Disney+ adalah platform penstriman video Disney yang bersaing dengan Netflix, Apple TV+, Prime Video, HBO Max dan banyak lagi. Semua kandungan milik The Walt Dinsey akan ditawarkan termasuk National Discovery, Fox, Hulu dan pelbagai lagi. Sudah semestinya yang paling penting adalah Marvel, atau lebih spesifik MCU.

Disney akan menyiarkan pelbagai siri TV, animasi, mungkin filem MCU yang berkait antara satu sama lain. Sudah banyak yang diumumkan, seperti WandaVision yang kini berbaki dua episod, selepas itu ada The Falcon and the Winter Soldier, Loki, Hawkeye, Ms, Marvel dan banyak lagi. Baru-baru ini, Twitter Marvel Studios telah mengesahkan yang Loki akan disiarkan pada 11 Jun di Disney+.
Siri TV Loki akan berlaku sejurus selepas beliau melarikan diri di dalam filem Avengers: Endgame dengan Tesseract. Disebabkan itu, garis masa dunia menjadi huru-hara kerana Loki telah mengubah apa yang sepatutnya berlaku. Loki akan banyak bermain dengan rentas-masa, akan banyak terlibat dengan Time Variance Authority atau TVA iaitu organisasi penjaga masa. TVA juga akan berkait dengan Kang The Conquerer yang mana adalah penjahat yang boleh mengawal masa.
Kang The Conquerer juga akan menjadi penjahat dalam filem Ant-Man 3, dan dalam komik Kang berkait rapat dengan Fantastic Four. Lihat, betapa banyak perkara Disney boleh bawakan. Harapnya mereka tidak melupakan penonton filem yang setia dengan filem. Ini kerana tidak semua orang mampu melanggan Disney+ dan/atau ada masa menonton. Harapnya filem akan mudah faham untuk semua orang.