Tahun 2021 adalah tahun di mana banyak filem yang ditunda pada tahun 2020 akan disiarkan dan/atau ditayangkan. Antara yang kami nantikan adalah filem Black Widow, siri TV WandaVision dan banyak lagi. Sementara menantikan filem-filem atau siri-siri TV menarik ini – Netflix telah hadir dengan satu filem baru yang mungkin akan memuaskan hati orang ramai.

Filem ini adalah Outside The Wire dan Anthony Mackie adalah pelakon utama. Menurut Netflix, watak yang Anthony mainkan iaitu Leo adalah seakan Terminator tetapi lebih realistik dengan emosi dan ia mungkin adalah robot yang tidak mustahil untuk dihasilkan di masa hadapan. Bersama-sama dengan Anthony adalah Damson Idris yang memainkan watak Harp. Harp adalah penerbang dron yang dihantar ke zon peperangan dan ditugaskan untuk bekerjasama dengan Android bernama Leo untuk mencari senjata yang akan menyebabkan kiamat.

Filem ini berlaku pada tahun 2036, di mana musuh bernama Viktor Koval lakonan Pilou Asbæk mempunyai senjata yang akan menyebabkan kiamat. Selepas Leftenan Harp mengingkari arahan pihak atasan beliau ditugaskan dengan Leo iaitu seorang kapten di kawasan untuk menghentikan Viktor. Harp turut menyedari yang pengalaman sebagai penerbang dron tidak akan membantu diri di dalam peperangan dan tidak mampu menandingi android seperti Leo.

Filem ini diarahkan oleh Mikael Håfström, yang mana sebelum ini mengarah filem 1408 lakonan Samuel L. Jackson, filem Escape Plan lakonan Arnold Schwarzenegger dan Sylvester Stallone dan banyak lagi. Studio yang menghasilkan filem The Old Guard dan Extraction turut terlibat dengan filem ini. Filem ini akan disiarkan di Netflix pada 15 Januari, 4 petang. Sama-sama kita saksikan filem ini minggu hadapan.

Sohor Kini