Acara PlayStation State of Play memperlihatkan sejumlah tajuk-tajuk baru dan lama yang bakal menerima penaiktarafan daripada konsol PlayStation 4 ke PlayStation 5, dan Final Fantasy VII Remake adalah diantara permainan-permainan tersebut.

Kemaskini untuk permainan ini diberikan nama Final Fantasy VII Remake Intergrade, dan ia bukanlah penaiktarafan kualiti kepada konsol PlayStation 5 semata-mata.

Bercakap mengenai penaiktarafan kualiti, permainan ini akan menerima pelbagai penaiktarafan dari segi kualiti grafik, termasuklah sokongan untuk resolusi 4K secara natif, penambahbaikan dari segi tekstur dan penggunaan cahaya dan kemampuan untuk menggerakkan semua kualiti baru ini pada kadar 60FPS.

Selain daripada itu, Square-Enix juga telah menambahkan tahap kesukaran Normal (Classic), dimana pemain boleh bermain mod klasik dengan kesukaran tahap Normal.

Apa yang lebih mengejutkan ialah pengumuman bahawa kemaskini ini juga akan tiba dengan kandungan tambahan dalam bentuk penceritaan dimana anda boleh mengawal seorang lagi watak Final Fantasy VII, iaitu Yuffie.

Berdasarkan apa yang dapat dilihat pada video acah yang ditunjuk, kandungan baru ini nampaknya walaupun didalam garis masa permainan asas FFVII Remake, dia tidak dilihat akan berinteraksi dengan watak-watak yang lain buat masa ini.

Berdasarkan apa yang diberitahu, pengguna juga perlu menaiktarafkan versi Final Fantasy VII Remake mereka ke versi PlayStation 5 sebelum kandungan tambahan Yuffie ini boleh dibeli.

Kemaskini Final Fantasy VII Remake Intergrade ini akan tiba pada 10 Jun 2021 kelak.

Sohor Kini