Jika anda seorang pemain permainan mudah alih (permua) yang tegar, anda pastinya pernah sekurang-kurangnya dengar tentang syarikat pembangun permainan dari China yang dinamakan Yostar.

Syarikat ini bertanggungjawab untuk membangunkan salah satu permua yang sangat popular di pasaran antarabangsa yang dinamakan Azur Lane, iaitu sebuah permua gacha dimana kapal-kapal perang zaman lama dijadikan watak-watak gadis anime yang comel.

Sekitar dua bulan lalu, Yostar telah menerbitkan satu lagi permua baru yang dibangunkan oleh Hypergryph Network Technology yang dinamakan Arknights, dimana ia adalah permua tower defense 2D yang menggunakan watak-watak dengan rekaan anime juga.

Tower Defense Dengan Corak Permainan Unik

Sebenarnya ada banyak permainan jenis tower defense di platform peranti mudah-alih seperti Plants vs Zombies, Lords Watch, Crazy Defense dan sebagainya, tetapi kesemua permua tower defense tersebut adalah terlalu mudah dimainkan, dan biasanya tidak mempunyai kandungan yang mencukupi untuk jangka-masa panjang.

Keunikan Arknights tiba bukan sahaja dari unit operator yang boleh didapati melalui sistem gacha ataupun recruitment secara percuma, tetapi strategi-strategi yang boleh digunakan untuk melepasi mana-mana peringkat permainan ini.

Unit-unit didalam Arknights terdiri dari enam jenis kelas yang boleh direkrut oleh pengguna, termasuklah Vanguard, Guard, Defender, Sniper, Caster, Medic, Supporter dan Specialist.

Vanguard, Guard dan Defender merupakan kelas melee, dimana watak kelas Vanguard biasanya akan digunakan terlebih dahulu untuk menyekat kemaraan musuh di awal permainan kerana kosnya yang rendah. Vanguard ini boleh digantikan kemudian dengan unit Guard atau Defender yang mempunyai kuasa serangan ataupun pertahanan yang lebih tinggi.

Sniper dan Caster pula adalah kelas DPS jarak jauh yang akan menyerang menggunakan serangan fizikal ataupun magik (dipanggil arts) yang akan menyerang musuh, manakala Medic pula adalah kelas penyembuh yang memastikan unit-unit anda tidak mati diserang musuh.

Dua kelas terakhir, iaitu Supporter dan Specialist merupakan kelas-kelas istimewa yang mempunyai kemahiran mereka tersendiri, seperti memperlahankan, menarik dan menolak musuh, masa meletakkan semula unit yang jauh lebih pendek berbanding unit-unit lain, dan sebagainya.

Setiap unit juga mempunyai kebolehan mereka sendiri, dan ini membolehkan pengguna menukar unit yang digunakan bergantung kepada keperluan untuk melepasi sesuatu tahap.

Dua bab pertama permainan ini yang terdiri dari sekitar 20-25 peringkat yang akan mengajar dan membiasakan anda tentang cara-cara asas untuk bermain permainan ini.

Setiap peringkat hadir dengan jalan yang akan dituruti oleh pihak musuh, dan ia adalah tugas pemain untuk memastikan bahawa semua musuh ditewaskan sebelum mereka sampai ke markas pemain.

Jika anda biasa dengan permainan tower defense, konsep permainan utamanya tidak terlalu berbeza dengan permainan yang lain. Pada awal permainan, anda akan diberi sejumlah mata yang dipanggil Deployment Points yang boleh digunakan untuk meletakkan operator-operator anda di medan pertempuran.

Mata-mata ini akan bertambah sedikit demi sedikit, ataupun anda boleh menggunakan operator Vanguard untuk mempercepatkan segar semula mata-mata tersebut.

Setiap operator juga mempunyai keboleh unik yang membolehkan mereka menggandakan kuasa serangan, jumlah musuh yang boleh ditahan dan sebagainya.

Apa yang membezakan Arknights dengan permainan tower defense yang lain ialah kepelbagaian strategi yang boleh digunakan untuk memenangi sebuah peringkat.

Pada kali pertama anda mencuba tahap tersebut, anda mungkin perlu menggunakan lebih banyak masa ataupun unit untuk melepasinya, tetapi selepas tahap unit-unit anda lebih tinggi dan berkuasa di masa depan, anda boleh mencuba tahap yang sama dengan unit yang lebih sedikit dan strategi yang berbeza.

Unit-unit yang boleh dimainkan didalam Arknights terdiri daripada unit satu bintang hinggalah ke enam bintang. Perbezaan ketara diantara kesemua unit ini ialah dari segi status, jumlah kebolehan dan level maksima unit tersebut.

Buat masa ini, terdapat lima bab penceritaan utama (main story) didalam permainan ini, dan disamping itu, terdapat acara-acara khas yang diadakan setiap dua minggu ke sebulan dimana penceritaan tambahan dan bahan-bahan penaiktarafan lebih mudah untuk didapati.

Secara teknikalnya, kebanyakan, jika tidak semua peringkat-peringkat Arknights boleh dilepasi menggunakan unit tiga dan empat bintang sahaja yang boleh didapati melalui sistem recruitment percuma, tetapi pada peringkat-peringkat-peringkat kemudian, otak anda perlu cukup bergeliga untuk melepasinya.

Apa yang membuatkan permainan ini mudah ialah apabila anda mendapatkan skor tiga bintang pada mana-mana tahap dengan tidak membenarkan musuh membolosi benteng anda, tahap tersebut boleh dimainkan semula secara automatik dan ini memudahkan grind permainan ini apabila anda perlu mencari bahan untuk menaiktarafkan operator-operator anda.

Sistem Gacha

Sistem gacha Arknights tidak terlalu berbeza dengan permua-permua yang lain, tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, anda tidak semestinya perlu membelanjakan wang untuk mencuba nasib mendapatkan operator-operator yang diingini.

Arknights menggunakan dua jenis matawang, pertama ialah matawang premium Originite Prime yang boleh dibeli dengan wang, ataupun melepasi mana-mana tahap dengan mendapatkan tiga bintang, iaitu memastikan tiada musuh melepasi halangan anda.

Dengan Originite Prime, pemain boleh menyegar-semula Sanity, iaitu nama yang digunakan untuk sistem stamina permua ini, membeli kostum untuk operator ataupun ditukar menjadi Orundum.

Orundum ialah matawang kedua yang digunakan didalam Arknights, dan fungsi khususnya ialah untuk digunakan didalam bahagian Headhunt, iaitu bahagian gacha premium permua ini.

Untuk mendapatkan satu operator secara rawak, pemain perlu membelanjakan 600 Orundum, manakala 10 operator sekaligus memerlukan 6000 Orundum.

Diantara sebab saya mengatakan bahawa Arknights adalah permua yang cukup murah hati ialah kerana apabila anda bermain permua ini buat pertama kali, gulingan 10 unit pertama anda akan menjanjikan satu operator enam bintang, dan jika anda bernasib baik, anda juga akan mendapatkan operator 5 bintang sekali. Dalam pada itu, setiap banner operator baru juga akan menjanjikan satu watak 5 bintang didalam 10 gulingan pertama.

Mendapatkan Orundum juga tidak begitu sukar. Pemain hanya perlu rajin melengkapkan aktiviti harian dan mingguna, dimana mereka boleh mendapatkan sehingga 1500 Orundum seminggu, dan jika anda sudah mempunyai skuad yang cukup berkuasa, boleh cuba untuk melepasi tahap Annihilation 1-3 untuk mendapatkan 1700 Orundum tambahan seminggu.

Ini membolehkan anda mendapatkan sekitar 12,000 Orundum sebulan, membolehkan anda mencuba nasib dengan dua 10-roll di bahagian Headhunt setiap bulan.

Jalan Cerita

Jalan cerita Arknights bermula dengan watak utama (anda) yang dipanggil “Doctor”, yang bangun di sebuah hospital selepas kes hilang ingatan. Anda, sebagai salah seorang ketua kumpulan yang dinamakan Rhodes Island, sedang diburu oleh kumpulan jahat yang dinamakan Reunion.

Di dunia tersebut, yang dinamakan Terra, ramai daripada penduduknya berada dalam kesakitan akibat wabak Oripathy yang membolehkan mereka menggunakan keupayaan magik, tetapi pada kos penyingkatan hayat yang mendadak.

Jujur saya katakan bahawa penceritaan Arknights agak klise dan membosankan, walaupun mereka mencuba sedaya-upaya untuk membuatkannya kelihatan sedih dan serius.

Walaupun begitu, Arknights juga mempunyai acara-acara sampingan yang memperlihatkan penceritaan tambahan yang agak menarik. Seperti yang dikatakan sebelum ini, acara-acara ini juga berguna untuk mendapatkan barang-barang yang diperlukan untuk menaiktaraf operator-operator anda.

Perlu juga saya nyatakan bahawa jalan cerita Arknights ini semuanya hadir dengan alih-bahasa Jepun, dan dimainkan oleh pelakon suara popular dari negara matahari terbit tersebut yang sekurang-kurangnya membuatkan jalan cerita ini lebih mudah untuk dihadam.

Kandungan Tambahan

Selain daripada jalan cerita utama, diantara kandungan lain yang tiba melalui acara-acara sidequest yang memberikan pemain bahan menaiktaraf operator, LMD, Originite Prime dan sebagainya.

Acara-acara sidequest ini memperlihatkan penceritaan menarik, disamping salah satu cara untuk memperkenalkan watak-watak baru yang boleh didapati melalui sistem gacha.

Satu lagi komponen penting didalam Arknights ialah Base, ataupun pangkalan anda. Melalui pangkalan ini, anda boleh menjana wang dan tiket EXP secara pasif, dan anda boleh menggunakan stamina anda untuk mencari barang-barang yang diperlukan untuk melengkapkan jalan cerita dan mencari barang-barang yang diperlukan untuk menaiktarafkan tahap Elite operator anda.

Base juga penting jika anda ingin memaksimakan kebolehan operator-operator anda, kerana untuk menaikkan taraf mereka daripada Elite 1 ke Elite 2, beberapa barang yang diperlukan hanya boleh didapati melalui pangkalan anda melalui Workshop dan Factory.

Berita baik disini, walaupun menaiktarafkan operator anda akan memakan masa, Arknights tidak seperti kebanyakan permua yang lain yang mempunyai kelengkapan yang perlu dirisaukan. Anda hanya perlu risau mengenai perkembangan unit anda sahaja, dan ia dimudahkan dengan sistem auto battle yang boleh digunakan selepas anda mendapat pencapaian tiga bintang pada mana-mana tahap.

Penutup

Setelah beberapa bulan bermain permua Arknights ini, boleh saya katakan ia adalah permua kegemaran saya pada tahun ini. Bukan sahaja corak dan rekaan permainan ini menarik, sistem gachanya juga sangat pemurah dan membolehkan para pemain mendapatkan pusingan dan watak yang banyak setiap bulan.

Bukan itu sahaja, kuasa semua operator-operator didalam permainan ini cukup seimbang, dan kebanyakan kandungan permua ini buat masa sekarang boleh dimenangi tanpa perlu menggunakan operator yang sukar untuk didapati, mungkin dengan pengecualian Annihilation 3.

Kandungan-kandungan sidequest yang tiba selang dua minggu juga memastikan pemain aktif ada sesuatu baru untuk dimainkan, dan tidak kira anda seorang pemain serius ataupun kasual, anda sentiasa akan anda sesuatu yang boleh dibuat.

Jika anda berminat untuk mencuba permua Arknights ini, anda boleh memuat-turun aplikasi tersebut untuk peranti Android dan iPhone di Google Play Store ataupun Apple App Store.

Sohor Kini