Siri animasi popular Powerpuff Girls dicipta oleh Craig McCracken dan disiarkan di Cartoon Network. Ia mengisahkan tiga orang adik-beradik Blossom, Bubbles dan Buttercup iaitu manusia ciptaan tidak sengaja Profesor X. Powerpuff Girls adalah wirawati kanak-kanak perempuan yang menentang kejahatan di bandar Townsville. Siri animasi ini akan diadaptasi menjadi siri aksi-nyata oleh Warner Bros. dan Berlanti Productions yang telah mencipta banyak siri TV aksi nyata adiwira dalam dunia DC seperti dunia Arrowverse.
Terkini, senarai pelakon telah didedahkan iaitu Chloe Bennet sebagai Blossom, Dove Cameron sebagai Bubbles dan Yana Perrault sebagai Buttercup. Siri TV ini akan mengisahkan kehidupan mereka di usia 20-an yang mana sudah menyesal menjadi wirawati ketika kanak-kanak kerana mereka tidak dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain dan dalam dilema sama ada ingin kembali beraksi ataupun tidak.
Blossom dalam siri TV aksi nyata ini mempunyai perwatakan yang lebih bersendirian dan bijak dengan memegang beberapa ijazah. Beliau cuba untuk kembali menjadi ketua, tetapi kini dengan cara beliau yang tersendiri. Chloe Bennet sebagai pelakon adalah pilihan bijak, berdasarkan pengalaman berlakon beliau dalam Agents of SHIELD sebagai Quake. Bubbles pula lebih mengejar populariti berbanding ingin menyelamatkan dunia. Tetapi ada rahsia yang Bubbles pegang yang mungkin mengejutkan orang ramai. Dove Cameron sebelum ini terkenal sebagai Mal dalam siri Descendants di Disney, yang mana mungkin sesuai dengan watak ini. Akhir sekali Buttercup dengan perwatakan yang ganas tetapi ingin mengelak kisah lama sebagai seorang wirawati.
Siri TV ini akan diterbit oleh Warner Bros. Television, Greg Berlanti dan Sarah Schechter dan David Madden akan menjadi penerbit melalui Berlanti Prodcutions dan Heather Regnier serta Diablo Cody akan terlibat sebagai penulis dan penerbit eksekutif.