Semasa awal pelancaran Disney+, antara filem aksi nyata yang diperkenalkan oleh Disney adalah Cruella. Iaitu filem sampingan prekuel aksi nyata 101 Dalamtion yang memfokuskan kepada watak penjahat Cruella de Vil. Kali terakhir kita mendengar khabar mengenai filem ini adalah pada tahun 2019, selepas itu Disney senyap sahaja.
Kini sudah masuk tahun 2021, akhirnya Disney memperlihatkan video acah pertama bagi filem ini. Emma Stone adalah pelakon yang berlakon sebagai Cruella. Filem ini akan berlaku pada tahun 1970-an, iaitu menceritakan kisah kehidupan Cruella sebelum menjadi penjahat yang kejam terhadap anjing-anjing 101 Dalmation seperti yang kita lihat pada filem animasi tahun 1961. Filem ini bertempatkan di London dan akan melihat perjalan hidup Cruella ke arah bidang fesyen dan mula meminati kulit anjing untuk dijadikan pakaian.
Video acah ini memperlihatkan Emma Stone dengan gaya seakan Harley Quinn, tetapi versi Disney dan mesra kanak-kanak. Sekali imbas, beliau seakan berjaya membawakan watak ini dengan baik sekali. Kita perlu saksikan filem ini nanti untuk ketahui lebih lanjut.
Selain daripada Emma Stone, Emma Thompson, Mark Strong, Paul Walter Hauser, Emily Beecham, Jamie Demetriou, Joel Fry dan Kirby Howell-Baptiste turut akan terlibat dalam filem ini. Bagi menjayakan filem ini, Glenn Close iaitu pelakon yang memainkan watak Cruella di filem aksi nyata tahun 1996 dan tahun 2000 – menjadi penerbit eksekutif.
Marc Platt, Kristin Burr dan Andrew Gunn turut menyertai sebagai penerbit. Craig Gillespie pula akan bertindak sebagai pengarah. Disney juga mempunyai novel berjudul Hello, Cruel Heart, yang akan dilancarkan pada April ini. Ia adalah prekuel kepada filem Cruella, yang akan fokus kepada zaman remaja beliau di tahun 1967.
Filem ini akan disiarkan di Disney+ pada 28 Mei 2021.