Dwayne Johnson atau nama gelaran beliau The Rock adalah seorang yang berbakat. Dari seorang ahli gusti, berubah menjadi pelakon sehinggalaj mempunyai studio sendiri untuk menghasilkan banyak filem. The Rock ketika awal berlakon, banyak berlakon filem-filem yang memfokuskan kepada penonton yang matang. Beliau juga pernah dua kali menjadi pelakon dengan bayaran tertinggi.
Semakin lama, beliau dikenali sebagai pelakon komedi yang terlibat dengan banyak filem kekeluargaan, filem komedi, filem pengembaraan dan juga pelakon suara untuk filem animasi. Terkini, kisah kehidupan beliau diadaptasi menjadi siri TV dokumentari komedi untuk siaran di NBC – Young Rock. Baru-baru ini, video acah untuk siri TV ini diterbitkan.
Walaupun siri TV ini adalah dokumentari komedi, ia masih lagi berasaskan kehidupan sebenar beliau. Ia turut dicampur sedikit dengan parodi, di mana siri TV ini disampaikan dalam temuramah pada tahun 2032. Pada tahun 2032, The Rock dilihat menjadi calon untuk Presiden Amerika Syarikat. Ia adalah satu jenaka yang tular sebelum ini dan dijadikan realiti dalam bentuk komedi.
Siri TV dokumentari ini akan disiarkan di NBC pada 16 Februari kelak.