Ingat lagi atau tidak ayat ini “Sugar, Spice and everything nice…”. Ia adalah bahan-bahan dari Profesor Utonium yang kemudiannya secara tidak sengaja tercampur bahan kimia X untuk menghasilkan Powerpuff Girls. Ia adalah antara animasi popular semasa saya bersekolah lagi. Ia bermula pada tahun 1998 sehingga 2005 dengan 78 episod melalui enam musim. Turut terdapat filem pada tahun 2002 dan animasi olahan semula pada tahun 2016.
Terkini, Variety melaporkan yang The CW akan hadir dengan siri TV aksi nyata mengenai Powerpuff Girls. Menariknya, ia akan memfokuskan kepada Blossom, Bubbles, dan Buttercup yang sudah berusia sekitar 20-an dan sudah lama tidak beraksi. Tetapi dunia kini memerlukan mereka kerana mungkin jenayah semakin menjadi-jadi. Menjadi persoalan, adalah ketiga-tiga adik beradik ini akan kembali bersatu dna beraksi?
Siri TV ini akan diterbit oleh Warner Bros. Television, Greg Berlanti dan Sarah Schechter dan David Madden akan menjadi penerbit melalui Berlanti Prodcutions dan Heather Regnier serta Diablo Cody akan terlibat sebagai penulis dan penerbit eksekutif.
Berlanti Productions sudah ada banyak pengalaman dengan menghasilkan siri TV adiwira seperti untuk Arrowverse atau siri-siri TV DC lain. Bukan itu sahaja, melalui pengalaman mereka mengolah semula IP lama kepada siri TV aksi nyata – seperti kejayaan Riverdale yang diolah dari animasi Archie. Powerpuff Girls ini mungkin akan menjadi satu projek menarik dari mereka. Buat masa ini, itu sahaja informasi yang diterima, siapakah pelakon, sinopsis penuh dan tarikh siaran masih tidak diketahui lagi. Sama-sama kita nantikan.