Ray Fisher seperti kita sedia maklum telah membuat tuduhan yang pengarah ganti untuk Justice League iaitu Joss Whedon mempunyai sikap yang tidak profesional ketika pengembaraan. Warner Bros. kemudiannya telah melakukan siasatan dalaman, dan mengatakan tindakan telah diambil, namun mereka tidak berkongsi maklumat lanjut.
Namun, projek antara Joss Whedon dan HBO yang juga di bawah Warner Media iaitu The Nevers telah ditamatkan walaupun tiada sebab yang dinyatakan tetapi ia mungkin berkait dengan siasatan tersebut.
Selain Joss Whedon, Ray Fisher juga tidak berpuas hati dengan presiden DC Film iaitu Walter Hamada dan mengatakan yang beliau cuba memburukkan namanya melalui laporan yang dikeluarkan oleh The Wrap sebelum ini. Lanjutan daripada perkara tersebut, Ray Fisher mengatakan yang beliau tidak akan terlibat dengan mana-mana projek jika ia berkait dengan Walter Hamada.
Oleh kerana Walter Hamada adalah presiden untuk DC Film agak mustahil untuk beliau tidak melibatkan diri dalam mana-mana projek oleh DC Film. Mungkin disebabkan perkara tersebut, beberapa laporan telah mengatakan yang watak Cyborg yang sepatutnya disertakan di dalam filem The Flash telah dikeluarkan, bahkan ia tidak akan digantikan dengan pelakon lain.
Ray Fisher kemudian mengeluarkan ciapan mengatakan yang beliau tidak pernah mengumumkan yang beliau ingin berhenti daripada membawa watak Cyborg dan keputusan untuk mengeluarkan watak beliau daripada The Flash adalah keputusan Warner Bros Pictures.
Jika ini berterusan, Justice League suntingan Snyder akan menjadi filem terakhir kita boleh lihat aksi Cyborg. Dengan Walter Hamada sendiri telah melanjutkan kontrak beliau dengan DC Film sehingga 2023, Ray Fisher dan juga Cyborg mungkin tidak akan kembali untuk beberapa tahun lagi.