Bukan sekadar filem baru sahaja yang Netflix akan tawarkan sepanjang tahun ini. Terdapat banyak juga siri TV aksi nyata, siri animasi, komediri dan lain-lain lagi dijadualkan untuk disiarkan sepanjang Mei sehinggalah hujung 2021.

Terkini, Netflix memperlihatkan video acah bagi siri TV aksi nyata Sweet Tooth. Ia diadaptasi daripada komik DC karya Jeff Lemire dan diarahkan oleh Jim Mickle. Siri TV ini adalah hasil produksi syarikat Robert Downey Jr. dan isteri beliau Susan.

Sweet Tooth adalah siri fantasi, di mana dunia telah dilanda dengan sejenis virus. Menjadikan semua bayi baru lahir hibrid manusia dan haiwan. Disebabkan tiada siapa tahu mana satukah datang dulu, virus atau spesis istimewa ini – dunia menjadi huru-hara. Peristiwa ini digelar sebagai The Great Crumble dan siri TV ini berlaku 10 tahun selepas peristiwa ini.

Siri TV ini disenaraikan untuk mempunyai lapan episod dan akan memfokuskan bayi-bayi hibrid ini sudah membesar. Gus adalah manusia hibrid rusa dan bertemu dengan Jepperd menjadi kawan baik. Bersama-sama mereka mengembara mencari kebenaran seperti asal-usul Gus dan kisah silam Jepperd. Dalam video acah, ia memperlihatkan banyak aksi, misteri dan drama.

Siri TV ini turut dibintangi oleh Christian Convery, Nonso Anozie, Adeel Akhtar, Aliza Vellani, Stefania LaVie Owen, Dania Ramirez, Neil Sandilands, Will Forte, dan James Brolin. Ia akan disiarkan di Netflix pada 4 Jun kelak.

Sohor Kini