Scarlett Johansson iaitu pelakon watak Natasha Romanoff a.k.a Black Widow akan kembali beraksi dalam filem solo beliau “Black Widow“. Sinopsis filem ini masih tidak jelas, selain daripada membongkar kisah silam beliau. Penjahat dalam filem ini pula adalah Taskmaster, yang mana mempunyai kuasa menyalin skil sesiapa sahaja yang beliau lawan.

Sebentar tadi video acah baharu filem ini diterbitkan. Sebelum ini sudah ada video acah “akhir”, kali ini ada video acah baharu pula yang mana mungkin bukan yang terakhir. Video acah sebelum ini telah memperlihatkan keluarga Natasha seperti adik beliau Yelena Belova (Florence Pugh), adiwira Rusia seakan Captain America – Red Guardian/Alexei Shostakov (David Harbour), dan Melina Vostokoff (Rachel Weisz). Video kali ini terus mengimbau jauh ke kisah kanak-kanak beliau pula, yang mana memperlihatkan hubungan erat beliau dengan Alexei dan Yelena.

Bukan itu sahaja, misi Taskmaster juga kini lebih jelas dengan lebih aksi daripada beliau. Taskmaster dilihat berada di bawah kawalan seseorang untuk memburu Natasha. Berdasarkan video ini, Taskmaster dilihat seakan seorang wanita? Mungkin musuh silam Natasha atau ada misteri lain. Lagipun video acah Marvel bukan boleh percaya, kerana banyak suntingan yang memanipulasi peminat untuk hadir dengan pelbagai teori yang akan berakhir dengan kekecewaan.

Setiap perbualan dalam filem ini juga memberi petanda kepada satu agenda misteri yang lebih besar dari semua orang sangkakan. Apakah yang sebenarnya berlaku? Kenapa Natasha kembali mencari keluarga beliau? Apa yang ada pada beliau dan apa yang beliau lakukan sehinggakan ada orang menggunakan Taskmaster untuk memburu Black Widow?

Pada akhir video ini juga, ada muzik menarik – iaitu lagu tema Avengers dengan iterasi Rusia. Sama-sama kita nantikan filem ini pada 9 Julai.

Sohor Kini