Kami sebelum ini melaporkan yang siri Fast & Furious akan berakhir dengan filem ke-11 berbanding filem ke-10, tetapi berdasarkan temubual di antara Vin Diesel dan Entertainment Weekly, beliau mengatakan yang siri tersebut akan berakhir dengan filem ke-10 ataupun F10 tetapi akan menyertakan 2 bahagian.
Ia adalah bagaimana filem terakhir Avengers dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Avengers: Infinity War dan Avengers: Endgame ataupun judul terakhir Harry Potter The Deathly Hallows dibahagikan kepada dua bahagian.
Vin Diesel juga mengatakan yang beliau dan mendiang Paul Walker sejak tahun 2012 dan 2013 lagi merancang untuk menghabiskan siri asal ini pada filem ke-10. Namun, ini tidak bermakna ia adalah filem terakhir berdasarkan dunia Fast & Furious. Ia akan disertakan dengan pelbagai penceritaan sampingan di masa hadapan.
Seperti disahkan sebelum ini, F10 akan diarah oleh Justin Lin iaitu pengarah untuk siri tersebut sejak daripada Tokyo Drift lagi. Beliau juga mengarah F9 yang selepas beberapa kali tertunda akan tiba pada bulan Mei tahun ini.