkan sebelum ini. Siri animasi ini walau bagaimanapun masih lagi bersambung dengan kisah Ultraman pada tahun 1960-an. Tetapi Netflix tidak ingin berhenti di situ dan ingin menjadi penyiar utama kisah Ultraman kepada semua pelanggan mereka. Netflix kini dilaporkan akan mengolah semula jalan cerita Ultraman, menyasarkan penonton baharu atau generasi baru serta untuk akses orang ramai secara lebih meluas.

Netflix akan bermula dengan filem animasi terlebih dahulu dan mereka turut akan bekerjasama dengan Tsuburaya Productions bagi menjayakan projek ini. Filem-filem animasi ini akan dihasilkan oleh Industrial Light and Magic dengan gaya tersendiri sambil mengekalkan serba sedikit elemen seakan anime.

Shannon Tindle akan menjadi pengarah dan penulis skrip filem pertama, bersama-sama dengan Marc Haimes. Sementara John Aoshima akan menjadi pengarah bersama dengan Shannon.

Filem ini dikatakan akan menghormati elemen asal tetapi akan lebih bersesuaian untuk penonton di peringkat global. Ia akan menceritakan kisah Ken Sato, seorang pemain besbol terkenal yang baru sahaja pulang ke Jepun. Beliau akan memainkan peranan sebagai adiwira negara sebagai Ultraman. Sudah tentu tugas beliau mempunyai cabaran dan halangan, apabila beliau mula berubah hati untuk menjaga bayi raksasa seakan anak beliau sendiri.

Sementara itu, Sato turut terpaksa menjalin semula hubungan dengan bapa beliau dan menerima pelbagai halangan berpunca daripada Kaiju Defense Force.

Masih tiada senarai pelakon suara atau tarikh siaran. Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply