Space Jam adalah filem yang aneh. Semasa kecil, saya tonton berkali-kali kerana gemarkan kartun Looney Tunes. Gabungan aksi nyata dan animasi 2D dalam sesebuah filem adalah unik. Ia mengimbau kembali trend seakan filem Who Frame Roger Rabbit, tetapi lebih cringe dan padat dengan komedi yang mengarut. Space Jam memfokuskan pemain bola keranjang terkenal Michael Jordan bersama-sama dengan kartun Looney Tunes bertempur dengan watak kartun anatgonis.

Untuk filem sekuel, Space Jam: A New Legacy – LeBron James menggantikan Michael Jordan. LeBron James dilihat sedang meluangkan masa dengan anak beliau, tetapi diserap masuk ke dunia kartun. Watak Don Cheadle (War Machine dalam MCU) dilihat dalang di sebalik agenda ini dan meminta LeBron James menang perlawanan bola keranjang dengan pasukan watak antagonis Looney Tunes. LeBron pula terpaksa bekerjasama dengan Bugs Bunny, Daffy Duck Tweety, dan ramai lagi watak yang pasti dikenali orang ramai. Watak-watak kartun Looney Tunes juga adalah versi olahan semula yang diperkenalkan Warner Bros. tahun lalu.

Jalan cerita daripada video acah kelihatan ringkas sahaja. Tetapi jenakanya masih kelihatan cringe dan filem ini mungkin bukan untuk semua orang. Apa-apa pun, agak menarik untuk melihat sekuel Space Jam akhirnya menjadi realiti selepas 24 tahun merancang. Video acah juga turut memperlihatkan penampilan khas dari pelbagai watak-watak kartun terkenal seperti Scooby-Doo, Iron Giant, Flinstone dan banyak lagi.

Sekuel kepada filem ini mjula dirancang sejak tahun 1997, iaitu setahun selepas filem Space Jam ditayangkan. Tetapi ia tidak disetujui oleh Jordan dan terus dibatalkan. Dengan filem Jackie Chan sedang popular, filem Spy Jam pula dirancang dengan Jackie Chan dan kartun Looney Tunes – tetapi turut dibatalkan. Kemudian ada Race Jam dengan pelumba NASCAR Jeff Gordon, variasi dengan Tiger Woods untuk tema Golf, tetapi turut dibatalkan. Skate Jam dengan Tony Hawk juga ingin dihasilkan, tetapi disebabkan Warner Bros. telah hadir dengan filem Looney Tunes: Back in Action – ia juga dibatalkan.

Hanya pada 2014 filem sekuel Space Jam dengan LeBron James mula dirancang kembali. Selepas bertahun merancang, dan menempuhi pelbagai isu – 2019 barulah filem ini mula dibangunkan. Kini, video acah pertama bagi filem ini telah diterbitkan. Ini adalah kali kedua ILM, iaitu Industrial Light & Magic terlibat dengan filem hibrid aksi nyata dan kartun sejak 1988 dengan Who Frame Roger Rabbit. Filem ini menggabungkan tiga elemen, aksi nyata + animasi 3D dan animasi 2D.

Filem ini akan ditayangkan pada 16 Julai.

Sohor Kini